Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera. Semoga semua dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesihatan berpanjangan.
Pada bulan Oktober 2024, saya memenuhi jemputan daripada MPP UiTM Cawangan Negeri Sembilan Sesi 2024/25 (MPP UiTM NS) untuk menjadi ahli panel bagi Forum MentorTalk: Sinar Kepimpinan Generasi Baru.
UiTM Negeri Sembilan amat dekat di sanubari saya. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Apabila mendapat undangan ini, saya berasa amat berbesar hati untuk menghadiri majlis ini.
Ini adalah kali pertama saya turut serta sebagai panel bagi topik kepimpinan. Sebelum ini lebih terarah ke topik berkaitan kerjaya dan kesukarelawanan.
Saya juga dapat bertemu lagi rakan-rakan seperjuangan yang hebat dalam MPP, iaitu Saudara Muhd Hail Haris dan Saudari Siti NurHanim Nadia. Kali terakhir berjumpa dengan mereka ialah pada zaman belajar, iaitu 6-7 tahun lepas.
Selain itu, saya juga seronok dapat mengenali Dr Mayang, Dr Sazlin dan barisan MPP bagi sesi ini di samping berjumpa dengan sosok yang saya kenal seperti En Nasrul Ashraf Nasrul Malik. Timbalan Rektor HEP iaitu En. Mohd Zulhilmi Mohd Yunus tidak dapat hadir, maka tak ada kesempatan untuk bersua muka.
Terima kasih MPP UiTM NS atas jemputan. Semoga kupasan yang diberikan menepati objektif dan bermanfaat buat audiens dan mohon maaf atas segala kekurangan daripada saya.
LATAR BELAKANG AHLI FORUM
- En. Ahmad Azeem: Mantan YDP MPP UiTM Negeri Sembilan Sesi 2017/18. Sekretariat MPP UiTM Negeri Sembilan Kampus Seremban selama 4 penggal bermula sesi 2013/14, 2014/15, 2015/16 dan 2016/17.
- Pn. Hanim: Mantan YDP MPP UiTM Negeri Sembilan Sesi 2018/19.
- En. Hail Haris: Mantan YDP MPP UiTM Negeri Sembilan Sesi 2016/17.
KUPASAN FORUM
Berikut adalah soalan dan jawapan yang diberikan oleh setiap panel secara ringkas:
En. Ahmad Azeem
Soalan 1: Apakah cabaran terbesar yang pernah dialami sewaktu memegang jawatan pemimpin dan bagaimana cara untuk menghadapinya?
Bagi saya, cabaran terbesar sebagai seorang pemimpin adalah pengurusan pasukan. Nampak macam mudah, tetapi sebenarnya amat sukar. Jika kita gagal uruskan pasukan, kita akan gagal untuk mencapai segala objektif, visi dan misi yang ditetapkan sepanjang penggal.
Setiap ahli MPP dan Sekretariat MPP mempunyai pandangan, komitmen dan gaya kerja yang berbeza. Konflik kecil seperti salah faham dalam komunikasi atau perbezaan keutamaan sering kali berlaku dalam organisasi.
Untuk mengatasinya, saya memastikan komunikasi terbuka dan komunikasi berkesan menjadi keutamaan, dan saya mengadakan open-door policy untuk menjayakan inisiatif tersebut. Saya juga mengadakan mesyuarat secara berkala bagi memastikan semua ahli boleh menyuarakan pendapat mereka. Saya juga mengamalkan pendekatan kepimpinan inklusif dengan mendengar cadangan, memberi penghargaan kepada usaha mereka, dan menyelesaikan konflik dengan berbincang secara profesional.
Saya turut belajar bahawa menjadi pemimpin, terutamanya sebagai MPP, kita bukan hanya sekadar memberi arahan dan mengharapkan AJK melaksanakan tugasan seperti disuruh. Sebaliknya, ia memerlukan kemahiran komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan hasrat dengan jelas dan memastikan ahli pasukan faham peranan masing-masing.
Satu lagi cabaran besar yang saya hadapi ialah membuat keputusan yang tidak popular. Dalam situasi seperti ini, saya akan memastikan keputusan itu dibuat berdasarkan kepentingan jangka panjang dan manfaat keseluruhan, walaupun ia mungkin sukar diterima pada mulanya. Saya juga akan berkomunikasi secara jelas untuk menjelaskan rasional di sebalik keputusan tersebut bagi mendapatkan sokongan pasukan.
Bagi melaksanakan suatu keputusan tidak popular, analisis SWOT amat penting untuk dilakukan bagi menyokongan tindakan kita. berikut adalah contoh analisis SWOT:
Kekuatan (Strengths):
- Keputusan tersebut mungkin bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar secara keseluruhan.
- Pemimpin menunjukkan kepimpinan yang tegas dan jelas, yang meningkatkan kepercayaan pelajar terhadap keputusan jangka panjang.
Kelemahan (Weaknesses):
- Pelajar mungkin tidak setuju dengan keputusan tersebut dan berasa kecewa atau terpinggir.
- Kurangnya sokongan kepada MPP dari pelajar yang terkesan dengan keputusan tersebut.
Peluang (Opportunities):
- Memberikan peluang untuk komunikasi terbuka dengan pelajar untuk menerangkan rasional keputusan.
- Mengenal pasti inisiatif terbaik untuk pelajar menerima perubahan demi kebaikan jangka panjang.
- Memperbaiki hubungan dan pemahaman antara pelajar dan pemimpin.
Ancaman (Threats):
- Penurunan moral dalam kalangan pelajar yang terkesan dengan keputusan.
- Potensi protes atau ketidakpuasan hati yang boleh merosakkan reputasi kepimpinan.
Dengan analisis SWOT, pemimpin dapat merancang strategi untuk mengatasi cabaran dan meminimumkan risiko yang timbul akibat keputusan yang tidak popular, sambil memanfaatkan peluang untuk komunikasi dan pengembangan positif.
Soalan 2: Bagaimana pendekatan kepimpinan berasaskan sinergi dapat menggalakkan kolaborasi antara pelbagai pihak dalam kampus untuk mencapai matlamat bersama?
Pendekatan kepimpinan berasaskan sinergi secara asasnya ialah setiap pihak bekerjasama untuk capai tujuan bersama. Sebagai contoh, di kampus, sinergi dapat dicapai melalui perkongsian idea antara fakulti, kelab pelajar, dan pihak pengurusan universiti.
Semasa zaman saya selaku MPP, saya mengadakan taklimat bersama semua barisan presiden persatuan. Dalam taklimat ini, saya menyampaikan hasrat saya selaku pemimpin kampus, dan saya beritahu pada audiens mengenai peranan setiap persatuan dalam pembangunan kampus dan pelajar. Aspirasi yang sama juga saya ulangi dalam program seperti Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) dan setiap ucapan saya di majlis-majlis rasmi.
Untuk menjayakannya, penting bagi seorang pemimpin untuk menjadi fasilitator—menggalakkan keterlibatan semua pihak, mewujudkan persekitaran yang inklusif, dan menetapkan matlamat yang jelas. Dengan adanya haluan dan pandangan yang selari antara MPP dan persatuan, ini akan memudahkan lagi projek-projek dan inisiatif yang dijalankan di kampus.
Antara inisiatif yang paling mudah nampak ialah Parlimen Mahasiswa. Parlimen Mahasiswa mengumpukan semua persatuan di bawah universiti. Di situ, MPP dan semua persatuan dapat membentangkan usul demi kemaslahatan bersama.
---
Pn. Siti Nurhanim Nadia
Soalan 1: Apa ciri-ciri utama yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin wanita dalam kalangan mahasiswa untuk mencapai sinergi berwawasan?
Pn. Siti Nurhanim Nadia menegaskan bahawa seorang pemimpin wanita perlu memiliki beberapa ciri utama untuk mencapai sinergi berwawasan. Antara ciri tersebut ialah empati, ketegasan, dan kemampuan komunikasi yang baik. Empati membantu pemimpin memahami keperluan ahli pasukan dan mendorong kerjasama yang harmoni, manakala ketegasan membolehkan mereka membuat keputusan penting tanpa ragu-ragu.
Beliau juga menekankan kepentingan keupayaan untuk membina rangkaian hubungan yang baik. Ciri ini membolehkan pemimpin wanita menghubungkan pelbagai pihak untuk mencapai matlamat bersama. Selain itu, keyakinan diri dan keberanian untuk mencabar norma, apabila perlu, adalah sifat penting yang harus dimiliki oleh pemimpin wanita bagi memastikan mereka dapat memimpin dengan berkesan.
Soalan 2: Apa halangan utama yang dihadapi wanita dalam mencapai kedudukan kepimpinan di universiti? Bagaimana cara untuk mengatasinya?
Pn. Siti Nurhanim Nadia turut menggariskan beberapa halangan utama yang sering dihadapi oleh wanita dalam mencapai kedudukan kepimpinan di universiti. Antaranya ialah stereotaip jantina yang menganggap wanita kurang berwibawa dalam peranan kepimpinan. Selain itu, wanita juga mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan sokongan daripada rakan sekerja lelaki atau pihak pengurusan atasan.
Untuk mengatasi cabaran ini, beliau mencadangkan agar wanita terus membuktikan kebolehan mereka melalui hasil kerja yang berkualiti tinggi, aktifkan diri dalam kampus, tonjolkan diri dan bersuara dalam program. Beliau menekankan mahasiswa untuk "be the best version of yourself". Jadikan halangan itu asbab untuk menjadi lebih kuat.
Beliau juga melihat sokongan daripada mentor atau jaringan alumni sebagai elemen penting dalam memberikan motivasi serta strategi untuk menghadapi halangan tersebut.
Pn. Siti Nurhanim Nadia turut menekankan pentingnya kesedaran jantina di universiti. Langkah ini bertujuan untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap wanita dalam kepimpinan, sekaligus mewujudkan suasana yang lebih inklusif dan menyokong kepimpinan wanita.
Selain itu, cara lain untuk mengatasinya adalah dengan mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di soalan pertama (1).
---
En. Muhammad Hail Haris
Soalan 1: Sebagai pemimpin mahasiswa, bagaimana cara untuk memastikan bahawa semua suara, termasuk yang terpinggir, didengar dan dihargai?
En. Muhammad Hail Haris menekankan bahawa pemimpin mahasiswa perlu mewujudkan ruang dialog yang selamat dan inklusif untuk memastikan semua suara didengari, termasuk golongan minoriti. Beliau mencadangkan sesi tinjauan dari pelajar ke staf untuk dapatkan maklumat, sesi perbincangan terbuka atau penyediaan borang maklum balas dalam talian yang membolehkan pelajar menyuarakan pendapat tanpa rasa takut atau malu.
Beliau turut menegaskan kepentingan bersikap adil dan memastikan pandangan daripada golongan minoriti tidak diabaikan. Dalam setiap mesyuarat atau perbincangan, beliau memastikan semua ahli diberi peluang untuk menyatakan pandangan mereka, dengan penekanan kepada prinsip kesaksamaan.
En. Muhammad Hail Haris juga percaya bahawa tindakan susulan terhadap maklum balas adalah penting untuk menunjukkan penghargaan terhadap pandangan yang diterima. Sebagai contoh, jika pelajar mencadangkan penambahbaikan fasiliti kampus, beliau akan membawa perkara tersebut kepada pihak berkuasa dan memberikan maklum balas tentang perkembangan terkini kepada pelajar yang terlibat.
Mewujudkan komunikasi yang berkesan dan membawa suara pelajar ke peringkat atasan bukanlah suatu perkara yang mudah, dan sering kali memerlukan percubaan pertama yang mungkin gagal. Ini seiring dengan konsep F.A.I.L (First Attempt in Learning), di mana setiap usaha pertama mungkin tidak berjalan lancar, tetapi ia memberi peluang untuk belajar dan memperbaiki cara penyampaian, serta memastikan hasil yang lebih baik pada masa akan datang.
Soalan 2: Bagaimana mahasiswa boleh membangunkan wawasan yang relevan dan memberi impak kepada masyarakat melalui aktiviti kepimpinan mereka?
Menurut En. Muhammad Hail Haris, mahasiswa boleh membangunkan wawasan yang relevan dengan terlebih dahulu memahami keperluan komuniti di sekeliling mereka. Beliau mencadangkan untuk buat tinjauan atau survey, interaksi langsung dengan masyarakat, atau mendekati pihak berkepentingan untuk mengenal pasti masalah utama yang perlu ditangani.
Seterusnya, beliau mengesyorkan agar mahasiswa merancang program atau aktiviti yang mampu memberikan impak besar, seperti kempen kesedaran, program khidmat masyarakat, atau projek keusahawanan sosial. Beliau percaya bahawa program yang mempunyai kesinambungan adalah kunci kepada keberkesanan dan impak jangka panjang.
Mahasiswa boleh menggunakan formula S.M.A.R.T (Specific, Measurable, Achievable, Relevant, Time-bound) untuk merancang aktiviti kepimpinan mereka. Dengan menetapkan objektif yang jelas (Specific), dapat diukur (Measurable), realistik untuk dicapai (Achievable), berkaitan dengan keperluan masyarakat (Relevant), dan mempunyai tempoh masa yang jelas (Time-Based), mereka dapat memastikan program yang dilaksanakan lebih terfokus, berkesan, dan memberi impak positif kepada komuniti. Dengan garis panduan ini, kita dapat elakkan daripada membuat program syok sendiri.
Beliau percaya bahawa melalui aktiviti yang relevan dan bermanfaat, mahasiswa bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada masyarakat tetapi juga meninggalkan legasi kepimpinan yang boleh diteruskan oleh generasi akan datang.
Kesimpulan
Saya menekankan aspek komunikasi berkesan, kerana tanpa komunikasi berkesan, banyak perkara yang tidak boleh dicapai.
Saudari Hanim pula menegaskan wanita boleh menjadi pemimpin, namun kena cekal, tabah dan memperkasa diri dengan pelbagai ciri-ciri kepimpinan. Stereotaip dalam kepimpinan wanita ini masih terserlah di banyak tempat.
Saudara Hail pula menekankan program yang dibuat perlulah bersandarkan objektif yang jelas. Tanpa objektif yang jelas, program itu hanya akan menjadi program syok sendiri, walaupun program itu meletup dan meriah.
---
Berikut adalah ringkasan bagi kupasan forum. Terima kasih MPP UiTM NS atas jemputan. Semoga kupasan yang diberikan menepati objektif dan bermanfaat buat audiens dan mohon maaf atas segala kekurangan daripada saya.
Semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang. InsyaAllah.
#MPPUiTMNS #MPPUiTMN9 #ChampionStudent