Bluetooth Intercom



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera.


Setiap kali kita dengar berita tentang kerajaan berhutang, mungkin kita tertanya-tanya, “Kenapa kerajaan perlu berhutang? Adakah ini perkara yang baik atau buruk?”.


Sehingga akhir Jun 2024, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.22 trillion. Walaupun jumlah ini kelihatan tinggi, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk mengawal pertumbuhan hutang. Trend pertumbuhan hutang kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurang kepada sekitar 7.5 peratus mengakhiri 2024 berbanding 8.6 peratus pada 2023 dan 10.2 peratus pada 2022. Rujukan: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/10/1311865/pertumbuhan-hutang-kerajaan-dijangka-turun-kepada-75-peratus-tahun


Sebenarnya, berhutang bukanlah perkara luar biasa bagi sesebuah kerajaan, malah ia boleh menjadi langkah penting untuk memastikan negara terus berkembang. Mari kita fahami dengan cara mudah.


Apa Itu Hutang Kerajaan?


Hutang kerajaan bermaksud wang yang dipinjam oleh kerajaan daripada sumber tertentu seperti bank tempatan, institusi kewangan antarabangsa (contohnya, Bank Dunia atau International Monetary Fund - IMF), atau pelabur dalam dan luar negara. Wang ini digunakan untuk pelbagai tujuan, sama ada untuk menampung perbelanjaan semasa atau melaksanakan projek besar.


Sebab-Sebab Kenapa Kerajaan Berhutang


Perbelanjaan Lebih Besar Daripada Pendapatan


Kadang-kadang, wang yang kerajaan kutip melalui cukai dan duti tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan.


Sebagai contoh, dalam Belanjawan 2023, menyediakan dana sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif sebagai usaha meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat. Rujukan: https://www.astroawani.com/berita-bisnes/belanjawan-2023-rm64-bilion-untuk-minimumkan-kos-sara-hidup-anwar-408102alert-info


Apabila perbelanjaan seperti ini melebihi pendapatan, kerajaan perlu meminjam untuk menampung defisit tersebut.


Melaksanakan Projek Pembangunan


Projek besar seperti pembinaan lebuh raya, hospital, sekolah dan pengangkutan awam memerlukan kos yang tinggi.


Antara contoh yang kita boleh lihat ialah projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang bertujuan meningkatkan jaringan pengangkutan di Malaysia Timur. Projek ini memerlukan kos yang besar, dan kerajaan menggunakan pinjaman sebagai salah satu sumber pembiayaan untuk memastikan projek dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan perbelanjaan lain. Rujukan: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/15-sst-projek-lebuhraya-pan-borneo-fasa-1b-dikeluarkan-suku-ketiga-2024-478254alert-info


Mengatasi Krisis Ekonomi


Dalam keadaan seperti pandemik atau krisis ekonomi global, kerajaan mungkin perlu meminjam wang untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas.


Sebagai contoh, semasa pandemik COVID-19, kerajaan Malaysia melancarkan beberapa pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN dan PENJANA untuk membantu individu dan perniagaan yang terjejas. Pakej-pakej ini memerlukan perbelanjaan tambahan yang besar, dan kerajaan terpaksa meminjam untuk menyediakan dana yang diperlukan bagi menyokong ekonomi negara dalam tempoh yang mencabar ini. Rujukan: https://www.mof.gov.my/portal/ms/berita/siaran-media/pakej-pakej-rangsangan-termasuk-kita-prihatin-bakal-menyumbang-3-7-4-0-mata-peratusan-kepada-kdnk-2020?highlight=WyJzYXlhcCIsInNheWEiLCJcdTIwMWNzYXlhIiwic2F5YW5naSIsInNheWFuZyIsInRlcnNheWFuZyIsInRlcnNheWFuZ1x1MjAxZCwiLCJkaXNheWFuZ2kiLCJcdTIwMWRzYXlhIiwiZGFuc2F5YSIsImktc2F5YW5nIiwic2V0ZWxhaCIsInRlbGFoIiwic2VtZW50ZWxhaGFuIiwidGVsYWhwdW4iLCJcdTIwMWNzZXRlbGFoIiwieWFuZ3RlbGFoZGloYWxhbmdkYXJpcGFkYW1lbmF3YXJrYW5wYWtlai1wYWtlanVtcmFoIiwidGVsYWhhbiJdalert-info


Menstabilkan Ekonomi Negara


Hutang kadang-kadang diperlukan untuk menstabilkan ekonomi, terutamanya apabila terdapat masalah seperti kejatuhan nilai mata wang atau ketidaktentuan pasaran kewangan. Hutang ini digunakan untuk memastikan ekonomi negara tidak tergugat.


Sebagai contoh, jika terdapat kejatuhan mendadak dalam harga komoditi utama seperti minyak sawit atau petroleum yang menjejaskan pendapatan negara, kerajaan mungkin meminjam untuk menampung kekurangan tersebut dan memastikan program pembangunan serta perkhidmatan awam tidak terjejas. alert-info


Pelaburan untuk Masa Depan


Ada kalanya kerajaan berhutang untuk melabur dalam bidang yang boleh memberi pulangan besar pada masa depan, seperti teknologi, pendidikan, atau pembangunan wilayah. Ini adalah langkah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.


Sebagai contoh, pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui memerlukan modal yang besar pada peringkat awal, tetapi dapat mengurangkan kos tenaga dan meningkatkan kelestarian alam sekitar dalam jangka panjang. alert-info


Membayar Hutang Lama


Kerajaan kadangkala meminjam untuk membayar balik hutang sedia ada yang mempunyai kadar faedah lebih tinggi. Strategi ini dikenali sebagai 'pembiayaan semula hutang', di mana kerajaan mengambil hutang baharu dengan kadar faedah lebih rendah untuk melunaskan hutang lama, seterusnya mengurangkan beban pembayaran faedah keseluruhan.


Kerajaan Berhutang Dengan Siapa Sebenarnya?


Apabila kerajaan berhutang, ia sebenarnya meminjam wang daripada pelbagai sumber, bukan semata-mata dari negara lain. Hutang ini biasanya diperoleh melalui penerbitan bon kerajaan atau sekuriti kerajaan, yang berfungsi sebagai satu bentuk surat jaminan bahawa kerajaan akan membayar semula jumlah yang dipinjam bersama kadar faedah tertentu dalam tempoh yang ditetapkan.


Siapa yang memberikan pinjaman kepada kerajaan?


  • Institusi Kewangan dan Bank Tempatan: Bank Negara Malaysia (BNM) serta bank-bank komersial seperti Maybank dan CIMB sering membeli bon kerajaan sebagai sebahagian daripada pelaburan mereka.
  • Dana Pencen dan Simpanan: Sebahagian besar dana entiti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan Lembaga Tabung Haji (TH) dilaburkan dalam bon kerajaan kerana ia dianggap sebagai pelaburan yang selamat dan stabil.
  • Syarikat Insurans dan Dana Pelaburan: Syarikat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan institusi pelaburan lain turut membeli bon kerajaan untuk menjana pulangan kepada pemegang saham atau pencarum mereka.
  • Institusi Pelaburan dan Pengurusan Aset: Seperti Khazanah Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
  • Pelabur Institusi Antarabangsa dan Tempatan: Bank Dunia, International Monetary Fund dan Asian Development Bank memberikan pinjaman terus kepada kerajaan dalam bentuk projek pembangunan atau krisis kewangan.
  • Pelabur Luar Negara: Kerajaan juga menjual bon kepada pelabur asing yang berminat untuk melabur dalam ekonomi Malaysia.


Analogi mudah, bila pelabur beli bon ini, mereka akan dapat keuntungan dalam bentuk faedah selepas beberapa tahun. Sebagai contoh, kalau organisasi AZAR beli bon kerajaan RM1,000,000 dengan kadar faedah 4%, ia akan dapat pulangan RM40,000 setahun sehingga bon itu matang.


Jadi, kerajaan pinjam duit dari siapa?

  • Dari rakyat sendiri seperti melalui KWSP, KWAP.
  • Dari bank dan syarikat pelaburan dalam dan luar negara.
  • Dari pelabur luar negara.


Melalui kaedah ini, kerajaan memperoleh dana untuk membiayai projek pembangunan, menampung perbelanjaan negara, serta mengurus defisit fiskal tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pinjaman luar negara.


Adakah Hutang Kerajaan Suatu Perkara Yang Buruk?


Hutang tidak semestinya perkara buruk. Sama seperti individu meminjam wang untuk membeli rumah atau melabur dalam perniagaan, kerajaan juga berhutang untuk tujuan yang produktif. Namun, jika hutang terlalu tinggi, ia boleh memberi kesan negatif seperti:


  • Kos Faedah yang Tinggi: Meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk pembayaran faedah, mengurangkan dana yang tersedia untuk perkhidmatan lain.
  • Ketidakstabilan Ekonomi: Jika pelabur hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan membayar balik hutang, ia boleh menjejaskan nilai mata wang dan kestabilan ekonomi.


Cara Kerajaan Mengurus Hutang


Untuk memastikan hutang terkawal, kerajaan mengambil langkah seperti:


  • Berbelanja Secara Berhemah: Pastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan bijak dan tidak membazir. Kerajaan perlu menilai semula projek dan program untuk memastikan hanya perbelanjaan penting diteruskan. Contohnya, mengurangkan subsidi pukal dan menggantikannya dengan subsidi bersasar.
  • Meningkatkan Pendapatan Negara: Kerajaan memperluaskan sumber pendapatan dengan cukai baharu atau memperbaiki kutipan cukai sedia ada.
  • Pinjam Secara Berhemah: Hanya berhutang apabila perlu dan dengan kadar faedah yang rendah untuk memastikan hutang tidak membebankan kewangan negara.
  • Bayar Hutang Lama Secara Strategik: Hutang sedia ada disusun semula dengan mencari kadar faedah yang lebih rendah untuk mengurangkan beban bayaran balik.
  • Tingkatkan Pelaburan dan Pertumbuhan Ekonomi: Kerajaan melabur dalam sektor yang boleh menjana pulangan tinggi seperti teknologi, tenaga hijau, dan infrastruktur untuk meningkatkan hasil negara di masa depan.


Kesimpulan


Kerajaan berhutang kerana ianya adalah salah satu cara untuk memastikan negara terus bergerak maju, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan melaksanakan projek berskala mega atau besar. Apa yang penting adalah pengurusan hutang yang bijak supaya beban ini tidak memberi kesan buruk kepada rakyat dan generasi akan datang. Dengan pemahaman ini, kita dapat melihat hutang kerajaan dari sudut yang lebih positif.


Sekian, terima kasih.


Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)

Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM


#Azaraslan #SiriPentadbiranAwam #SPA

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder