Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua.
Sistem pemerintahan Malaysia adalah sebuah sistem yang menggabungkan pelbagai elemen penting daripada Westminster System. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapa Ahli Parlimen diberi peluang untuk memegang jawatan Menteri walaupun mereka sudah dipilih sebagai wakil rakyat? Memang Ahli Parlimen kena pegang ke? Artikel ini akan menjelaskan bagaimana pelantikan ini berkait dengan Westminster System dan separation of power dalam konteks Malaysia.
Westminster System: Sistem Demokrasi Berparlimen
Westminster System adalah sistem pemerintahan yang berasal dari United Kingdom dan digunakan di Malaysia. Ia berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, di mana kuasa eksekutif (kerajaan) berasal dari legislatif (Parlimen). Malaysia guna sistem ini sebab kita dulu pernah dijajah British, jadi banyak elemen pemerintahan mereka masih kita pakai sampai ke hari ini.
Dalam sistem ini:
- Perdana Menteri dan Menteri dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen.
- Parlimen menggubal undang-undang, manakala kerajaan melaksanakannya.
- Raja Berperlembagaan (merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong - YDPA) bertindak sebagai ketua negara, tetapi kuasa pemerintahan dijalankan oleh kerajaan yang dipilih.
Sistem ini menekankan akauntabiliti dan tanggungjawab kerajaan kepada Parlimen dan rakyat.
Parlimen mempunyai dua jenis dewan iaitu Dewan Rakyat / Dewan Rendah (untuk Ahli Parlimen) dan Dewan Negara / Dewan Tinggi / Dewan Senat (untuk Senator). Di bawah sistem ini, kerajaan Malaysia yang memerintah perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 kerusi daripada Dewan Rakyat untuk terus berfungsi. Dewan Rakyat di Malaysia mempunyai 222 kerusi.
Ahli Senator juga boleh menjadi menteri. Boleh baca artikel ini, tentang bagaimana ahli Senator boleh menjadi Menteri: https://www.azaraslan.com/2025/02/Bagaimana-Seseorang-Boleh-Jadi-Menteri-Tetapi-Tidak-Bertanding-Pilihan-Raya.html
Teori Separation of Power (SOP) dan Fusion of Power (FOP)
Separation of Power (SOP) adalah teori yang mencadangkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama dalam pemerintahan: Legislatif (Perundangan), Eksekutif (Pemerintah / Kerajaan) dan Judisiari (Kehakiman). Matlamat utama teori ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memastikan sistem semak dan imbang (check and balance) dalam kerajaan.
Di Malaysia, pelantikan ahli Parlimen sebagai Menteri tidak sepenuhnya berpegang pada prinsip separation of power (SOP), kerana ahli Parlimen yang dilantik sebagai Menteri juga memegang kuasa eksekutif seperti yang termaktub dalam Westminster System. Ini dinamakan konsep fusion of power (FOP) atau penggabungan kuasa. Fusion of Power (FOP) merujuk kepada sistem di mana kuasa eksekutif (kerajaan) dan legislatif (Parlimen) saling berkait rapat, berbanding dengan pemisahan kuasa mutlak (SOP).
Antara negara yang mengamalkan sistem separation of power (SOP) ialah Amerika Syarikat, di mana eksekutif (Presiden) dan legislatif (Senat dan Dewan Perwakilan) berfungsi secara berasingan.
CONTOH SOP
Dalam separation of power (SOP), Donald Trump sebagai Presiden (eksekutif) di Amerika Syarikat tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang, kerana tugas tersebut dilakukan oleh Kongres (legislatif). Selain itu, Mahkamah (kehakiman) mengawasi dan menafsirkan undang-undang. Jadi, Trump hanya menguruskan dasar kerajaan, sementara Kongres mengawal pembuatan undang-undang, dan Mahkamah memastikan segala tindakan mengikut undang-undang. Ini menjamin semak dan imbang antara ketiga-tiga cabang kuasa.
CONTOH FOP
Dalam konteks Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah contoh fusion of power (FOP). Beliau juga merupakan ahli Dewan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Tambun (legislatif), yang menjadikannya sebahagian daripada proses penggubalan undang-undang. Sebagai Perdana Menteri, beliau memimpin kerajaan eksekutif, jadi kuasa eksekutif dan legislatif digabungkan.
Kesan Fusion of Power
Memandangkan Malaysia mengguna pakai sistem Westminster dan teori fusion of power, jom kita lihat apa kebaikan dan kelemahan konsep ini.
Kelebihan
- Membantu memastikan kerajaan lebih stabil kerana eksekutif dan legislatif bekerjasama secara rapat.
- Memudahkan pelaksanaan dasar kerana kerajaan tidak menghadapi tentangan besar dalam Parlimen.
- Mewujudkan hubungan langsung antara ahli politik dan rakyat, kerana Menteri juga merupakan Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.
Kelemahan
- Dominasi Eksekutif – Kerajaan yang mempunyai majoriti besar boleh mengawal Parlimen dengan mudah tanpa banyak halangan.
- Kurang Semak dan Imbang – Oleh kerana Perdana Menteri dan Menteri berasal dari Parlimen, sukar untuk ahli Parlimen daripada parti pemerintah mengkritik kerajaan secara bebas.
Kesimpulan
Sistem pemerintahan Malaysia yang menggabungkan unsur-unsur Westminster System, dan fusion of power, mempengaruhi pelantikan ahli Parlimen sebagai Menteri dalam kerajaan. Walaupun tidak sepenuhnya mengamalkan separation of power secara menyeluruh seperti Amerika Syarikat kerana menggunakan konsep fusion of power, pelantikan ini memastikan bahawa rakyat terus mendapat perwakilan yang berkesan dalam pemerintahan negara.
Walaupun fusion of power di Malaysia memastikan kestabilan kerajaan dan wakil rakyat yang lebih langsung, ia juga membawa cabaran seperti kurangnya semak dan imbang, serta dominasi eksekutif yang boleh menyukarkan Parlimen khususnya pembangkang untuk mencabar kerajaan secara berkesan. Bagi sesetengah rakyat, ini mungkin mencetuskan persepsi bahawa kerajaan terlalu berkuasa.
Sungguhpun begitu, dengan ahli Parlimen yang dilantik sebagai Menteri, kerajaan Malaysia tetap melunaskan prinsip demokrasi bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat. Ahli Parlimen yang memegang jawatan Menteri juga berfungsi sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan adalah relevan dan berkesan bagi kesejahteraan masyarakat.
Sekian, terima kasih.
Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)
Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian)
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran
#azaraslan #siripentadbiranawam #spa #westminstersystem
Catat Ulasan