Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga sidang pembaca dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan dan dikurniakan kesihatan berpanjangan.
Selaku seorang graduan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM yang mengambil jurusan Diploma Pentadbiran Awam, Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, di mana setiap program saya mempelajari mengenai kerajaan tempatan, saya terdetik untuk berkongsi berkenaan tugas kerajaan tempatan.
Ramai di antara kita mungkin tidak begitu faham apa sebenarnya tugas kerajaan tempatan dan bagaimana ia berbeza dengan kerajaan negeri. Walhal, kedua-dua entiti ini memainkan peranan penting dalam negara kita. Artikel ini akan menjelaskan tugas utama kerajaan tempatan serta perbezaannya dengan kerajaan negeri secara ringkas, supaya kita lebih memahami struktur pentadbiran negara.
Apa Itu Kerajaan Tempatan?
Kerajaan tempatan, juga dikenali sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah institusi yang berfungsi di peringkat paling hampir dengan masyarakat (grassroot level). Ia bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan asas kepada penduduk setempat. Di Malaysia, kerajaan tempatan merangkumi:
- Majlis Bandaraya atau Dewan Bandaraya (contoh: Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL),
- Majlis Perbandaran (contoh: Majlis Perbandaran Sepang, MPS), dan
- Majlis Daerah (contoh: Majlis Perbandaran Kuala Selangor, MPKS).
Objektif utama kerajaan tempatan adalah memastikan kawasan pentadbiran mereka kekal bersih, selesa, dan berfungsi dengan baik untuk penduduk.
Tugas Utama Kerajaan Tempatan
Menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), berikut adalah antara tugasan entiti ini:
1. Pengurusan Infrastruktur dan Perkhidmatan Awam
- Menyelenggara jalan-jalan kecil, longkang, sistem perparitan, pengumpulan dan pembuangan sisa-sisa pejal dan sistem pembetungan.
- Mengurus lampu dan pencahayaan jalan untuk keselamatan awam.
- Menyediakan perkhidmatan kutipan sampah dan kitar semula.
- Menyediakan perkhidmatan rumah penyembelihan, perkhidmatan veterinar, pengangkutan, kawasan-kawasan pengkebumian dan juga tempat membakar mayat.
2. Kawalan dan Perancangan Pembangunan
- Meluluskan pelan pembangunan dan memastikan zon penggunaan tanah diurus dengan baik.
- Memantau nilai estetika bandar melalui landskap, peraturan papan tanda dan sebagainya.
3. Pelesenan dan Penguatkuasaan
- Mengeluarkan lesen perniagaan, penjaja dan hiburan.
- Menguatkuasakan undang-undang kecil (by-laws) seperti denda untuk pelupusan sampah haram.
4. Pengurusan Kemudahan Awam
- Menyediakan dan menyelenggara taman rekreasi, perpustakaan dan pasar awam.
- Menawarkan kemudahan seperti dewan serbaguna untuk komuniti setempat.
5. Program Sosial dan Komuniti
- Melaksanakan kempen kesihatan dan kebersihan awam.
- Menyediakan bantuan untuk golongan B40, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksanakan inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak menerusi program ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ untuk Keluarga B40. Keluarga B40 yang berdaftar di bawah eKasih menerima baucar bernilai RM300 bagi membeli kelengkapan persekolahan. Maklumat: https://www.sinarharian.com.my/article/651279/edisi/selangor-kl/mbpj-sedia-bantuan-kembali-ke-sekolah
Apa Itu Kerajaan Negeri?
Kerajaan negeri beroperasi pada skala yang lebih besar dan bertanggungjawab terhadap pentadbiran seluruh negeri. Mereka menguruskan sumber asli, membuat dasar negeri dan menyelia agensi kerajaan negeri.
Contoh peranan kerajaan negeri:
- Mengurus sumber seperti hutan, air dan tanah.
- Melaksanakan undang-undang syariah untuk orang Islam.
- Menyediakan perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam pada skala negeri.
- Merancang pembangunan negeri, di bandar dan luar bandar.
- Bekerjasama dengan kerajaan tempatan
Contoh agensi kerajaan negeri:
Untuk memahami agensi kerajaan negeri, kita ambil contoh Kerajaan Negeri Selangor.
Selangor mempunyai 9 daerah:
- Hulu Langat
- Hulu Selangor
- Klang
- Kuala Langat
- Kuala Selangor
- Petaling
- Sabak Bernam
- Sepang
- Gombak
Ini bermaksud semua daerah berikut berada di bawah pantauan Kerajaan Negeri Selangor. Bagi melaksanakan semua inisiatif dan menggerakkan fungsi kerajaan negeri, agensi kerajaan negeri perlu memainkan peranan bagi melaksanakan dasar dan operasi.
Agensi Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Selangor mempunyai pelbagai agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan pentadbiran, pembangunan dan perkhidmatan negeri. Antaranya:
Jabatan Kerajaan Negeri:
- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK Selangor)
Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran, seperti:
- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
- Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK)
- Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)
- Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
- Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB)
Agensi Ekonomi dan Pembangunan:
- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
- Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor)
Agensi Infrastruktur dan Utiliti:
- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)
- Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
Agensi Sosial dan Pendidikan:
- Yayasan Selangor
- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
- Universiti Selangor (UNISEL)
Agensi Pengurusan Sumber:
- Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
- Jabatan Alam Sekitar Selangor
Jumlah sebenar agensi boleh berbeza bergantung kepada definisi agensi, badan berkanun, atau anak syarikat kerajaan negeri.
Bagaimana pula dengan kerajaan tempatan? Ada agensi juga ke?
Kerajaan tempatan tiada agensi tersendiri, namun mereka sering bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, sebagai contoh:
- Jabatan Kerja Raya (JKR): Untuk projek pembinaan besar.
- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS): Untuk isu saliran dan banjir.
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT): Memberi garis panduan kepada PBT.
Perbezaan Utama Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri
Sila rotate screen di telefon jika tak nampak penuh.
*Contoh Enakmen di Negeri Selangor
Berikut adalah contoh Enakmen:
Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
Digunakan untuk mengawal selia isu-isu berkaitan undang-undang Islam seperti kesalahan khalwat, minum arak dan judi dalam kalangan umat Islam.
Contoh penguatkuasaan: Orang Islam yang didapati bersalah minum arak di tempat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1995
Mengawal lesen hiburan seperti kelab malam, pusat karaoke dan panggung wayang.
Contoh penguatkuasaan: Pusat hiburan tanpa lesen boleh dikenakan tindakan penutupan atau denda oleh pihak berkuasa tempatan.
*Contoh Undang-Undang Kecil Yang Terpakai di Negeri Selangor
Berikut adalah contoh Undang-Undang Kecil:
Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Shah Alam) 2007
Mengatur syarat-syarat pelesenan untuk operasi perniagaan, termasuk penjaja, restoran, dan kilang kecil.
Contoh penguatkuasaan: Penjaja yang beroperasi tanpa lesen sah boleh dikenakan denda atau rampasan peralatan.
Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan & Pelupusan Sampah-Sarap (Majlis Bandaraya Subang Jaya) 2007
Bertujuan memastikan kebersihan kawasan termasuk pembuangan sampah dan pengurusan sisa pepejal.
Contoh penguatkuasaan: Premis yang gagal menjaga kebersihan boleh dikenakan kompaun atau diarahkan untuk ditutup sementara.
Contoh Situasi: Siapa Buat Apa?
Jom kita lihat dalam situasi berikut, permasalahan tersebut akan jatuh di bawah kerajaan peringkat mana. Kita ambil contoh yang dekat di hati rakyat.
1. Jalan Berlubang di Lorong Kecil Berdekatan Rumah
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Hubungi kerajaan tempatan seperti Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah untuk membuat aduan.
2. Lampu Jalan Tidak Menyala
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Ini juga di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan. Hubungi majlis bandaraya atau perbandaran kawasan anda.
3. Pendaftaran Tanah untuk Rumah atau Ladang
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Negeri
Kerajaan negeri melalui pejabat tanah dan galian (PTG) negeri akan menguruskan perkara berkaitan tanah.
4. Membuka Perniagaan Penjaja di Pasar Malam
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Anda perlu memohon lesen penjaja daripada kerajaan tempatan, contohnya Majlis Daerah atau Majlis Bandaraya.
5. Aduan Kesesakan Lalu Lintas di Jalan Utama
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Negeri Melalui Jabatan Kerja Raya (JKR)
Jika jalan tersebut adalah lebuh raya negeri atau jalan besar, aduan perlu disalurkan kepada kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).
6. Kawasan Rumah Dilanda Banjir Kilat
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri
Kerajaan tempatan bertanggungjawab menyelenggara longkang dan parit kecil. Namun, jika melibatkan sungai besar atau sistem saliran utama, ia adalah di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dikelola oleh kerajaan negeri.
7. Permohonan Pinjaman Perumahan untuk Golongan B40
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Negeri
Kerajaan negeri biasanya mempunyai skim khas seperti Rumah Selangorku (Selangor) atau Rumah Mesra Rakyat (negeri lain).
8. Mengadu Tentang Restoran yang Tidak Bersih
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Hubungi kerajaan tempatan untuk laporan kebersihan premis makanan. Mereka boleh mengeluarkan denda atau menutup premis jika perlu.
9. Pembersihan Pokok yang Menghalang Jalan Raya
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri
Jika di jalan kecil atau taman perumahan, kerajaan tempatan bertanggungjawab untuk hal ini. Tetapi jika di jalan utama negeri, ia adalah di bawah kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR). Jalan Utama Negeri ada kodnya yang tersendiri. Nak mudah faham, dia ikut kaedah huruf plat kenderaan. Selangor huruf B. Kelantan huruf D.
10. Masalah Kekurangan Bekalan Air
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Negeri melalui Syarikat Utiliti Negeri
Bekalan air adalah di bawah syarikat utiliti negeri seperti Air Selangor, SAINS (Negeri Sembilan), atau SATU (Terengganu). Hubungi pihak berkaitan untuk maklumat lanjut.
11. Peraturan Mendirikan Gerai atau Kedai Sementara
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Kerajaan tempatan menetapkan syarat dan mengeluarkan permit sementara untuk tujuan tersebut.
12. Mengadu Tentang Kawasan Taman Rekreasi yang Tidak Diselenggara
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Hubungi kerajaan tempatan kerana taman rekreasi kecil adalah di bawah penyeliaan mereka.
13. Pengurusan Sumber Hutan
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Negeri
Pengurusan sumber asli seperti hutan simpan adalah di bawah kerajaan negeri. Sebarang aktiviti pembalakan atau pembangunan perlu mendapat kelulusan mereka.
14. Permohonan Projek Pembangunan Besar Seperti Pusat Membeli-Belah
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan
Ini memerlukan kelulusan kerajaan negeri kerana ia melibatkan dasar perancangan tanah dan pembangunan negeri. Namun, kerajaan tempatan juga terlibat dalam penguatkuasaan zon dan pelan pembangunan.
15. Aduan Tentang Kebisingan Akibat Aktiviti Perniagaan
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Kerajaan tempatan menguatkuasakan undang-undang kecil berkaitan pencemaran bunyi dan boleh mengambil tindakan jika ada aduan. Bertikut adalah contoh pusat hiburan buat bising hingga ke pagi: https://majoriti.com.my/berita/2022/08/30/pusat-hiburan-bising-hingga-ke-pagi-penduduk-seksyen-16-petaling-jaya-mula-bengang
16. Bantuan Bencana Seperti Rumah Rosak Akibat Ribut
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri
Bantuan segera biasanya dikoordinasi oleh kerajaan tempatan. Namun, kerajaan negeri juga akan terlibat dalam memberikan bantuan kewangan atau pembaikan besar-besaran.
17. Masalah Lambakan Anjing Liar dan Populasi Kucing Jalanan
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Masalah ini adalah di bawah kerajaan tempatan. Mereka bertanggungjawab terhadap kawalan populasi kucing jalanan dan anjing liar melalui undang-undang kecil, akta dan prosedur operasi standard (SOP). PBT biasanya akan bekerjasama dengan pertubuhan berkaitan haiwan. Untuk perkara ini, boleh rujuk sini: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/04/mbpj-akan-libatkan-ngo-penduduk-dalam-operasi-tangkap-anjing-liar/
18. Bau Busuk Dari Kilang Atau Ladang
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS)
Aduan tentang pencemaran bau boleh dibuat kepada kerajaan tempatan untuk pemeriksaan awal. Jika melibatkan pencemaran besar, JAS akan bertindak.
19. Masalah Jalan atau Jalan Rosak di Kampung
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Negeri Melalui Jabatan Kerja Raya
Aduan boleh disalurkan kepada pejabat daerah atau JKR untuk tindakan selanjutnya.
20. Masalah Kenderaan Terbengkalai di Kawasan Perumahan
Siapa Bertanggungjawab?: Kerajaan Tempatan
Aduan boleh disalurkan ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) / Kerajaan Tempatan kawasan masing-masing untuk tindakan selanjutnya. Boleh baca di sini: https://majoriti.com.my/berita/2023/04/12/jika-disusun-hampir-6000-kenderaan-tersadai-ditunda-pbt-di-selangor-melepasi-aras-gunung-everest
Kesimpulan
Kerajaan tempatan dan kerajaan negeri saling melengkapi antara satu sama lain dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar. Kerajaan tempatan memberi fokus kepada isu-isu harian rakyat, manakala kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap dasar dan perancangan jangka panjang. Sebagai rakyat, kita perlu memahami peranan setiap entiti ini agar dapat menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah.
Semoga maklumat ini membantu. Terima kasih kerana membaca dan menyinggah blog ini. Mohon maaf atas kekurangan.
#azaraslan
Catat Ulasan