Perlawanan persahabatan bersama MenBol KL selaku penjaga gol, di Genting Highlands


Tahukah anda? Terdapat sebuah kajian menarik yang dijalankan oleh penyelidik dari Program Studi Pendidikan Kepelatihan Olahraga, Fakultas Ilmu Olahraga, Universitas Negeri Surabaya (UNESA) berjudul "Minat Siswa Pemain Bola Usia Dini Terhadap  Posisi Penjaga Gawang di Sekolah Sepak Bola (SSB) Kabupaten Tulungagung". Kajian ini mempunyai 10 muka surat dan telah diterbitkan di platform e-Jurnal institusi tersebut.


Dalam kajian ini, seramai 136 pelajar dari empat SSB telah menjadi responden. Kajian ini bertujuan untuk memahami minat pelajar terhadap posisi penjaga gol dalam bola sepak.


Hasil kajian menunjukkan bahawa minat terhadap posisi penjaga gol berada pada tahap yang sangat rendah. Berikut adalah peratusan minat responden terhadap setiap posisi dalam bola sepak:


  • Penyerang / Striker: 37.9% (52 orang)
  • Pemain Tengah / Midfielder: 33.6% (46 orang)
  • Pertahanan / Defender: 20.2% (27 orang)
  • Penjaga Gol / Goalkeeper: 8.3% (11 orang)


Persoalannya, apa yang menyebabkan mereka memilih untuk menjadi penjaga gol? Dalam kajian tidak ada perbincangan khusus mengenai perkara ini. Kajian ini memfokuskan perbincangan faktor pelajar tidak memilih posisi penjaga gol. Pemilihan posisi penjaga gol oleh 11 responden mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor:


  • Tertarik terhadap cabaran dan tanggungjawab
  • Keinginan untuk menonjol
  • Mempunyai keperluan kemahiran sebagai penjaga gol seperti ketangkasan tangan, refleks cepat, dan kemampuan untuk membaca perlawanan.
  • Keinginan untuk berperanan sebagai pemimpin di padang
  • Pengaruh jurulatih atau idola
  • Minat atau pengalaman sebelumnya


Berikut adalah analisis yang disimpulkan dalam kajian ini:


  • Posisi penyerang paling diminati kerana mereka sering menjadi tumpuan, menjaringkan gol dan mendapat perhatian lebih.
  • Pemain tengah juga popular kerana peranan penting mereka dalam mengawal permainan (playmaker) dan mencipta peluang.
  • Pertahanan berada di tempat ketiga kerana tugas mereka kurang mendapat pengiktirafan walaupun penting.
  • Penjaga gol adalah posisi yang paling kurang diminati kerana tekanan tinggi, kurang aksi langsung dan risiko kecederaan.


Sungguhpun begitu, andai saya adalah salah seorang responden, kemungkinan besar saya akan tergolong dalam 11 orang yang memilih posisi penjaga gol. Artikel ini akan mengupas mengapa saya memilih posisi yang kurang popular ini.


1. Inspirasi dari Ayah


Ayah saya adalah peminat bola sepak. Kelab yang diminatinya pula ialah Arsenal FC. Dari situlah saya mula meminati Arsenal FC sehingga ke hari ini. Saya diberitahu oleh ayah bahawa beliau bermain bola sepak sebagai penjaga gol sewaktu zaman universiti dan kerja. Ayah bercerita tentang pengalaman-pengalaman menarik dan cabaran yang dihadapinya di atas padang. Cerita tersebut menarik minat saya untuk mencuba posisi penjaga gol, dan cerita ini juga membuka mata saya tentang pentingnya peranan seorang penjaga gol dalam sesebuah pasukan.


Pada suatu hari, ayah memberikan kepada saya baju jersi penjaga gol yang pernah dipakainya. Itu adalah hadiah yang sangat istimewa. Setiap kali saya menyarung jersi tersebut, saya dapat merasakan aura dan semangat yang berselindung di sebalik baju ini, sekali gus meningkatkan azam untuk terus berusaha menjadi penjaga gol yang terbaik.


Jersi penjaga gol yang ayah saya berikan


2. Inspirasi dari Penjaga Gol Legenda Dunia


Selain daripada inspirasi yang diperolehi daripada ayah, saya juga terinspirasi oleh beberapa penjaga gol legenda dunia. Salah seorang idola saya ialah Jens Lehmann, penjaga gol ikonik dari Jerman yang dikenali kerana keberanian, ketangkasan dan gaya permainannya yang unik. Lehmann, yang sering digelar sebagai "Mad Jens", terkenal dengan keperibadiannya yang tegas, emosi yang kadang-kala meletus di atas padang dan kesediaannya untuk mengambil risiko yang luar biasa demi melindungi gawang.


Gelaran "Mad Jens" mencerminkan watak Lehmann yang luar biasa – sentiasa penuh dengan semangat membara dan tidak gentar menghadapi tekanan. Satu peristiwa ikonik yang mencerminkan ciri-ciri ini ialah semasa beliau membantu Arsenal FC mencapai rekod "The Invincibles" pada musim 2003/2004, di mana pasukan ini tidak kalah dalam satu perlawanan pun sepanjang musim Liga Perdana Inggeris. Lehmann menjadi simbol kestabilan di bahagian pertahanan Arsenal FC dengan keupayaannya yang luar biasa untuk membaca permainan dan melakukan penyelamatan gol yang mustahil.


Sebagai seorang penjaga gol, saya melihat Jens Lehmann sebagai penjaga gol yang all rounder atau seimbang. Walaupun beliau dikenali dengan kelakuan yang kadangkala kontroversi, semangat juang dan dedikasi beliau terhadap pasukannya mengajar saya bahawa menjadi seorang penjaga gol memerlukan keberanian untuk membuat keputusan besar, walaupun ia melibatkan risiko. Bagi saya, Lehmann adalah bukti bahawa penjaga gol bukan sahaja pelindung gawang tetapi juga individu yang boleh mengubah momentum sesuatu perlawanan.


Jens Lehmann

Jens Lehmann dan Graham Stack bersama trofi "Invincibles". Gambar dari laman rasmi Arsenal FC.


3. Tekanan, Cabaran dan Kepuasan dalam Posisi Penjaga Gol


Sebagai penjaga gol, saya sentiasa berhadapan dengan tekanan tinggi. Setiap kali bola hampir masuk ke gawang, beban di bahu saya menggunung, kerana kita mahu memastikan pemain tidak menjaringkan gol.  Namun, itulah yang membuatkan saya begitu tertarik dengan posisi ini.


Memetik kata-kata Iker Casillas, penjaga gol legenda Real Madrid CF: “Most kids dream of scoring the perfect goal. I've always dreamed of stopping it."


Menjadi penjaga gol mengajar saya untuk kekal tenang dalam situasi sukar dan membuat keputusan bijak dan terbaik (berdasarkan keadaan semasa) dalam sekelip mata. Antara peristiwa yang kekal ingat dalam sanubari saya ialah apabila saya dapat menyelamatkan penalti. Waktu itu, saya mewakili Program Diploma Pentadbiran Awam FSPPP (Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Seremban) menentang Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) UiTM Seremban dalam perlawanan persahabatan. Walaupun kami kalah 2-1 pada ketika itu, banyak aksi penyelamatan akrobatik yang dilakukan untuk memastikan bola tidak melepasi gol. Saat itu adalah momen yang penuh dengan kepuasan yang sukar digambarkan. Selepas perlawanan tamat, ada beberapa pemain FSR datang dan mengajak saya untuk datang pemilihan untuk mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam Karnival Sukan Mahasiswa UiTM (KARiSMA). Walaupun saya teringin nak pergi, namun kekangan masa dan komitmen ketika itu tidak mengizinkan saya untuk meneruskan hasrat tersebut. Sewaktu zaman belajar, saya amat aktif dengan persatuan fakulti, persatuan silat, Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Pembimbing Rakan Siswa


Pengalaman Bersama MenBol KL


Selepas lebih 9 tahun tidak bermain bola sepak padang (kali terakhir bermain pada tahun 2015), saya akhirnya kembali bermain bersama MenBol KL pada tahun 2024. Pejam celik, saya dah beraksi bersama MenBol KL untuk 7 sesi (setakat tarikh artikel ini ditulis). MenBol KL menawarkan platform bola sepak komuniti yang santai di mana kami bukan bermain untuk berlawan, tetapi bermain untuk keseronokan. Di sini, aksi seperti "main parap" tidak dibenarkan. Jika berlaku, pengadil akan ambil tindakan.


Setiap sesi bersama MenBol KL ini memberi saya peluang untuk mengasah semula kemahiran sebagai penjaga gol sambil menikmati suasana yang mesra dan santai. Walaupun saya sudah lama tidak bermain, semangat dan dedikasi saya terhadap posisi ini tetap kuat. Bersama MenBol KL, saya bukan hanya dapat mempamerkan kebolehan saya di padang, tetapi juga belajar bagaimana untuk berkerjasama lebih baik dengan rakan sepasukan dalam menghadapi cabaran, sambil membina keyakinan diri dari semasa ke semasa.


Nak main dengan MenBol KL, bayarannya RM35 sahaja. Dengan RM35, anda akan dapat:

  • Gambar profesional daripada sports photographer
  • Rakaman video permainan selama 90 minit oleh videographer
  • Bayaran termasuk pengadil dan padang
  • Padang yang digunakan ialah padang sekolah antarabangsa yang diselenggara dengan baik


Padang ini adalah padang sintetik. Maka kasut yang sesuai adalah kasut jenis AG turf (Artificial Grass). Bak kata penganjur, "Recommended footwear includes football boots (FG, AG, MG) and astro turf shoes". Berikut adalah kasut yang saya pakai: https://s.shopee.com.my/4AkJwlP0iO?share_channel_code=1


Ni jenis kasut saya pakai. Kita kena pakai kasut yang sesuai. Kalau tak nanti kita tergelincir sebab licin dan sebagainya. Boleh tekan gambar kasut untuk dapatkan maklumat terperinci.




Kesemua di atas adalah gambar yang ditangkap oleh sports photographer.


Video di tengah adalah rakaman daripada videographer MenBol KL. Ni saya edit untuk upload ke social media.


Berbaloi kan? Kepada yang berminat, MenBol KL mempunyai group WhatsApp community. Boleh join di sini untuk perkembangan terkini: https://chat.whatsapp.com/LWhCkoswNotIQ5YqumMRiz 



Group photo with the boys


Kepada yang berminat untuk mengikuti sesi bersama MenBol KL, boleh layari laman sesawang mereka di sini: https://menbolkl.com/


Baju Arsenal retro atau lama. Boleh beli di sini: https://s.shopee.com.my/704UJBc5gZ?share_channel_code=1. Kedai ni ada jual jersi retro kelab lain juga.


Kesimpulan


Bagi saya, menjadi penjaga gol / goalie / goalkeeper bukan sekadar suatu posisi dalam bola sepak, tetapi merupakan keputusan yang mencerminkan keberanian, ketekunan dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Inspirasi daripada ayah saya, yang menghadiahkan jersi penjaga gol yang pernah dipakainya, serta idola legenda seperti Jens Lehmann, telah membentuk semangat saya dalam menggalas peranan ini. Selain itu, pengalaman bermain bersama MenBol KL memperkukuhkan lagi mutu permainan saya selaku penjaga gol dari semasa ke semasa, di mana setiap sesi menawarkan peluang untuk memperbaiki kemahiran dan membina keyakinan di atas padang, selain menjalin ukhwah bersama komuniti bola.


Menjadi penjaga gol turut mengajar saya bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada pembelajaran, dan kejayaan adalah hasil daripada usaha yang tidak mengenal putus asa. Bak kata pepatah, hasil tidak akan khianati usaha.


Di samping itu, bagi anda yang ingin menyertai komuniti bola sepak santai, MenBol KL adalah pilihan terbaik untuk menghidupkan kembali minat yang terkubur, membina keyakinan yang hilang, dan menikmati permainan dalam suasana yang menyeronokkan.


Sekian, terima kasih.


#azaraslan #menbolfc


1 Ulasan

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama