Bluetooth Intercom


Sumber: Laman web rasmi Parlimen Malaysia


Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua.


Ramai beranggapan bahawa untuk menjadi menteri, seseorang itu mesti bertanding dalam pilihan raya dan memenangi kerusi Parlimen Dewan Rakyat. Kemudian, ahli Parlimen Dewan Rakyat tersebut perlulah tersenarai dalam carta kabinet. Kalau tidak tersenarai, maka ahli parlimen tersebut hanya akan jadi ahli parlimen sahaja. Namun, ada cara lain untuk menyertai kabinet tanpa melalui pilihan raya.


Artikel ini akan menerangkan bagaimana seseorang boleh dilantik sebagai menteri melalui Dewan Negara sebagai Senator dan proses di sebaliknya.


Peranan Dewan Negara dan Senator


Apa itu Dewan Negara?


Dewan Negara adalah salah satu daripada dua dewan dalam Parlimen Malaysia (selain Dewan Rakyat). Ia terdiri daripada:


  • 26 Senator yang dilantik oleh negeri (2 setiap negeri).
  • 2 Senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 Senator dari WP Labuan, 1 Senator dari WP Putrajaya
  • 40 Senator yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
  • Jumlah Keseluruhan: 70 ahli


Peranan Dewan Negara secara ringkas adalah sebagai badan legislatif yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap Dewan Rakyat dalam sistem parlimen Malaysia. Berikut adalah beberapa peranan utama Dewan Negara:


  • Semak dan Imbang (Check and Balance): Dewan Negara menyemak dan memperhalusi rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat. Ia boleh mencadangkan pindaan atau menangguhkan sesuatu rang undang-undang untuk diperhalusi lebih lanjut.
  • Membincangkan Isu Nasional: Dewan Negara memberi peluang kepada Senator, yang terdiri daripada individu yang dilantik kerana kepakaran mereka, untuk membincangkan isu-isu penting yang memberi kesan kepada negara.
  • Sokongan Kepada Kerajaan: Dewan Negara memberi sokongan kepada dasar-dasar kerajaan dengan mengadakan perbahasan mengenai isu-isu penting.


Secara keseluruhan, Dewan Negara berperanan untuk memastikan bahawa undang-undang dan dasar yang diluluskan oleh Dewan Rakyat adalah seimbang dan adil untuk kepentingan negara.


Info tambahan: Dewan Rakyat juga dikenali sebagai Dewan Rendah manakala Dewan Negara dikenali sebagai Dewan Tinggi atau Dewan Senat.


Siapa itu Senator?


Senator ialah Ahli Parlimen Dewan Negara. Senator tidak dipilih oleh rakyat tetapi dilantik berdasarkan kepakaran, pengalaman, atau untuk mewakili kumpulan tertentu seperti golongan profesional, wanita atau kaum minoriti (berkebolehan dalam mewakili kepentingan pribumi).


Syarat-Syarat Kelayakan untuk Menjadi Senator:


Berdasarkan Perkara 45 (Keanggotaan Dewan Negara), Perkara 47 (Kelayakan menjadi ahli Parlimen) dan Perkara 48 (Kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen), seseorang individu perlu memenuhi syarat berikut untuk dilantik sebagai Senator:

  • Warganegara Malaysia.
  • Berumur sekurang-kurangnya 30 tahun.
  • Tidak boleh menjadi individu yang hilang kewarasan fikiran.
  • Bermastautin di Malaysia.
  • Mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam bidang tertentu seperti pentadbiran awam, ekonomi, perniagaan, pertanian, pendidikan, kebajikan sosial atau perkhidmatan awam.
  • Bukan individu yang bankrap.
  • Tidak mempunyai rekod jenayah yang boleh menyebabkan hukuman penjara lebih daripada satu tahun atau denda lebih daripada RM2,000.
  • Tidak memegang jawatan berpendapatan.
  • Tidak menjadi ahli Dewan Rakyat pada masa yang sama.


Peruntukan Perlembagaan Persekutuan


Perkara 43(2)(b) berkaitan Jemaah Menteri:

Perlembagaan Persekutuan membolehkan Perdana Menteri mencadangkan pelantikan menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.


Jika seseorang itu bukan ahli Parlimen tetapi mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, mereka boleh dilantik sebagai Senator dan seterusnya menjadi menteri.


Contoh Senator Yang Pernah Dilantik Sebagai Menteri


Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz


Tengku Zafrul Aziz dilantik sebagai Senator dan seterusnya Menteri Kewangan kerana latar belakangnya yang kukuh dalam sektor perbankan, termasuk sebagai bekas CEO CIMB Group. Beliau dilantik semasa zaman kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri Malaysia ke-8) pada bulan Mac 2020. Sebagai seorang teknokrat tanpa kepentingan politik ketika itu, beliau dilihat mampu mengurus kewangan negara secara profesional, terutama dalam menghadapi krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19. Beliau memainkan peranan penting dalam merangka pakej rangsangan ekonomi untuk membantu rakyat serta perniagaan.


Tengku Zafrul pernah bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU ke-15) tahun 2022 untuk kerusi Parlimen Kuala Selangor atas tiket Barisan Nasional (BN), namun kalah dengan lawannya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH). Sungguhpun begitu, beliau dilantik sekali lagi sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri atas kapasiti Senator, dalam kabinet Anwar Ibrahim ke-2, yang dibentuk pada bulan Disember 2023.


Dato' Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri


Dr. Zulkifli Al-Bakri dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Mac 2020 untuk kabinet Perdana Menteri ke-8 kerana kepakaran beliau sebagai bekas Mufti Wilayah Persekutuan serta peranannya dalam memperkukuh dasar Islam di peringkat kerajaan. Beliau juga memainkan peranan penting dalam meyakinkan umat Islam bahawa vaksin COVID-19 adalah halal dan selamat, menggunakan hujah syariah untuk mengatasi keraguan masyarakat.


Dato' Sri Idris Jala


Dilantik sebagai Senator sebelum menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan  Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). Beliau dilantik semasa pentadbiran Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak kerana pengalaman dan kepakarannya dalam sektor korporat serta pentadbiran awam. Sebelum pelantikannya, beliau adalah seorang tokoh korporat yang berpengalaman, termasuklah sebagai CEO dan Group Managing Director Malaysia Airlines (MAS) dan memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat besar. Beliau juga terlibat dalam transformasi ekonomi negara melalui program-program seperti Government Transformation Programme (GTP) dan Economic Transformation Programme (ETP). Pelantikannya sebagai Menteri bertujuan memanfaatkan kepakaran beliau dalam menguruskan dasar-dasar negara serta memperkenalkan pendekatan transformasi yang lebih berkesan dalam pentadbiran kerajaan.


Tun Daim Zainuddin


Tun Daim Zainuddin dilantik sebagai Senator dan Menteri Kewangan kerana kepakaran dan pengalamannya dalam bidang ekonomi serta kewangan, terutama dalam mengurus dasar fiskal dan pembangunan ekonomi negara. Beliau pertama kali dilantik sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1984 dalam pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika Malaysia berhadapan dengan cabaran ekonomi global. Pada waktu ini, beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan menerusi kerusi Parlimen Kuala Muda, Kedah, di mana beliau memenangi pilihan raya umum (PRU) 1982 atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN). Sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan berjaya, beliau memainkan peranan penting dalam mengurangkan hutang negara, menarik pelaburan asing, dan memperkenalkan dasar ekonomi yang memperkukuh pertumbuhan negara.


Disebabkan kebolehannya dalam menangani krisis ekonomi, beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan melalui jawatan Senator pada 1999, menggantikan Dato' Seri Anwar bin Ibrahim yang dipecat dari kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu, bagi membantu memulihkan ekonomi Malaysia selepas Krisis Kewangan Asia 1997.


Datuk Seri Utama Raja Nong Chik Najmuddin bin Dato' Raja Zainal Abidin


Raja Nong Chik (RNC) Raja Zainal Abidin dilantik sebagai Senator dan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 2009 dalam pentadbiran Dato' Seri Najib Razak kerana kepakaran dan pengalamannya dalam sektor korporat serta penglibatannya dalam pembangunan komuniti. Sebelum pelantikannya, beliau aktif dalam sektor keusahawanan dan pernah memegang jawatan dalam beberapa organisasi industri. Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau bertanggungjawab dalam pembangunan bandar, perumahan rakyat, dan kesejahteraan komuniti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Pelantikannya bertujuan untuk memperkukuh agenda pembangunan bandar serta menangani isu-isu berkaitan kesejahteraan penduduk di Wilayah Persekutuan.


Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail


Beliau dilantik sebagai Senator dan Menteri Dalam Negeri dalam kabinet kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Beliau bukan Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang dipilih dalam PRU ke-15 kerana tidak memenangi kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Maka, pelantikan sebagai Senator membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri.


Pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kepentingan politik dalam Kerajaan Perpaduan.


Kenapa Kaedah Ini Wujud?


Memanfaatkan Kepakaran: Negara memerlukan individu dengan kepakaran tertentu untuk membantu pentadbiran dan pengurusan.


Memastikan Keseimbangan Wakil: Dewan Negara juga mewakili kepentingan negeri dan kumpulan minoriti, memberi peluang kepada lebih ramai individu untuk menyumbang kepada negara.


Implikasi dan Akauntabiliti


Akauntabiliti Menteri di Parlimen: Walaupun dilantik sebagai Senator, menteri masih perlu menjawab di Parlimen (Dewan Rakyat). Ini memastikan mereka bertanggungjawab kepada rakyat secara tidak langsung.


Penutup


Pelantikan menteri melalui Dewan Negara sebagai Senator merupakan kaedah yang membolehkan individu berkelayakan menyertai kabinet tanpa perlu bertanding dalam pilihan raya. Ia adalah mekanisme yang sah di sisi Perlembagaan Persekutuan, khususnya melalui Perkara 43(2)(b), yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.


Dewan Negara, sebagai badan legislatif dalam Parlimen Malaysia, berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap Dewan Rakyat, membolehkan individu yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, agama, keusahawanan dan pentadbiran awam menyumbang kepada pembangunan negara tanpa perlu melalui proses pilihan raya.


Pelantikan senator sebagai menteri sering digunakan untuk memastikan keseimbangan dalam kerajaan, membolehkan individu yang berpengalaman menyumbang kepada pentadbiran, dan memastikan kesinambungan dasar kerajaan walaupun mereka tidak memegang kerusi di Dewan Rakyat. Beberapa individu seperti Tengku Zafrul Aziz, Dr. Zulkifli Al-Bakri, Dato' Sri Idris Jala, Tun Daim Zainuddin, dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail adalah antara individu yang telah dilantik sebagai menteri menerusi kaedah ini.


Walaupun pelantikan ini memberi kelebihan dalam mendapatkan tenaga profesional dan teknokrat untuk menyertai kabinet, ia juga menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti. Menteri yang dilantik melalui Dewan Negara masih perlu menjawab soalan dan bertanggungjawab terhadap dasar yang mereka bawa dalam Dewan Rakyat, memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem demokrasi negara.


Namun, terdapat juga persepsi daripada rakyat, terutamanya apabila individu yang kalah dalam pilihan raya tetap dilantik sebagai Senator dan seterusnya menjadi menteri. Bagi sesetengah pihak, ini dilihat sebagai satu bentuk "jalan belakang" untuk mendapatkan kuasa walaupun calon berkenaan telah ditolak oleh pengundi dalam pilihan raya. Ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat kerana dianggap tidak menghormati mandat yang diberikan oleh pengundi. Dalam situasi seperti ini, pelantikan tersebut boleh menjejaskan kepercayaan terhadap kerajaan dan sistem demokrasi secara keseluruhan.


Oleh itu, meskipun pelantikan menteri melalui Dewan Negara mempunyai asas perundangan yang kukuh dan manfaat tertentu, kerajaan perlu lebih peka terhadap sentimen rakyat. Mekanisme ini seharusnya digunakan secara berhemah dengan menilai faktor seperti kelayakan, keperluan kabinet, serta penerimaan rakyat bagi memastikan kepentingan negara dan demokrasi terus terpelihara.


Semoga artikel ini bermanfaat buat semua. Mohon maaf atas kekurangan. Terima kasih.


#azaraslan #siripentadbiranawam #spa

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder