Bluetooth Intercom



Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog Azaraslan.


Nama saya Muhammad Sulaiman Badri bin Mohd Razali, dan ini adalah artikel pertama saya di platform ini. Terima kasih kepada mentor saya Tuan Azeem, pemilik blog ini, yang memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pandangan di sini. 


Sebagai seorang junior yang banyak belajar daripada Tuan Azeem, saya sentiasa tertarik dengan cara beliau mengupas pelbagai topik. Dalam artikel pertama saya ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang perbezaan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Malaysia.


KERAJAAN PERSEKUTUAN VS KERAJAAN NEGERI


Apabila kita bercakap tentang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, ada sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, "Bukankah mereka sepatutnya bekerjasama untuk membangunkan negara?" Secara teori, memang itu yang sepatutnya berlaku, tetapi realitinya ia tidak selalu begitu. Terutamanya apabila kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ditadbir oleh parti politik yang berbeza. Dalam kes seperti ini, kadang-kadang kita akan melihat sedikit konflik atau percanggahan dalam polisi yang hendak dilaksanakan.


APA ITU KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI?


Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita fahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


Kerajaan Persekutuan adalah kerajaan pusat yang mentadbir negara secara keseluruhan. Kerajaan ini menguruskan hal-hal yang melibatkan seluruh negara, seperti pertahanan, hubungan luar negara, kesihatan dan pendidikan.


Kerajaan Negeri pula mentadbir setiap negeri di Malaysia secara terpisah, menguruskan hal-hal yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat di negeri itu seperti tanah, hasil hutan, kebajikan dan perancangan negeri.


BIDANG KUASA KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI


Tadi anda sudah pelajari definisi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Jom kita fahami bidang kuasa mereka pula.


Perlembagaan Malaysia menggariskan dengan jelas kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Semua ini dijelaskan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang membahagikan bidang kuasa kepada tiga senarai:


Senarai 1 (Senarai Persekutuan): Senarai ini mengandungi bidang kuasa yang hanya boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Contohnya, pertahanan negara dan keselamatan dalam negeri. 


Senarai 2 (Senarai Negeri): Senarai ini pula mengandungi bidang kuasa yang terletak di bawah Kerajaan Negeri. Contohnya, pengurusan tanah dan kebajikan masyarakat setempat kecuali di tiga Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan). 


Senarai 3 (Senarai Bersama): Senarai ini mengandungi bidang kuasa yang dikongsi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Contohnya, dalam menguruskan hal kebudayaan dan sukan serta kesihatan awam. 


KENAPA ADA KONFLIK BIDANG KUASA?


Sekarang, anda mungkin tertanya-tanya, jika bidang kuasa ini sudah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan, mengapa ada konflik?


Konflik boleh berlaku apabila salah satu kerajaan ‘masuk campur’ dalam bidang kuasa kerajaan yang lain. Antara gambaran mudah ialah apabila Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang yang sebenarnya sepatutnya diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Begitu juga sebaliknya. Boleh lihat contoh di bawah selepas ini.


APA YANG TERJADI JIKA KONFLIK BIDANG KUASA BERLAKU?


Perlembagaan Persekutuan memberi keutamaan kepada undang-undang yang digubal oleh Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna, jika berlaku pertindihan antara undang-undang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, undang-undang Persekutuan akan diutamakan.


Namun begitu, kebanyakan masa, kedua-dua kerajaan akan cuba berbincang dan mencapai penyelesaian yang baik, tanpa melanggar bidang kuasa masing-masing. Ini dapat dilihat dalam satu insiden di mana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bekerjasama untuk menyelesaikan isu yang berbangkit. 


CONTOH: BIDANG KUASA TANAH


Satu contoh yang boleh dilihat adalah ketika Kerajaan Persekutuan ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Pada masa itu, Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada Negeri Selangor. Dalam situasi ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah berbincang dan mencapai persetujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan, yang membawa kepada pembentukan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran negara. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Kuala Lumpur. 


Perjanjian ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah kerana sebagai gantinya, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membayar RM 200 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi membangunkan sebuah ibu negeri yang baharu yang sekarang dikenali sebagai Shah Alam. 


MENGAPA PENTING UNTUK MEMAHAMI SEMUA INI?


Konflik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah perkara biasa dalam sistem pemerintahan negara berperlembagaan seperti Malaysia. Tetapi, apa yang lebih penting ialah bagaimana kedua-dua kerajaan ini bekerjasama untuk memastikan kepentingan negara diutamakan. Dalam usaha untuk mencapai kemajuan, kedua-dua kerajaan perlu sentiasa menghormati bidang kuasa masing-masing dan berkerjasama untuk kebaikan rakyat.


Cogan kata yang tertulis di Jata Negara, "Bersekutu Bertambah Mutu", memberi maksud bahawa apabila semua pihak bekerjasama dengan harmoni, negara akan menjadi lebih maju dan berjaya.


KESIMPULAN


Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai peranan dan bidang kuasa masing-masing yang perlu dihormati. Walaupun kadangkala terdapat konflik antara kedua-duanya, mereka perlu bekerjasama dan memastikan bahawa keharmonian serta kepentingan negara menjadi keutamaan. Dengan semangat "Bersekutu Bertambah Mutu", kita dapat memastikan negara ini terus berkembang maju.


Selain itu, bagi mereka yang ingin memahami lebih lanjut tentang peranan dan fungsi kerajaan tempatan dalam sistem pentadbiran Malaysia, anda boleh membaca artikel yang telah disediakan oleh Tuan Azeem, pemilik blog ini. 


Artikel tersebut mengupas dengan lebih mendalam mengenai Kerajaan Tempatan dan bagaimana ia berperanan dalam konteks pembangunan dan pentadbiran di peringkat tempatan. Untuk maklumat lanjut, anda boleh klik pautan berikut: https://www.azaraslan.com/2025/01/kerajaan-tempatan-buat-kerja-apa-apa.html 


Saya berharap artikel ini dapat memberi sedikit penjelasan dan pemahaman mengenai perbezaan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Malaysia. Jika ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila tinggalkan komen di bawah. Terima kasih kepada semua pembaca kerana meluangkan masa untuk membaca artikel ini. Mohon maaf sekiranya ada kekurangan atau kesilapan dalam penulisan saya.


Sumber: Arkib Negara, Perlembagaan Persekutuan, Perpustakaan Negara Malaysia



#Azaraslan #MSBadri #SiriPentadbiranAwam #KerajaanPersekutuanvsKerajaanNegeri #SPA 

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder