Pengenalan
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sidang pembaca dikurniakan kesihatan berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan.
Baru-baru ini, saya dan isteri memanjat puncak Genting Highlands pada hari ulang tahun perkahwinan kami. Kami memilih destinasi ikonik Genting Highlands, dengan niat untuk menguji kemampuan skuter di laluan yang mencabar dan berbukit-bukau. Perjalanan ini memberikan pengalaman yang berharga – dari pemandangan yang memukau hingga prestasi skuter yang mengagumkan.
Berikut adalah pengalaman kami menakluk puncak Genting Highlands dengan SYM Husky 150.
Permulaan Perjalanan
Untuk aktiviti ini, saya dan isteri mengambil cuti tahunan (AL) pada hari bekerja. Kami memulakan perjalanan ke Genting Highlands pada waktu tengah hari. Pada waktu pagi, kami sarapan terlebih dahulu, selesaikan urusan rumah, kemudian isi petrol tangki penuh dan isi angin tayar.
Berbekalkan semangat, barang kecemasan dan persiapan keselamatan yang lengkap, kami bersedia untuk menghadapi laluan berselekoh dan mendaki yang menjadi cabaran utama dalam perjalanan ini.
Prestasi SYM Husky 150 di Laluan Berbukit
Genting Highlands terkenal dengan cerun dan selekoh yang sangat tajam. SYM Husky 150 membuktikan bahawa ia mampu mendepani cabaran ini. Skuter ini mengekalkan kelajuan yang konsisten, walaupun membawa pembonceng atau pillion. Saya kekalkan kelajuan antara 20-30km/j sepanjang pendakian. Throttle yang responsif memudahkan kami mengawal kelajuan di setiap selekoh, menjadikan perjalanan lancar dan selamat.
Keselesaan Maksimum untuk Penunggang dan Pembonceng
Ketika menunggang bersama, keselesaan adalah faktor utama, dan SYM Husky 150 berjaya memenuhi jangkaan kami. Tempat duduk yang luas dan lembut memberikan keselesaan tambahan, walaupun dalam perjalanan yang lama. Isteri saya turut merasakan kestabilan yang diberikan oleh skuter ini, menjadikan pengalaman duo ride ini lebih menyeronokkan dan selesa. Susunan tempat duduk yang ergonomik membuatkan kami tidak mudah berasa penat walaupun melalui laluan berbukit.
Kecekapan Bahan Api yang Mengagumkan
Salah satu kelebihan SYM Husky 150 adalah kecekapan bahan apinya yang tinggi. Kami berjaya tiba di puncak Genting dengan penggunaan bahan api yang minimum, menjadikannya pilihan yang sangat baik bagi mereka yang gemar menjelajah dengan bajet yang berpatutan. Kami tidak perlu berhenti untuk mengisi minyak sepanjang perjalanan pergi dan balik, dan ini membolehkan kami menikmati perjalanan tanpa gangguan dan kerisauan mengenai petrol tidak mencukupi.
Jumlah perjalanan pergi dan balik, lebih kurang 160km. Minyak turun antara 1.5 ke 2 bar sahaja. Kecekapan bahan api masih konsisten dengan cara pemanduan saya, iaitu biasanya 1 bar bersamaan 80-100km.
Pengalaman Pemandangan dan Suasana
Setibanya di Genting Highlands, kami disambut oleh pemandangan bukit-bukau yang memukau, udara yang sejuk dan kabus putih yang sangat tebal. Suasana di sini berbeza dari hiruk-pikuk bandar, memberikan kami rasa ketenangan minda dan jiwa. Kami berhenti seketika untuk menikmati panorama alam sekitar dan mengambil beberapa gambar kenangan. Pengalaman berada di atas skuter sambil menikmati pemandangan pergunungan yang berkabus adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan.
Singgah di Petron berdekatan puncak Genting Highlands. Waktu singgah ni, kabus menutupi segala pemandangan dan penglihatan, ditambah pula dengan hujan. Petron ini la yang tular sebab masak maggi tu. |
SYM Husky 150 Ketika Menuruni Tanah Tinggi
Semua orang sedia maklum bahawa menuruni tanah tinggi adalah satu perkara yang mencabar. Hal ini demikian kerana jalannya amat cerun. Sungguhpun begitu, SYM Husky boleh mengharungi cabaran ini.
Ketika menuruni bukit, cabaran terbesar kami ialah terdapat kabus putih tebal (disebabkan hujan) menyelubungi tanah tinggi, menyebabkan penglihatan terhad.
Dalam keadaan genting itu, lampu kecemasan berfungsi dengan baik. Selain itu, lampu skuter depan belakang yang terang, memastikan keselamatan kami di samping dapat "memberitahu" kereta dan moto di depan belakang, bahawa kami ada di hadapan.
Cengkaman brek cakera depan dan belakangnya bagus, memudahkan saya untuk mengawal kelajuan di setiap selekoh tajam. Sepanjang perjalanan, saya kekalkan kelajuan 10-30km/j sahaja. Itupun saya lebih kepada main brek berbanding throttle.
Suspensi SYM Husky juga memainkan peranan penting, menyerap hentakan dengan baik apabila melalui jalan yang tidak rata. Keupayaannya mengekalkan kestabilan di jalan cerun memberikan rasa selamat kepada saya dan isteri sepanjang perjalanan menuruni tanah tinggi.
Ada je mat-mat motor yang bawa laju dekat jalan selekoh tajam. Tapi bagi saya, biar lambat asal selamat. Pandu laju, maut menunggu.
Tips untuk Mereka yang Ingin Mencuba
Bagi anda yang merancang untuk mencuba perjalanan ini bersama pasangan, berikut adalah beberapa tips yang mungkin berguna:
- Ambil cuti pada hari bekerja - Genting Highlands adalah kawasan pelancongan, maka jika anda pergi pada hari biasa, ini dapat mengelakkan trafik dan kesesakan di atas sana.
- Mulakan perjalanan pada awal pagi – Suasana pagi yang sejuk dan kurang trafik akan menjadikan perjalanan lebih selesa.
- Cuaca - Dengar dan lihat ramalan cuaca terlebih dahulu. Jika musim tengkujuh, elakkan pergi ke sana. Hujan lebat akan mendatangkan kabus tebal, dan akan menghadkan penglihatan atas jalan raya.
- Bawa kelengkapan keselamatan – Jaket, helmet, dan sarung tangan adalah penting untuk keselamatan dan keselesaan, terutamanya di kawasan berangin.
- Bawa barang kecemasan - Standby first aid, tool box sekiranya ada apa-apa kecemasan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau.
- Rancang tentatif program - Untuk memastikan perjalanan kita lebih teratur, pastikan anda kenal pasti dahulu tempat mana nak pergi. Buat tentatif / agenda program.
- Rancang perhentian – Ambil masa untuk berhenti dan nikmati pemandangan indah yang ditawarkan oleh laluan ke Genting Highlands.
Kesimpulan
Perjalanan menunggang SYM Husky 150 ke puncak Genting Highlands bersama isteri adalah pengalaman yang amat berharga. Skuter ini bukan sahaja menunjukkan prestasi yang cemerlang, malah memberikan keselesaan dan kecekapan bahan api yang tinggi. Jika anda mencari pengalaman perjalanan berdua yang menenangkan dan penuh pemandangan indah, Genting Highlands adalah destinasi yang ideal – dan SYM Husky 150 adalah kenderaan yang sesuai untuk membawa anda ke sana.
Mana-mana yang belum baca blog saya pasal perjalanan kerja ulang alik 100km dengan Husky, boleh baca di sini ya: https://www.azaraslan.com/2024/08/ulang-alik-kerja-100km-dengan-skuter.html?m=1
Terima kasih semua.
#azaraslan #symhusky150 #husky150 #huskyadv150 #gentinghighlands
إرسال تعليق