Adakah Pekerjaan Pertama Penting?
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua.
Dalam perjalanan untuk membina kerjaya, ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah kepentingan pekerjaan pertama. Hakikatnya, pekerjaan pertama sangat penting kerana ia menetapkan hala tuju kerjaya seseorang. Tidak semua orang boleh menukar bidang dengan mudah selepas pekerjaan pertama, menjadikan keputusan awal ini satu perkara yang perlu diberi perhatian serius.
Ulasan yang saya kongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pandangan peribadi serta tafsiran terhadap perspektif orang lain. Individu lain mungkin ada pengalaman dan pandangan berbeza. alert-info
1. Titik Permulaan Dalam Dunia Kerja
Pekerjaan pertama sering menjadi pengenalan kepada dunia pekerjaan yang sebenar. Ia membantu individu memahami budaya kerja, etika profesional, serta cabaran yang akan dihadapi dalam kerjaya. Melalui pekerjaan pertama, seseorang dapat membiasakan diri dengan tanggungjawab kerja, komunikasi dalam organisasi dan kepentingan kepimpinan.
2. Pembinaan Kemahiran Asas
Setiap pekerjaan, sama ada berkaitan dengan bidang yang diminati ataupun tidak, memberikan peluang untuk mengasah kemahiran penting. Ini termasuk kemahiran komunikasi, pengurusan masa, penyelesaian masalah serta kerja berpasukan. Kemahiran ini akan menjadi aset yang berguna sepanjang perjalanan kerjaya.
3. Membangunkan Rangkaian Profesional
Pekerjaan pertama juga memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian profesional. Rakan sekerja, penyelia dan kenalan industri boleh menjadi sumber rujukan atau peluang pekerjaan yang lebih baik di masa hadapan. Hubungan yang baik dengan mereka boleh membantu membuka jalan kepada lebih banyak peluang dan perkembangan kerjaya.
4. Penentu Haluan Kerjaya
Bagi kebanyakan individu, pekerjaan pertama membantu mereka mengenal pasti sama ada bidang yang diceburi sesuai atau tidak. Pekerjaan pertama biasanya menetapkan laluan kerjaya dan memberikan pengalaman awal yang sukar digantikan. Jika ingin beralih ke bidang lain, cabarannya mungkin lebih besar kerana majikan lebih cenderung memilih calon yang sudah mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan.
5. Meningkatkan Kredibiliti dan Daya Saing
Pekerjaan pertama juga membantu membina kredibiliti dalam pasaran kerja. Majikan cenderung lebih yakin untuk mengambil seseorang yang sudah mempunyai pengalaman bekerja berbanding yang tiada pengalaman kerja. Pengalaman kerja awal ini memberi kelebihan dalam permohonan pekerjaan seterusnya, kerana ia menunjukkan seseorang itu sudah biasa dengan persekitaran atau budaya kerja profesional.
Tetapi, Adakah Pekerjaan Pertama Menentukan Masa Depan?
Walaupun ada yang berjaya menukar bidang selepas pekerjaan pertama, tidak semua orang boleh berbuat demikian dengan mudah. Faktor seperti pengalaman yang relevan, persaingan dalam pasaran kerja dan tahap kemahiran memainkan peranan besar untuk menentukan sejauh mana seseorang itu boleh melangkah ke bidang lain. Oleh itu, pemilihan pekerjaan pertama seharusnya dilakukan dengan berhati-hati kerana ia akan mempengaruhi masa depan kerjaya.
Secara logiknya, kebanyakan graduan ingin bekerja dalam bidang yang mereka pelajari. Namun, realitinya tidak semua mendapat peluang tersebut. Kekangan seperti jumlah kekosongan jawatan yang terhad, persaingan yang sengit, dan ketidaksesuaian dengan kehendak pasaran kerja sering menjadi penghalang. Akibatnya, ramai graduan terpaksa bekerja dalam bidang yang berbeza daripada pengajian mereka. Ini boleh menjadi cabaran kerana mereka perlu belajar kemahiran baharu dan membina pengalaman dari bawah.
Selain itu, bagi mereka yang sudah lama berada dalam sesuatu bidang, dan ingin beralih semula ke bidang asal yang pernah dipelajari juga bukan sesuatu yang mudah. Sebagai contoh, seseorang yang memiliki ijazah dalam Sains Pentadbiran tetapi tiada peluang pekerjaan dalam bidang tersebut lalu memilih untuk berkecimpung dalam bidang pemasaran. Selepas hampir 9 tahun mengumpul pengalaman dalam pemasaran, kembali semula ke bidang Sains Pentadbiran akan menjadi satu cabaran besar. Ini kerana mereka perlu memulakan pekerjaan semula dari bawah, menerima gaji yang lebih rendah, serta bersaing dengan graduan baharu yang lebih relevan dengan keperluan industri pada ketika itu.
Walaupun pengalaman dalam bidang lama mungkin memberi kelebihan dari segi kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal tertentu, cabaran utama adalah untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan terkini dalam bidang asal. Oleh itu, sesiapa yang ingin beralih semula ke bidang asal harus mempertimbangkan keperluan untuk menambah kemahiran baru, mengikuti kursus profesional atau mendapatkan sijil tambahan bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja.
Kesimpulan
Pekerjaan pertama bukan sekadar satu langkah awal tetapi asas kepada perkembangan kerjaya seseorang. Ia menetapkan hala tuju, membentuk kemahiran dan memberikan kelebihan dalam pasaran kerja. Jika seseorang ingin melompat ke bidang lain, ia bukan sesuatu yang mustahil tetapi bukan juga mudah. Oleh itu, bagi saya yang bercakap daripada pengalaman sendiri, penting untuk memilih pekerjaan pertama dengan teliti kerana ia berpotensi menjadi faktor utama dalam menentukan masa depan kerjaya anda.
Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih.
#Azaraslan
Catat Ulasan