Adakah Diploma Pentadbiran Awam Dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran Menjamin Pekerjaan Dalam Bidang Yang Dipelajari?



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua sidang pembaca sekalian. Sering kali saya menerima soalan seperti berikut:

"DPA / BAS ni menjamin pekerjaan ke? Jamin pekerjaan dalam bidang yang dipelajari ke?"

"Course DPA / BAS ni senang dapat masuk kerja kerajaan ke? Course ni memudahkan perjalanan untuk jadi PTD ke?"

*DPA= Diploma Pentadbiran Awam ? BAS= Bachelor in Administrative Science


Jom ikuti kupasan saya berkenaan perkara ini. Apa yang saya bakal tulis ini adalah pandangan saya sendiri, pemerhatian saya, penilaian saya dan pengalaman rakan-rakan sekeliling yang saya kenali secara langsung mahupun tidak langsung.


01. DPA / BAS NI MENJAMIN PEKERJAAN KE? JAMIN PEKERJAAN DALAM BIDANG YANG DIPELAJARI KE?

Jawapan: Tidak ada jurusan atau apa-apa kursus yang menjamin pekerjaan. Masa depan pun kita tak tahu apa akan jadi, bagaimana pula kita mahu menjamin pekerjaan, kan?

Jika betul apa-apa jurusan menjamin pekerjaan, maka tiadalah pengangguran beratus ribu di Malaysia ini. Jumlah penggangguran di Malaysia berdasarkan statistik daripada Department of Statistics Malaysia (DOSM) setakat bulan Mei 2023 ialah 584,600. Boleh baca di sini: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/07/1124625/jumlah-penganggur-di-malaysia-semakin-berkurangan#google_vignette

Ada yang dapat kerja dalam bidang, itu namanya rezeki. Ada yang bekerja luar bidang, itu juga namanya rezeki. Mungkin sekarang kerja luar bidang, lagi 5-10 tahun dapat masuk bidang yang dipelajari. Mungkin boleh jadi, kan? Apapun, boleh baca artikel saya mengenai belajar bidang lain, kerja bidang lain: https://www.azaraslan.com/2023/01/belajar-bidang-lain-kerja-bidang-lain.html

Sekarang ini kita pula berada di zaman Artificial Intelligence (AI). AI bakal mengurangkan pekerjaan.  Berdasarkan Laporan World Economic Forum's Future of Jobs Report 2023, laporan ini menyatakan bahawa dijangka sekitar 40 peratus tempoh bekerja hampir semua pekerjaan bakal terkesan dengan AI mahupun ChatGPT.

Antara segmen pekerjaan utama yang bakal diambil alih oleh AI termasuk pengkeranian, kesetiausahaan, perkeranian perbankan, juruwang, juru tiket, penyambut tetamu, pegawai khidmat pelanggan, pemandu pengangkutan awam, penganalisis data, penterjemah dan beberapa pekerjaan lain.

Dengan kenyataan yang membimbangkan ini, apa yang kita boleh buat adalah membuat persediaan rapi untuk meningkatkan kebarangkalian untuk memperoleh kerajaan dalam mendapatkan pekerjaan.

Kejayaan dalam mencari pekerjaan ini bergantung pada banyak faktor seperti:

  • Keadaan pasaran pekerjaan ataupun job market situation
  • Keperluan industri / industry needs untuk bidang pentadbiran dan pengurusan
  • Kemahiran individu - soft skill dan hard skill
  • Pengalaman kerja


Berdasarkan empat perkara yang disebutkan di atas, job market situation dan industry needs adalah perkara yang berada di luar kawalan kita. Kita panggil dia sebagai external factor. Kemahiran individu dan pengalaman kerja adalah perkara yang kita boleh kawal, sebab kita boleh cari pengalaman dan ilmu bila-bila masa kita kehendaki.

Maka sebagai seorang pelajar, anda tak perlu nak risau sangat mengenai job market situation atau industry needs. Perkara itu adalah perkara luar jangka. Fokus apa yang ada di depan mata. Lebih baik anda fokus belajar dan memperkasa kemahiran individu serta mencari pengalaman kerja.

Pengalaman kerja ni tidak terhad kepada kerja part time atau freelance sahaja. Pengalaman kerja juga termasuklah internship, industry training, kerja kesukarelawanan, membuat projek mini, projek besar dan sebagainya.

---

Kemahiran individu pula bagaimana? Kemahiran individu terbahagi kepada dua iaitu:

  • Soft skills.
  • Hard skills (computer & technical skills).

Boleh baca dengan lebih lanjut di sini: https://www.azaraslan.com/2023/07/tips-untuk-meningkatkan-soft-skill-dan.html

Jika anda ada skillset yang mantap, pengalaman kerja yang meluas, maka perkara ini akan meningkatkan kebarangkalian untuk anda memperoleh kejayaan dalam pencarian pekerjaan.


02. COURSE DPA / BAS NI SENANG DAPAT MASUK KERJA KERAJAAN KE? COURSE NI MEMUDAHKAN PERJALANAN UNTUK JADI PTD KE?

Jawapan: Tak semudah yang disangka.

DPA dan BAS ialah jurusan jack of all trades. DPA dan BAS memfokuskan subjek pengurusan dan pentadbiran, dengan penekanan terhadap dasar (policy), kerajaan dan politik. Anda boleh masuk macam-macam bidang seperti perbankan, hartanah, pentadbiran dan pengurusan sektor awam, agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, NGO, NPO dan lain-lain.

Walaupun jurusan DPA dan BAS membuka pintu potensi peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti sektor awam (kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan) dan badan berkanun, sukacita diingatkan bahawa persaingan pekerjaan amatlah sengit.

Sebab apa?

Sebab bukan DPA dan BAS sahaja yang belajar ilmu pentadbiran dan pengurusan. Banyak lagi jurusan di luar sana yang mempelajari perkara yang sama.

Bidang pentadbiran dan pengurusan ini sangat umum. Walaupun BAS mempunyai penekanan subjek mengenai kerajaan dan politik, namun jawatan atau pengkhususan seperti itu biasanya muncul selepas kita dah masuk dalam kerajaan.

Biasanya pembuka jalannya ialah Pegawai Tadbir N41 atau Pegawai Tadbir Diplomatik M41. Nak mohon dua jawatan ni yang agak struggle sebab saingan amat-amat hebat.

Saya bagi contoh mudah. Jawatan umum yang selalu dipohon oleh graduan lepasan ijazah (khususnya graduan pentadbiran pengurusan) ialah Pegawai Tadbir N41. Selain daripada lepasan BAS, lepasan HR, Business Management juga akan turut memohon. Beribu orang akan mohon jawatan yang sama.

Ini belum kira lagi lepasan graduan bidang lain seperti engineering, pendidikan, sains dan lain-lain. Masing-masing akan memohon juga jawatan N41 ini sebab nak tampung kos sara hidup.

Jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) M41 pun sama. Jawatan ni bukan eksklusif untuk pelajar BAS sahaja. Mana-mana bidang pun boleh memohon asalkan ada kelayakan ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan.

Jadi, apa yang membezakan anda dengan beribu pemohon yang lain? Jawapan cliche-nya ialah nilai tambah. What makes you shine among the crowd? What makes them need to choose you?

Seperti yang dinyatakan di perkara 01, jumlah penggangguran di Malaysia berdasarkan statistik daripada Department of Statistics Malaysia (DOSM) setakat bulan Mei 2023 ialah 584,600. Boleh baca di sini: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/07/1124625/jumlah-penganggur-di-malaysia-semakin-berkurangan#google_vignette

Untuk dapatkan pekerjaan berdasarkan jurusan yang dipelajari, anda perlu bersaing dengan rakan-rakan anda, rakan dari IPT lain, golongan pengganggur sedia ada dan golongan lompat kerja.

Untuk tingkatkan kebarangkalian dapat kerja yang diingini, anda perlu menjadi unik dari yang lain. CGPA sahaja tidak cukup. Perlu ada nilai tambah. Daripada 584,600 orang tu, mungkin 300,000 pelajar bergraduat dengan anugerah dekan. Jika anda dapat anugerah dekan dan hanya berpandukan CGPA semata-mata, apa yang membezakan anda dengan 299,999 pelajar lain?

Maka sebab itu lah, sangat penting untuk anda mempersiapkan diri dengan memperoleh pengalaman kerja tambahan, memperkasa kemahiran individu dan membangunkan rangkaian profesional atau bahasa orang putih, networking.


Tips Meningkatkan Peluang Pekerjaan

Untuk meningkatkan peluang pekerjaan, berikut adalah beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan:

1. Mengasah Kemahiran Individu: Sertai kursus atau latihan tambahan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran khususnya yang boleh bertindak sebagai nilai tambah atau added value terhadap bidang pentadbiran awam. Ini dapat memperkuatkan profil anda dan menarik perhatian bakal majikan. Rujuk bahagian awal entri ini. Saya dah kupas panjang.

Selain itu, berdasarkan hasil kajian Jobstreet, terdapat 5 punca graduan gagal memperolehi pekerjaan iaitu:

  • Memohon gaji atau faedah tidak realistik (68%)
  • Lemah penguasaan Bahasa Inggeris (64%)
  • Memilih pekerjaan dan syarikat (60%)
  • Lemah dalam komunikasi (60%)
  • Tiada personaliti atau keyakinan atau karisma semasa temuduga (59%)

Sumber: https://afterschool.my/bm/berita/5-punca-graduan-gagal-memperolehi-pekerjaan-berdasarkan-kaji-selidik-oleh-jobstreet

Boleh baca artikel saya berkenaan tips komunikasi untuk presentation di sini: https://www.azaraslan.com/2021/10/tips-berkomunikasi-semasa-presentation.html

Boleh baca artikel saya berkenaan cara memperkasa Bahasa Inggeris di sini: https://www.azaraslan.com/2023/01/my-ways-to-improve-english.html


2. Mencari Pengalaman Kerja: Carilah peluang praktikal atau pengalaman kerja dalam bidang pentadbiran dan pengurusan. Cuba cari pengalaman melalui NGO, kesukarelawanan, kerja separuh masa, kerja freelance dan projek. Pengalaman kerja dapat membantu anda memperoleh pemahaman tentang pendedahan dan cara bekerja. Pengalaman kerja secara tidak langsung dapat mengasah cara anda berfikir. Selain itu, semestinya pengalaman kerja dapat memperkuat resume anda.


3. Membina Rangkaian Profesional: Antara cara nak bina networking pada peringkat awal ni ialah dengan mengikuti konvensyen, summit, expo, seminar dan sebagainya. Selain itu, boleh juga aktif di LinkedIn. Dengan networking, perkara ini dapat membantu anda menjalin hubungan dengan golongan profesional dalam bidang ini selain mendapatkan maklumat pekerjaan dan memperluas pencarian peluang pekerjaan. Untuk peringkat seterusnya, boleh sertai persatuan profesional atau rangkaian industri yang berkaitan dengan pentadbiran awam.


4. Kerja Kesukarelawanan atau CSR: Sertai aktiviti CSR atau kesukarelawanan. Perkara ini tidak hanya dapat membantu anda memberikan manfaat kepada masyarakat, tetapi juga memperkukuhkan profil anda sebagai individu yang prihatin dan berkomitmen terhadap bidang tersebut. Dengan melakukan aktiviti sebegini, bakal majikan akan nampak anda seorang yang aktif dan mempunyai dunia luar selain daripada dunia belajar dan kerja.

Sebagai contoh, saya aktif dengan Bulan Sabit Merah Malaysia. Saya gunakan pengalaman dan ilmu yang saya kecapi dalam kerja, secara langsung ataupun tidak langsung. Ikuti pengalaman saya di sini: https://www.azaraslan.com/search/label/Kesukarelawanan


5. Perlukan Ketabahan Dan Kesabaran Mencari Kerja: Cari kerja bukan benda yang mudah. Maka, teruskan mempohon pekerjaan, membuka laman web kerjaya, mengikuti program latihan dan persidangan, serta menghantar permohonan pekerjaan yang dari semasa ke semasa. Sikap konsisten dan proaktif dalam mencari peluang akan meningkatkan peluang pekerjaan anda.

Formula yang pakar motivasi dan ustaz pernah kongsikan ialah D.U.I.T. Bermaksud D= Doa, U= Usaha, I= Istiqamah, T= Tawakkal.

Yang penting kita usaha sehabis baik. Man jada wajada, siapa berusaha dia berjaya.

Saya pernah melalui keperitan mencari kerja. Saya pernah memohon 297 pekerjaan, 55 kali interview (online, face-to-face + scheduled, walk-in), mengganggur 8 bulan. Boleh baca di sini: https://www.azaraslan.com/2020/03/kini-bukan-lagi-pengganggur.html


KESIMPULAN

Meskipun segulung diploma dan ijazah dapat menjadi batu loncatan dalam mencari pekerjaan, hal ini tetap tidak menjamin kita akan mendapat pekerjaan. Diploma dan ijazah adalah bukti bahawa seseorang telah menyelesaikan pendidikan formal dalam sesuatu bidang di peringkat tertentu. Diploma dan ijazah dapat menjadi syarat minimum untuk memohon pekerjaan tertentu.

Dalam konteks DPA dan BAS, anda boleh lihat sendiri berapa ramai pelajar dalam satu batch anda. Andai kata batch anda ada 300 orang. Bagaimana anda nak bersaing dengan 299 pelajar lain? Ini baru batch anda. Belum cerita batch senior anda, batch DPA dan BAS dari kampus lain lagi.

Untuk mendapat sesuatu pekerjaan, anda memerlukan lebih daripada segulung diploma dan ijazah, iaitu anda perlu membuktikan kepada bakal majikan yang anda boleh buat kerja. Oleh sebab itu, buatlah persediaan sebaiknya agar kita dapat kerja.

Selebihnya serahkan kepada Tuhan yang Maha Esa.

D.U.I.T. Bermaksud D= Doa, U= Usaha, I= Istiqamah, T= Tawakkal.

Mohon maaf atas kesilapan dan kekurangan. Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih.


#azaraslan

Catat Ulasan

4 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript