Internship Series: Tips Memilih Tempat Intern atau Latihan Praktikal



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera.

Adakah anda sedang mencari tempat praktikal? Jika ya, artikel ini untuk anda. Nak cari tempat praktikal atau internship ni, kita tak boleh main bedal atau main belasah je. Kita perlu cari tempat intern yang betul, supaya kita dapat memanfaatkan masa kita di situ.

Sebelum ini saya telah berkongsi mengenai:

Kali ini saya akan kongsikan beberapa tips pemilihan tempat intern. Tanpa melengahkan masa, jom kita mulakan.


01. CARI ORGANISASI DAN JABATAN YANG BERSESUAIAN DENGAN APA YANG ANDA INGIN CEBURI, DAN BERTEPATAN DENGAN KEPERLUAN AKADEMIK

Perkara ini amat penting dalam internship tetapi pelajar selalu ambil mudah. Perkara utama yang perlu difahami ialah, internship adalah proses pembelajaran dan proses menimba pengalaman berkenaan realiti pekerjaan.

Dalam jurusan yang anda pelajari, pasti akan ada subjek, topik yang menarik minat anda. Sebagai contoh, saya belajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di UiTM. Dalam jurusan ini, saya minat subjek Pengurusan Strategik. Disebabkan itu, saya ingin mendalami subjek, teori dan praktikal berkenaan Pengurusan Strategik. Apa yang saya buat ialah, saya mencari organisasi dan jabatan yang berkaitan dalam bidang ini. Cari punya cari, saya dapat penempatan internship di Pusat Perancangan & Maklumat Strategik (CSPI) UiTM.

Boleh baca pengalaman latihan praktikal saya lebih lanjut di sini: https://www.azaraslan.com/2021/11/pengalaman-internship-bersama-cspi-uitm.html#google_vignette

Dengan tempat internship yang betul, anda boleh memperkasa ilmu, menambah pengalaman dan kaitkan teori yang anda belajar di universiti atau kolej. Di sini, proses percambahan minda akan berlaku dengan lebih efisien kerana ilmu yang dipelajari di menara gading dapat dikaitkan dengan praktikal dan amali. Baca selanjutnya di perkara 04.


02. LIHAT REPUTASI ORGANISASI SEBELUM MEMILIH

Bila kita nak jalani internship di sesebuah organisasi, kita disarankan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan organisasi tersebut. Ini adalah untuk kita memahami nature of business, budaya atau culture.

  • Misi dan visi syarikat
  • Objektif syarikat
  • Laman sosial syarikat

Maklumat seperti di atas adalah maklumat asas.

Selain itu, kita perlu lihat review bagi organisasi yang kita pohon. Dekat mana kita boleh baca review ni? Kita boleh baca di Jobstreet, Glassdoor. Di sini, anda boleh lihat review daripada staf ataupun bekas staf. Ada review yang negatif, ada juga yang positif.


Kalau anda beruntung, anda juga boleh baca review bekas intern. Anda boleh baca dan jadikan review tu sebagai panduan untuk anda.

Penting untuk kita lihat reputasi agar kita tidak buat "kerja fotostat". Penting juga untuk kita buat background check supaya kita dapat elak daripada memasuki syarikat yang membuat kerja scam.

Anda boleh baca selanjutnya di artikel yang saya tulis khas berkenaan scammer di sini:


03. PERTIMBANGKAN FAKTOR GEOGRAFI DAN KEWANGAN

Untuk anda memilih tempat latihan praktikal, anda perlu ambil kira lokasi.

Internship ni ada pelbagai senario iaitu:

  • Anda dapat intern berdekatan dengan rumah.
  • Anda dapat intern jauh dari rumah tapi masih boleh balik rumah.
  • Anda dapat intern di negeri berlainan.
  • Anda dapat intern di luar negara.
  • Anda dapat intern tapi tiada elaun.
  • Anda dapat intern dan anda terima elaun (secara bulanan / secara lump sum).
  • Ada juga tempat intern yang tiba-tiba memberikan sagu hati (elaun) pada hari terakhir perkhidmatan.

Andai kata anda tinggal di Terengganu, dan tempat intern adalah di Kuala Lumpur, adakah anda okay untuk menjalani latihan praktikal di Kuala Lumpur?

Andai kata anda memang berminat untuk menjalani latihan internship di Kuala Lumpur, anda perlu melihat faktor lain pula seperti:

  • Kewangan dan kos sara hidup: Anda nak merantau ke negeri orang. Duit ada tak? Macam mana nak tanggung kos sara hidup di negeri lain? Syarikat ada bagi elaun ke? Anda ada pendapatan sampingan ke? Semua benda ni kena ambil kira, sebab anda perlukan duit untuk makan, minum, sewa kediaman dan kenderaan.
  • Kediaman: Anda semestinya akan mencari tempat berteduh. Maka, anda nak duduk di mana? Duduk rumah saudara ke? Rumah makcik pakcik ke? Ataupun sewa rumah atau bilik ke? 
  • Kenderaan atau Perjalanan: Bagaimana anda nak bergerak ke tempat kerja? Anda ada kereta ke? Ada motor ke? Ke bergerak dengan basikal? Atau bergerak dengan public transport? Jarak dari kediaman ke pejabat macam mana?


04. PELUANG PEMBELAJARAN DAN PEMBANGUNAN DIRI

Semasa mencari tempat internship, pastikan untuk meneliti peluang pembelajaran dan pembangunan diri yang ditawarkan. Berikut adalah perkara yang perlu anda fikirkan:

  • Adakah organisasi tersebut menyediakan program latihan atau bengkel untuk para intern?
  • Adakah anda akan diberikan tugasan yang mencabar sekali gus memberikan ruang untuk mengembangkan kemahiran?
  • Adakah anda akan dibimbing dan diselia oleh mentor atau penyelia yang berpengalaman?
  • Adakah organisasi tersebut menawarkan peluang untuk terlibat dalam projek-projek penting?

Perkara di atas amat penting untuk persediaan masa depan, dan untuk memaksimumkan masa yang diperuntukkan sewaktu proses internship berlangsung.

Anda boleh cuba check syarikat-syarikat terkemuka seperti Petronas, Mercedes Benz dan sebagainya. Kebiasaannya syarikat sebegini mempunyai Program Internship yang sistematik dan komprehensif.

Contoh:

Dan banyak lagi.


05. PELUANG KERJAYA

Semasa memilih tempat internship, anda juga boleh mempertimbangkan potensi peluang kerjaya masa depan. Berikut adalah perkara yang perlu anda fikirkan:

  • Adakah organisasi tersebut menawarkan peluang untuk diambil bekerja selepas tamat internship?
  • Adakah organisasi tersebut mempunyai rekod yang baik dalam menggaji para intern selepas tamat program?
  • Adakah organisasi tersebut mempunyai reputasi yang baik dalam industri yang anda minati?

Pemilihan tempat internship yang mempunyai potensi untuk membuka pintu kerjaya masa hadapan boleh menjadi strategi yang baik.


06. DAPATKAN PANDANGAN DARIPADA PENASIHAT AKADEMIK, PENSYARAH, SENIOR, KELUARGA

Sekiranya anda ada kenal senior yang pernah intern di tempat yang anda pilih, anda boleh la tanya pengalaman mereka di sana. Seronok tak? Berbaloi tak? Kerja yang dilakukan ada kena mengena tak dengan course yang dipelajari? Sekiranya senior kata bagus, maka itu petanda yang baik. Sekiranya senior kata mereka banyak buat kerja fotostat, kena buli, kena beli makan minum staf, maka itu adalah petanda yang tidak baik.


Kita nak elakkan isu ni berlaku.


Anda boleh juga tanya pensyarah, keluarga atau kawan-kawan yang pernah atau sedang bekerja di syarikat yang anda bakal menjalani internship. Bak kata orang kampung, mereka ni dah makan garam sebelum kita. Oleh sebab itu, cubalah dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai budaya syarikat tersebut. Jangan malu jangan segan. Malu bertanya sesat jalan.



KESIMPULAN

Nak jalani internship perlulah membuat persediaan rapi. Dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian bidang, reputasi organisasi, serta pertimbangan geografi dan kewangan, anda akan dapat memaksimumkan manfaat daripada pengalaman internship.

Untuk siap siaga diri sendiri bagi menghadapi internship, saya galakkan anda baca artikel saya yang ini: https://www.azaraslan.com/2021/10/persediaan-tips-sebelum-menjalani.html

Sekian, terima kasih.


#azaraslan #internship #latihanindustri #kerjaya #praktikal #latihanpraktikal #industrialattachment #industrialtraining

Catat Ulasan

2 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
  1. Hi cik, boleh share tips untuk berjaya semasa tempoh internship?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hi. Boleh baca artikel saya yang ni ya: https://www.azaraslan.com/2021/11/internship-series-tips-semasa-menjalani.html

      Terima kasih atas sokongan.

      Padam

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript