Nasihat Buat Mahasiswa Mengenai Kehidupan Di Universiti



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sihat-sihat sahaja dan dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan.

Sebelum ini saya pernah bertanya soalan di ruangan IG story saya, berkenaan nasihat umum untuk bakal mahasiswa.

Untuk nasihat atau pesanan ini, saya kategorikan kepada lima (5) iaitu:

01. Universiti
02. Internship
03. Integriti
04. Kehidupan
05. Kewangan


Berikut adalah kompilasi pesanan ringkas daripada saya dan rakan-rakan buat mahasiswa mengenai realiti kehidupan di universiti:


UNIVERSITI
    1. Jangan jadi mahasiswa semata-mata 4K: Katil, Kuliah, Kafe dan Komputer. Jadilah mahasiswa yang aktif, turun aktiviti dan bersosial.
    2. Berkongsilah ilmu. Ilmu, tidak seperti harta, tidak akan berkurang bila dikongsi dengan orang lain. Makin kita beri makin bertambah.
    3. Yakinlah bahawa keberkatan berkongsi itu akan datang dari pelbagai segi. Ada masa kita tak sempat belajar tapi Allah tolong kita dalam peperiksaan disebabkan kita permudahkan urusan orang.
    4. Berpersatuan bukan penghalang untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Jika kerja persatuan kita jalankan dgn penuh amanah dan berintegriti, maka Tuhan akan buka jalan kemudahan.
    5. Hormat semua orang, termasuk tukang cuci di kolej. Tanpa mereka, kolej tetap akan berbau busuk. Adakah kita sanggup nak kutip sampah-sampah tu? Berterima kasihlah kepada setiap orang yang membantu secara langsung atau tidak langsung.
    6. Berjaya atas kertas tak cukup. Dunia ini tak semudah ABC. Realiti dunia luar inginkan soft skill dan added value dalam diri. Kalau bercakap pasal pelajar 4 rata, ramai ja, tapi apa yang membezakan kita dengan dia kalau sama-2 dpt 4 rata? Added value and skillset should be it. Baca SINI.
    7. Dunia belajar adalah tempat buat kesilapan. Betulkanlah kesilapan selagi mana boleh dibetulkan. Hal ini kerana, bila dah masuk dunia kerja, jika kita selalu buat silap, kita kena buang kerja.
    8. Ingat matlamat kita datang ke tempat belajar. Tetapkan pendirian. Tohmahan semua tu biasa. Keep moving forward. Bila orang berkata pasal kita, bermakna kita atas dari dia. Kita nak senangkan diri kita, bukan fikir pasal apa orang lain kata.
    9. Jadi diri sendiri. Create your brand and style.
    10. You need to draft or create your own future and Allah will strategize what's the best. Initiative must come from us.
    11. Tak semestinya kita berjaya dalam SPM, kita boleh skor diploma degree. Jangan ambil mudah.
    12. Jangan takut untuk menceburi bidang kepimpinan ataupun masuk persatuan. Belajar menjadi pemimpin, belajar mendengar arahan, dan belajar mengendalikan program ataupun aktiviti. Perkara ini akan mengajar kita menguruskan tekanan, kerja berpasukan, dan mengasah cara berkomunikasi.
    13. Jangan jadikan berpersatuan sebagai alasan untuk kita ponteng kelas. Kalau sesekali tu faham la, tapi kalau dah berkali-kali maksudnya dah jadi masalah.
    14. Perancangan perlu ada dalam kehidupan seharian. Beli buku planner ataupun gunakan e-planner di telefon pintar masing-masing. Bangun pagi. Manfaatkan masa dari pagi sehingga ke malam.
    15. Ilmu kemahiran insaniah itu penting untuk kita belajar, untuk kita ni menjadi pelajar yang ada nilai tambah. Sekiranya ada 100 pelajar dapat 4.00 CGPA termasuk kita, apa yang membezakan kita dengan mereka? Nilai tambah.
    16. Self trust is a secret key to success. Nak berjaya, jangan tunggu orang. Jangan disebabkan kawan, kita lupakan hasrat kita untuk menyertai kelab persatuan dan sebagainya. Sebaliknya caknakan kawan kita bahawa pentingnya menjadi aktif semasa pengajian.
    17. Hormat semua orang, lagi-lagi pensyarah. Bila pensyarah mengajar, pelajar digalakkan duduk di barisan hadapan. Ada keberkatan di situ.
    18. Bila ada ilmu lebih, kongsikan pada rakan yang tidak faham. Jadilah seperti resmi padi, makin berisi makin tunduk. Jangan kedekut ilmu. Percayalah, the more we give, the more we get.
    19. Kita selalu bersuara, apa yang negara beri pada kita. Tetapi, cuba tanya diri sendiri, apa yang kita sumbangkan pada negara.
    20. Ramai orang gagal temuduga kerana komunikasi yang kurang berkesan. Ambillah inisiatif, belajarlah membuat pembentangan dengan baik kerana itulah yang membantu kita nanti. Mulakan dengan tidak bergantung pada kertas dan slides. Baca SINI.
    21. Carrymark ataupun ongoing assessment memainkan peranan penting untuk subjek yang diambil. Boleh jadi kerana carrymark, anda lulus exam. Boleh jadi kerana carrymark tak bagus, anda gagal exam (sebab exam tak perform). Lecturer pernah cerita bahawa ada student gagal subjek kokurikulum sebab carrymark rendah.
    22. Kalau nak buat assignment atau research, elakkan partner dengan boyfriend girlfriend. Andai kata clash atau break, haih tak ke pening kepala? Banyak dah kes macam ni.
    23. Jadilah student yang faham apa yang dipelajari. Jangan jadi student yang menghafal teori dan jawapan semata-mata.
    24. Dekat universiti kebiasaannya akan ada kursus-kursus percuma atau murah. Kursus dapat percuma dan murah sebab student privilege. Maka, join kursus tersebut untuk timba ilmu dan sijil. Manfaatkan kelebihan sebaiknya. Kalau dah habis belajar, kursus-kursus biasanya kena bayar. No more student privilege.
    25. Kalau nak buat intern, pastikan buat research dulu organisasi mana nak join. Buat persediaan sebaiknya. Baca SINI.
    26. Follow page universiti untuk maklumat berkenaan persatuan, kampus dan lain-lain.
    27. Biasanya di universiti akan ada anugerah pelajar terbaik dan sebagainya. Penanda aras bukanlah pointer semata-mata, tetapi penglibatan dalam kokurikulum, pencapaian dan sumbangan juga diambil kira.
    28. Di universiti kebiasaannya akan ada student exchange, konvensyen dan seumpamanya. Jika minat, pergilah jika layak dan lepas. Peluang tak selalu ada.
    29. Zaman universiti adalah zaman terbaik untuk ambil peluang-peluang cari sijil, pengalaman, pergi aktiviti dan sebagainya, sebab sebagai seorang pelajar anda masih belum ada komitmen kerja sepenuh masa lagi (terpakai kepada pelajar sepenuh masa). Bila anda dah bekerja, anda sudah kurang masa sebab banyak komitmen.
    30. Jika anda pelajar cemerlang, anda boleh mohon hadiah dari negeri anda lahir. Mungkin ada saguhati yang boleh dimohon.


Nak jadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar? Nak tahu pengalaman sebagai ahli MPP membantu atau tidak dalam alam kerjaya? Baca sini: https://www.azaraslan.com/2023/03/pengalaman-sebagai-ahli-majlis.html

Perlukan tips untuk perbaiki atau mantapkan Bahasa Inggeris? Baca sini: https://www.azaraslan.com/2023/01/my-ways-to-improve-english.html

Tips pengurusan masa semasa di universiti: https://www.azaraslan.com/2022/01/tips-pengurusan-masa-untuk-akademik-dan.html

Tips presentation: https://www.azaraslan.com/2021/10/tips-berkomunikasi-semasa-presentation.html


INTERNSHIP

Tips sebelum mula internship: https://www.azaraslan.com/2021/10/persediaan-tips-sebelum-menjalani.html

Tips semasa internship: https://www.azaraslan.com/2021/11/internship-series-tips-semasa-menjalani.html

Tips selepas tamat internship: https://www.azaraslan.com/2022/07/internship-series-tips-tindakan-selepas.html


INTEGRITI
    1. Tidak guna berjaya dalam keadaan menipu, bohong dan meniru dalam dewan peperiksaan, kerana akhirnya, kita akan menjadi orang yang malang dan sempit rezeki.
    2. Untuk jadi orang berintegriti memang susah, kerana itulah amalan ke jalan yang benar.
    3. Integriti kadangkala perlu dipaksa untuk dijadikan amalan, dan akhirnya menjadi kebiasaan. Jika ditinggalkan, kita akan berasa tidak selesa. Seperti solat, jika tidak diamalkan, kita akan rasa susah hati.
    4. Mungkin kita pernah lihat dan dengar orang yang berjaya dalam peperiksaan, namun dengan menggunakan jalan yang salah seperti meniru dalam peperiksaan dan menggodam sistem hal ehwal akademik untuk menaikkan gred. Kemungkinan besar itu adalah nikmat istidraj yang Tuhan berikan, di mana Tuhan beri rezeki dalam keadaan murka mengakibatkan kita hanyut dengan rezeki, jauh dari perhatian Tuhan.
    5. Gunakan ilmu yang ada pada diri. Percaya pada diri. Jika lupa dalam dewan peperiksaan, berselawatlah ke atas junjungan mulia dan berdoa pada Ilahi. Moga diberikan cahaya dan hidayah untuk menjawab peperiksaan.
    6. Biar gagal peperiksaan jika tidak tahu, kerana itu lebih bermaruah daripada lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang namun caranya dibenci Tuhan.
    7. Meniru dan menipu dalam peperiksaan, mengakibatkan keberkatan hidup ditarik oleh Tuhan.
    8. Hidup sentiasa punya pilihan. Pilihlah jalan yang baik. Supaya anak cucu kita nanti akan ikut jalan yang baik juga. Kalau kita dah biasa dengan meniru, jangan terkejut anak cucu kita pun buat benda yang sama.
    9. Sebelum nak meniru, ingat muka mak ayah di rumah yang ingin melihat kita berjaya. Jangan kerana tindakan kita, muka kita terpampang di dada akhbar kerana cerita yang sedih dan kecewa.
    10. Sign attendance kawan yang tak datang kelas itu adalah perkara yang biasa orang student buat. Perkara ini kurang baik. Kalau dah lewat, mengaku je. Jangan terapkan budaya menipu. Keberkatan dalam belajar itu penting. Kalau "terpaksa" sangat, jangan jadikan kebiasaan.
    11. Menipu ni jangan dijadikan kebiasaan, takut lama-lama ketagih. Budaya menipu membohong ni boleh terbawa-bawa sampai zaman kerja.
    12. Upah orang lain buat assignment? Elakkan. Assignment itu diberikan untuk KITA asah ilmu, bukannya untuk orang lain.
    13. Jangan tiru atau copy paste assignment orang lain. Copy paste adalah amalan plagiat. Kalau kantoi, boleh kena tindakan dibuang pengajian.


KEHIDUPAN

    1. Jangan guna duit PTPTN / biasiswa untuk melunaskan kehendak seperti membeli iPhone, iPad dan sebagainya. Duit PTPTN / biasiswa tu untuk sara hidup dan belajar.
    2. Dalam dunia universiti ni, akan sentiasa ada orang yang tak puas hati dengan kita walaupun kita tak ada pun buat salah dengan dia. Live your live, buat baik,
    3. Berkawanlah dengan semua orang. Budaya baik kita ikut, budaya kurang baik kita hindari. Lebih indah, yang tak baik kita heret dia ke arah kebaikan. We never know who's going to help us in the future. Maybe seteru kita yang bakal menyelamatkan kita dari kapal yang hampir karam.
    4. Berkawan dan berkenalanlah dengan kawan dari fakulti lain juga. Luaskan networking.
    5. Bukan susah nak susah, bukan senang nak senang. But bear in mind, every successful person, has a sad and painful story. Bertabahlah. Senyum.
    6. Kalau dah pinjam kereta kawan, isilah minyak. Jangan pulangkan kereta dengan tangki sikit atau kosong.
    7. Kalau dah keluar ramai-ramai naik kereta kawan, hulurlah sikit duit ke dia. Tak perlu sampai dia minta. Common sense, common courtesy la.
    8. Bercinta tu suatu komitmen. Kalau nak couple suka-suka dan tak ada hala tuju, baik tak payah couple. Couple ni, banyak habis duit.
    9. Menabunglah jika boleh. Letak satu sasaran yang jelas, seperti nak labur duit dalam ASB untuk kahwin atau beli rumah atau beli kereta. Zaman sekarang ekonomi meruncing, maka duit simpanan tu akan membantu kita kelak.
    10. Bila kita diamanahkan untuk jaga rahsia, maka jagalah rahsia itu. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia belum tentu. Apa yang pasti ialah kerana mulut badan binasa.
    11. Boleh jadi, kawan yang paling rapat dengan kita, tikam belakang kita.
    12. Boleh juga jadi, musuh atau seteru kita, menjadi kawan kita.
    13. Ada orang berkawan dengan kita sebab kita ada kereta, berduit dan sebagainya. Bila kita susah, dia tinggalkan kita.
    14. Ada yang berkawan dengan kita, dan bila susah senang, dia ada dengan kita. Kawan jenis ni memang susah jumpa, maka hargailah dia.
    15. Setiap tindakan yang kita buat perlulah berlandaskan akal yang rasional. Jangan buat tindakan melulu ikut hati semata-mata. Biar akal yang pandu hati, bukan hati pandu akal.
    16. Jangan ingat bila anda pandai dan aktif, anda ada lesen untuk memperlekeh orang lain. Kita semua ada aib yang Tuhan sorok. Jika aib tu terbuka dan berbau, maka tak ada sesiapa pun nak dekat dengan kita.
    17. Call mak ayah jika masih ada. Kalau memanjang call kekasih, takkan call orang tua tak boleh, kan?
    18. Solat lima waktu sehari semalam. Jika tak cukup, cukupkanlah. Usahakan untuk cukup.
    19. Pergi ke pusat islam, solat berjemaah.
    20. Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah. Tapi kalau nak jadi senang, kenalah bersusah-payah.
    21. Tiga ciri-ciri orang berjaya: Bersedia untuk belajar, bersedia untuk diajar, bersedia untuk mengajar.
    22. Kita diberi masa 24 jam dalam sehari. Gunakan masa dengan sebaiknya. Rancang apa yang nak dibuat.
    23. Ada waktu kita boleh kompromi, ada waktu kita perlu bertegas. Jangan sampai kita kena pijak kerana baik sangat.
    24. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
    25. Jika bawa kenderaan dalam kampus, parking dalam kotak dan ditempat yang betul. Jika double park, pastikan tinggal nota. Jangan susahkan orang lain.
    26. Kalau duduk serumah atau satu dorm, pastikan dapatkan kebenaran dahulu untuk pinjam peralatan atau ambil makanan. Jangan main ambil je. Adab kena ada. Ada orang dah catu makan untuk sebulan.
    27. Jangan suka sangat nak judge orang. Kita pun bukan perfect. Lebih baik diam jika tiada benda baik nak cakap.
    28. Jika dapat sesuatu berita, kaji selidik dahulu. Mungkin cerita kita dapat tu tak sahih. Ada orang suka jadi batu api, mengadu domba. Perkara seperti ini boleh membuatkan orang putus kawan, putus cinta dan sebagainya.


KEWANGAN

    1. Jangan guna duit PTPTN untuk melunaskan kehendak seperti membeli iPhone, iPad dan sebagainya. Duit PTPTN tu untuk sara hidup dan belajar.
    2. Kos sara hidup dan belajar adalah seperti rumah / bilik sewa, makan minum, buku rujukan, pakaian, yuran pengajian, yuran persatuan, baju persatuan, tiket bas, kesihatan dan lain-lain.
    3. Dunia universiti ni kena berjimat cermat. Duit ni macam air, cepat je habis.
    4. Jika anda hidup mewah dengan duit PTPTN atau biasiswa, duit akan habis sebelum tamat semester lagi.
    5. Belanjalah dengan berhemah, jangan berbelanja ikut nafsu. Kita pandu nafsu, bukan nafsu pandu kita.
    6. Buat simpanan sejak usia muda. Letak matlamat.
    7. Jika ada masa, jana pendapatan sendiri dengan menjadi ejen dropship, buat kerja freelance buat poster editing, video editing dan sebagainya. Duit tersebut boleh digunakan untuk emergency fund, simpanan dan sara hidup.
    8. Biasanya di universiti akan ada pusat keusahawanan. Dapatkan info dari pusat keusahawanan berkenaan kursus, peluang berniaga dan sebagainya. Student boleh dapat geran dan bantuan juga.
    9. Jika boleh memasak, maka masaklah untuk jimat kos. Boleh kurangkan makan di luar.


Semoga nasihat ini sedikit sebanyak membantu anda. Selamat menjalani kehidupan sebagai mahasiswa!

Sekian, terima kasih. Mohon maaf atas salah silap.

#azaraslan #nasihatbuatmahasiswa

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript