19 Tahun Dalam Perkhidmatan: Terima Pingat Perkhidmatan Lama



19 tahun berlalu dengan sangat pantas, namun setiap detik yang saya lalui bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) kekal mekar dalam ingatan saya. Apa yang bermula sebagai langkah kecil di bangku sekolah rendah kini telah menjadi perjalanan yang membentuk siapa diri saya hari ini.

Saya mula menyertai PBSMM semasa darjah 4. Pada masa itu, ramai rakan sekelas saya memilih untuk menyertai persatuan lain, namun hati saya tertarik ke PBSMM – satu pilihan yang saya sendiri tidak fahami ketika itu. Kini, setelah 19 tahun bersama dengan rangkaian gerakan kemanusiaan terbesar di dunia ini, saya bersyukur atas keputusan tersebut.

Perjalanan saya di PBSMM penuh dengan cabaran, tauladan dan pengalaman. Setiap ilmu dan kemahiran yang saya pelajari, setiap misi dan operasi kemanusiaan yang saya sertai, membakar semangat juang dan membentuk kekuatan dalam diri. Masih segar dalam ingatan saya, tugasan pertama selepas SPM dalam PBSMM, iaitu membantu mengajar kawad kaki di sekolah. Nama pun tugasan pertama, sudah pasti kekok, takut dan berasa gundah gulana. Namun dengan bantuan rakan senior dan pegawai, saya berjaya melaksanakan tugasan pertama dengan baik.

Tugasan pertama tersebut menjadi batu loncatan kepada beratus tugasan yang saya terlibat selepas itu. Tugasan tersebut merangkumi tugasan pentadbiran, tunggu sedia perubatan, logistik dan operasi kemanusiaan seperti bencana banjir dan krisis pandemik COVID-19.

Pada akhir bulan September 2024, saya menerima emel daripada PBSMM yang memaklumkan saya dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) bagi tahun ini.

Saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa sokongan dari insan-insan tersayang. Terima kasih kepada ibu dan ayah yang sentiasa mendorong untuk terus berbakti. Terima kasih kepada isteri saya yang sentiasa memahami dan menyokong perjuangan ini. Terima kasih kepada rakan seperjuangan dalam gerakan kemanusiaan khususnya dalam BSMM VAD 44 Shah Alam, Belia BSMM Daerah Petaling, Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Petaling, BSMM Negeri Selangor dan BSMM Kebangsaan yang membuka jalan, memberi semangat dan sebab untuk setia dalam misi ini. Terima kasih kepada guru-guru, sahabat handai, ahli keluarga dan semua pihak yang memberi sokongan secara langsung mahupun tidak langsung.

Dengan anugerah ini, saya berharap dapat terus berbakti selagi kudrat masih ada. Semoga perjalanan ini dapat memberi inspirasi ahli PBSMM untuk terus memberi yang terbaik kepada agama, bangsa, dan negara.

InsyaAllah.

#PingatPerkhidmatanLama #PPL #BSMM #MRCS

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript