Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera. Semoga dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan dan dikurniakan kesihatan berpanjangan.


Dalam konteks pentadbiran kerajaan, ramai orang masih keliru dengan peranan ahli politik dan penjawat awam. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam pengurusan negara, namun fungsi dan tanggungjawab mereka amat berbeza. Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan perbezaan tersebut secara ringkas dan bagaimana mereka saling melengkapi dalam sistem pentadbiran negara.


Siapakah Ahli Politik?


Ahli politik ialah individu yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya untuk mewakili mereka di peringkat negeri dan kebangsaan. Mereka bertanggungjawab merangka undang-undang, dasar dan strategi pembangunan negara. Sebagai contoh:


  • Kuasa: Ahli politik mempunyai kuasa untuk berbahas, membentang idea dan membuat keputusan berkaitan dengan dasar, bagi membantu menyelesaikan atau mengurangkan masalah rakyat, dan memberi impak kepada pembangunan negara. Sebagai contoh, Menteri Pengangkutan memperkenalkan pas perjalanan My50 untuk memudahkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Selain itu, Menteri Komunikasi dan Digital memperkenalkan program PerantiSiswa, iaitu memberikan tablet kepada pelajar dari golongan B40 untuk meningkatkan akses pendidikan secara digital.
  • Kedudukan: Mereka berada dalam badan eksekutif (kabinet kerajaan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri) atau legislatif seperti Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).


Siapakah Penjawat Awam?


Penjawat awam ialah individu yang dilantik oleh kerajaan untuk berkhidmat kepada negara dalam pelbagai peringkat pentadbiran. Mereka adalah tulang belakang pentadbiran awam yang memastikan dasar-dasar yang dirangka oleh ahli politik dapat dilaksanakan dengan berkesan.


Contoh


Penjawat awam merangkumi pelbagai jawatan, termasuklah guru, doktor, polis, anggota tentera, pegawai tadbir dan juga pekerja sokongan seperti pemandu atau juruteknik kerajaan. Berikut adalah contoh kategori penjawat awam:


  • Perkhidmatan Awam Persekutuan: Merangkumi kementerian, jabatan kerajaan dan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan.
  • Perkhidmatan Awam Negeri: Penjawat awam yang berkhidmat untuk kerajaan negeri seperti pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
  • Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan: Penjawat awam yang berkhidmat di bawah pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
  • Anggota Badan Berkanun: Penjawat awam yang berkhidmat dalam badan berkanun seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Universiti Awam (UA).
  • Guru di sekolah kebangsaan yang mendidik generasi muda.
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjaga keselamatan negara.


Ciri-ciri penjawat awam adalah seperti berikut:


  • Tanggungjawab: Melaksanakan polisi, mengurus pentadbiran harian dan memastikan keberkesanan perkhidmatan awam.
  • Neutraliti: Mereka perlu bersikap berkecuali (non-partisan) dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan ideologinya.
  • Kedudukan: Berkhidmat di pelbagai jabatan kerajaan di peringkat persekutuan, negeri atau tempatan.


Jadual Perbandingan Antara Ahli Politik dan Penjawat Awam


Sila rotate screen sekiranya jadual tidak nampak secara penuh.

Aspek

Ahli Politik

Penjawat Awam

Sumber Kuasa

Mandat rakyat melalui pilihan raya (bagi peranan sebagai Ahli Parlimen dan Ahli DUN)


Pilihan raya di peringkat parti politik (untuk jawatan dalaman parti)

Melalui pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPN).

Tempoh Perkhidmatan

Selagi masih diberi mandat oleh rakyat melalui pilihan raya. Di Malaysia, pilihan raya diadakan 5 tahun sekali.

Sehingga bersara

Fokus Tugas

Pembangunan dasar, tugas semak dan imbang.

Pelaksanaan dasar dan pengurusan operasi

Neutraliti

Tidak berkecuali (partisan) kerana terlibat dalam politik

Berkecuali (non-partisan) dan tidak memihak pada mana-mana parti politik


Kebiasaan Salah Faham Tugasan


Kerap kali berlaku salah faham tentang tugasan antara ahli politik dan penjawat awam. Antara yang popular ialah penjawat awam dianggap bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan dasar. Sebenarnya, ahli politik bertanggungjawab merangka dan meluluskan dasar, manakala penjawat awam hanya melaksanakannya.

Berikut adalah contoh mudah bagi melihat perbezaan fungsi antara kedua-dua peranan ini:


Contoh 1: Pelaksanaan Dasar Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)


Ahli Politik: Menteri Kewangan bertanggungjawab merangka dan memperkenalkan dasar bantuan kewangan ini semasa pembentangan bajet di Parlimen. Menteri juga menetapkan garis panduan seperti kelayakan penerima, jumlah bantuan dan tarikh pelaksanaan.


Penjawat Awam: Pegawai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertanggungjawab melaksanakan dasar ini dengan menguruskan pendaftaran penerima, memproses permohonan dan memastikan bantuan diagihkan kepada mereka yang layak.


Contoh 2: Projek MRT 3 (Mass Rapid Transit Line 3)


Ahli Politik: Menteri Pengangkutan membuat pengumuman dan meluluskan projek MRT 3 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di kawasan bandar. Menteri juga bertanggungjawab mendapatkan kelulusan pembiayaan projek.


Penjawat Awam: Pegawai di Prasarana Malaysia Berhad dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menguruskan pelaksanaan projek ini, termasuk tender kontraktor, pemantauan pembinaan dan memastikan projek disiapkan mengikut jadual.


Contoh 3: Kempen E-Tunai Belia Rahmah


Ahli Politik: Perdana Menteri mengumumkan kempen e-Tunai Belia Rahmah, yang memberikan kredit e-dompet kepada golongan belia sebagai langkah menggalakkan penggunaan transaksi digital sekali gus menyokong merancakkan aktiviti ekonomi negara.


Penjawat Awam: Pegawai di Kementerian Kewangan bekerjasama dengan syarikat e-dompet seperti Touch ‘n Go eWallet untuk menguruskan pendaftaran penerima, pemindahan kredit dan pemantauan pelaksanaan program.


Kebergantungan Antara Kedua-dua Peranan


Walaupun terdapat perbezaan antara kedua-dua peranan ini, ahli politik dan penjawat awam saling bergantung antara satu sama lain. Ahli politik memerlukan kepakaran penjawat awam untuk melaksanakan dasar yang dirancang, manakala penjawat awam memerlukan panduan dasar daripada ahli politik.


Sebagai contoh, semasa menangani pandemik COVID-19, ahli politik seperti Menteri Kesihatan menggubal prosedur operasi standard (SOP), sementara penjawat awam seperti Ketua Pengarah Kesihatan dan petugas kesihatan di hospital dan klinik menjalankan pelaksanaan yang ditetapkan bagi mengekang wabak tersebut.


Kesimpulan


Secara keseluruhan, peranan ahli politik dan penjawat awam dalam pentadbiran negara adalah saling melengkapi antara satu sama lain, meskipun mereka mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Ahli politik dipilih oleh rakyat untuk merangka dasar, undang-undang dan keputusan strategik yang membawa impak besar kepada negara. Sementara itu, penjawat awam memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar tersebut, memastikan ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang praktikal dan memberi manfaat kepada rakyat.


Penting bagi kita memahami bahawa hubungan antara kedua-dua pihak ini bukan hanya berdasarkan struktur hierarki, tetapi juga kerjasama yang erat dan berterusan. Tanpa penglibatan aktif dan persefahaman antara ahli politik yang merangka dasar dan penjawat awam yang melaksanakannya, pembangunan negara akan terhenti dan terbantut di tengah jalan. Oleh yang demikian, untuk mencapai kemajuan yang mampan, kedua-duanya perlu bekerja dalam harmoni, sentiasa berpegang pada prinsip keadilan, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat.


Dengan memahami perbezaan serta peranan masing-masing, kita dapat memastikan bahawa setiap pihak dapat memberikan yang terbaik dalam usaha membangunkan negara. Kerjasama yang kukuh antara ahli politik dan penjawat awam adalah kunci kepada pentadbiran yang berkesan dan kesejahteraan rakyat yang berpanjangan.


Semoga artikel ini membantu, Jumpa lagi di lain entri. Terima kasih atas bacaan dan sokongan!


Azeem

Alumni Diploma Pentadbiran Awam UiTM

Alumni Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran UiTM

Alumni Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran UiTM


#azaraslan #penjawatawam #ahlipolitik #siripentadbiranawam #pentadbiranawam

Post a Comment

Terbaru Lebih lama