Photo by Pixabay from Pexels |
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sidang pembaca sihat-sihat sahaja, dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah dan dipermudahkan segala urusan.
Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi tajuk berkenaan tips pengurusan masa untuk akademik dan persatuan di universiti.
Tugas sebagai seorang pelajar bukanlah mudah. Lumrah seorang pelajar; kelasnya padat dari pagi hingga ke malam. Selain itu, tugasan yang diberikan oleh pensyarah bukannya sedikit. Tugasan bertimbun-timbun. Setiap subjek ada assignment masing-masing. Ada subjek tertentu yang mempunyai major assignment dan minor assignment. Kalau semester yang sedang diduduki tu ada 7 subjek, maka ada 7 major assignment. Kalau daripada 4 subjek daripada 7 subjek tu ada minor assignment, maka kiraannya ialah: 7 major assignment + 4 minor assignment = 11 assignments. Ni belum masuk quiz, test, presentation dan sebagainya. Seriau bila disenaraikan. Haih... tepu! Sakit kepala memikirkannya.
Ni baru hal akademik. Belum cerita hal berpersatuan. Sebagai seorang pelajar, anda perlu mengimbangkan pelajaran dan persatuan atau kokurikulum supaya anda menjadi seorang yang all-rounder. Seorang pelajar tidak boleh terlampau fokus pada pengajaran dan pembelajaran sahaja. Setiap pelajar perlu mengasah kemahiran tertentu (soft skills and hard skills) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas tamat belajar nanti. Bak kata pepatah Inggeris, "All work and no play makes Jack a dull boy". Sungguhpun begitu, macam mana nak urus hal berpersatuan kalau hal akademik pun dah tak tertangan?
Boleh ke seseorang pelajar mengimbangi masa untuk akademik dan kokurikulum? Jawapannya boleh.
Sebab apa? Sebab setiap orang diberikan masa 24 jam dalam sehari. Tidak ada orang yang masanya terkurang dan tidak ada orang masanya terlebih. Tuhan bagi semua sama rata.
Masa itu amat bernilai dan tidak boleh diulang tayang. Sebab itulah pepatah Melayu mengatakan, masa itu emas.
Persoalannya ialah, bagaimana kita menguruskan hal akademik dan hal berpersatuan tersebut dengan masa 24 jam yang dikurniakan?
Sebelum itu, saya cuma ingin kongsikan serba sedikit pasal diri saya.
Semasa saya diploma, saya sangat aktif berpersatuan. Terlalu aktif. Alhamdulillah, saya berjaya juga dapatkan Anugerah Naib Canselor Diploma Pentadbiran Awam UiTM. Kemudian dianugerahkan Anugerah Graduan Terbaik (Kepimpinan) UiTM Negeri Sembilan dan Anugerah Graduan Terbaik Fakulti FSPPP (Diploma) UiTM SeMalaysia. Boleh baca di SINI. Pada masa yang sama, jawatan dan keaktifan saya adalah seperti yang disenaraikan di bawah:
|
*Jawatan persatuan di atas, saya pernah pegang semua sekali gus dalam masa yang sama. Jika difikirkan semula, sangat la tak masuk akal dan saya pun terfikir macam mana la saya survive. Tapi Alhamdulillah saya survive dengan pengurusan masa.
*Ini zaman diploma. Zaman degree dan master lagi la mencabar nak seimbangkan akademik dan persatuan. Pengalaman master boleh baca di SINI. Zaman degree dulu pun aktif dengan MPP apa semua, meeting pagi petang siang malam. Di SINI antara bingkisan awal bermula.
Berbalik kepada topik asal, seperti biasa, saya akan pecahkan ikut isi supaya anda semua senang faham.
Jom kita mula!
-----
01. ELAKKAN BUDAYA TANGGUH KERJA
Benda ni sangat jelas dan nyata. Budaya menangguh kerja ni memang semua orang buat. Saya pun tidak terlepas daripada perkara ini. Sungguhpun begitu, budaya menangguh kerja ni ialah budaya yang tak sihat. Sekali sekala tu boleh terima lagi. Tapi kalau kita selalu tangguh kerja dan merancang untuk siapkan pada saat akhir, anda akan ada masalah besar di kemudian hari.
Kenapa saya cakap macam tu? Saya bagi contoh mudah. Contoh ni pasti ramai pelajar lalui. Ada sesetengah assignment, submission date dia ialah pada hari yang sama. Anda bayangkan sekiranya anda kena submit 2 assignment pada hari yang sama. Masalahnya ialah anda masih belum mula lagi buat assignment tersebut. Anda rasa apa akan jadi? Assignment anda pasti akan jadi lintang pukang.
Masalah assignment lintang-pukang (khususnya buat saat akhir) ialah, anda cenderung untuk:
- Meniru assignment orang lain.
- Membuat assignment copy and paste.
- Buat assignment "asal lepas" ikut syarat minimum.
- Ponteng kelas atau skip class sebab anda nak siapkan assignment. Sebagai contoh, assignment kena hantar petang, maka anda pun ponteng la kelas pagi sebab anda nak siapkan assignment. Begitu juga sebaliknya. Tapi anda akan ada masalah besar la sekiranya anda ada quiz, test pada sebelah pagi.
- Tak cukup tidur.
- Cenderung untuk menyusahkan team / group atau partner assignment sebab anda buat kerja last minute. Assignment tu perlu digabungkan kemudian perlu print dan binding untuk dihantar ke bilik pensyarah atau semasa kelas. Kalau assignment solo tu cerita lain la; sekurang-kurangnya tidak menyusahkan orang lain namun anda tetap menyusahkan diri sendiri.
Ni adalah budaya menangguh assignment. Benda yang sama terpakai juga untuk budaya menangguh kerja persatuan.
Sekiranya anda suka menangguh kerja persatuan, kokurikulum dan sebagainya, anda akan:
- Melambatkan proses kerja. Kerja berpersatuan ini melibatkan kerjasama pasukan. Anda lambat hantar kerja, anda akan melambatkan proses semua orang.
- Kerja anda cenderung untuk buat "asal siap", mengakibatkan hasil kerja tidak bagus dan tidak berkualiti. Anda akan menghadapi masalah sekiranya hasil kerja anda memerlukan kelulusan universiti (kertas kerja untuk kelulusan program oleh HEP, bahagian kewangan, bahagian pengangkutan dan sebagainya).
- Kerja anda cenderung untuk kena reject.
Sekiranya anda boleh mengawal budaya menangguh ini, anda pasti akan mempunyai masa yang cukup untuk mengimbangi tugasan akademik dan persatuan.
Kalau kerja tu boleh disiapkan dalam masa 1 jam, maka fokuslah selama sejam untuk menyiapkan kerja tersebut. Jangan la main telefon, tengok YouTube, main Twitter, scroll Instagram apa semua. Tu yang jadi sampai 3-4 jam kerja tak siap.
02. TETAPKAN KEUTAMAAN SESUATU PERKARA
Bila sebut mengenai keutamaan, anda kena tahu:
- Perkara apa yang perlu diutamakan terlebih dahulu,
- Perkara kecemasan,
- Perkara apa yang boleh hold dan dibuat kemudian,
- Perkara apa yang dikategorikan sebagai kehendak,
SENARIO ASSIGNMENT VS WAYANG
Sekiranya anda ada assignment yang perlu disiapkan dan perlu dihantar esok, kemudian kawan anda ajak pergi tengok wayang, apa patut anda buat? Anda perlu bijak buat keputusan; nak pergi tengok wayang atau siapkan assignment?
Pada ketika dan saat ini, menyiapkan assignment telah menjadi keutamaan manakala menonton wayang telah menjadi kehendak.
Anda juga perlu bijak menilai masa yang ada. Jika anda pergi wayang, sempat ke nak siapkan assignment? Adakah lepas tengok wayang, anda confirm akan terus balik buat assignment? Adakah lepas tengok wayang, anda pergi makan mamak atau main boling? Sekiranya lepas wayang ada aktiviti lain, anda sudah pasti akan penat selepas itu.
Sebab itulah perlu bijak dalam buat keputusan. Jika anda memilih wayang dan anda tidak berjaya menyiapkan assignment pada masa yang ditetapkan, andalah yang silap kerana anda memilih untuk melunaskan kehendak berbanding keutamaan.
Jangan pula salahkan pensyarah kerana tidak extend submission date. Kalau anda ada sebab kukuh seperti mak ayah masuk hospital, ahli keluarga meninggal dan sebagainya, itu telah dikira hal yang tidak diduga / kecemasan. Perkara sebegini, Tuhan telah susun takdir. InsyaAllah pensyarah akan faham.
SENARIO MESYUARAT PERSATUAN VS LEPAK MAMAK TENGOK BOLA
Ni pun salah satu contoh juga. Anda ada mesyuarat persatuan pada waktu malam. Pada masa yang sama, ada game bola English Premier League (EPL) pada waktu yang sama. Kawan-kawan anda ajak tengok bola sambil mengeteh di mamak, minum teh 'o' ais sambil makan nasi bujang atau roti canai.
Macam mana? Situasi di sini ialah, menghadiri mesyuarat persatuan adalah keutamaan, sebab anda telah menyandang jawatan. Jawatan itu suatu amanah. Menonton EPL telah menjadi suatu kehendak sebab anda ada mesyuarat yang perlu dihadiri.
Mungkin anda akan terlepas siaran langsung EPL, tapi sekurang-kurangnya anda faham, mesyuarat itu perlu diutamakan. EPL tu anda boleh saja tengok siaran ulangan di YouTube (Stadium Astro kan ada) dan Astro Go.
03. TETAPKAN NIAT DAN MATLAMAT
Niat dan matlamat kena jelas jika nak uruskan masa untuk dua perkara ni.
Sebagai contoh, anda nak dapatkan Anugerah Naib Canselor (ANC) untuk diploma atau degree anda. Itu sasaran anda. Nak capai ANC bukan mudah. Anda kena dapat anugerah dekan untuk setiap semester.
Nak dapat ANC, mestilah kena belajar elok-elok. Kena pergi kelas, kena buat assignment, jawab kuiz, jawab test dan jawab exam dengan baik. Study week pun kenalah buat persediaan untuk menghadapi final exam.
Dengan adanya matlamat sebegini, anda semestinya kena banyak berkorban. Sebagai contoh, kalau kawan ajak lepak, ada waktu kita boleh ikut, ada waktu kita kena tolak pelawaan.
Mungkin contoh di atas terlalu berteraskan akademik. Okay jom kita ambil contoh lain.
Sebagai contoh, matlamat anda ingin dapatkan ANC dan pada masa yang sama dapat aktif dengan aktiviti kokurikulum.
Nak seimbangkan kedua-dua perkara ni bukanlah mudah, tapi tak mustahil.
Untuk ANC, sama sahaja seperti saya kupas di atas. Untuk aktif dengan kokurikulum, anda juga perlu berkorban masa dan tenaga.
Anda kena ada matlamat yang jelas kenapa anda nak aktif kokurikulum.
Antaranya:
- Nak asah knowledge, skills and ability (KSA)
- Meningkatkan kemahiran berkomunikasi berkesan
- Membuat networking
- Membina perpaduan antara kaum
- Menyasarkan Anugerah Graduan Terbaik untuk kategori sukan, kepimpinan dll
- Meningkatkan kemahiran membuat kertas kerja, membuat kerja grafik untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan
- Nak beriadah, bersukan untuk menjaga kesihatan
- Nak mewakili universiti untuk pertandingan
- Mengajar diri untuk berdisiplin
- Nak dapat kolej
- Membina personal branding, dsb
Setiap orang matlamat lain-lain. Pastikan anda tetapkan niat dan matlamat.
04. JAGA WAKTU TIDUR DAN TIDUR AWAL
Tidur ni penting. Kalau tak cukup tidur, esok kita bangun pasti fikiran melayang sebab tak boleh fokus kerana terlalu penat.
Tidur yang cukup ni ada banyak kebaikan dia iaitu:
- Dapat kawal emosi
- Memori yang lebih baik
- Dapat tingkatkan tumpuan atau fokus
- Jantung lebih sihat, dll
Boleh baca di sini: https://www.aia.com.my/ms/what-matters/health-wellness/Tidur-Rawatan-untuk-tubuh-badan-dan-minda.html
Boleh juga baca di sini: https://hellodoktor.com/tidur/tidur-malam-penting/
Badan kita ni ada jam biologi. Kita boleh disiplinkan waktu tidur kita.
Jika anda rancang nak tidur jam 10 malam dan bangun 6 pagi secara konsisten setiap hari, maka anda perlu paksa diri anda tidur pada waktu dan bangun pada waktu tersebut sekurang-kurangnya dua minggu.
Apa yang penting kena jaga waktu tidur dan tidurlah awal.
Masa di sebelah pagi, lebih segar dan lebih panjang. Oleh sebab itu, rugi sebenarnya kalau kita selalu bangun lewat. Sekali sekala tu biasalah. Kadang-kadang kita tak qadha tidur.
Nak tidur lewat tu boleh, tapi elakkan agar tidak menjadi kebiasaan.
05. SARAPAN
Anda perasan tak orang Inggeris ni ada suatu pepatah (proverb) yang amat popular berkenaan sarapan?
Ni dia: "Eat breakfast like a king, lunch like a prince, and dinner like a pauper."
Kena sarapan ke? Ye, kenalah sarapan. Kita nak start pagi kita dengan tenaga. Kita nak pakai tenaga!
Ramai orang skip sarapan (faktor kebiasaannya ialah bangun lambat, tak suka sarapan, rasa macam awal sangat makan, dll) lepas tu qadha makan atau melantak makan semasa lunch. Ni budaya yang tak sihat.
Pada waktu pagi:
- Kandungan gula kita agak rendah. Kita perlu makan untuk menstabilkan gula dalam badan.
- Selain itu, pada waktu pagi perut kita mengeluarkan lebih banyak jus gastrik. Jika anda cenderung untuk tidak bersarapan, anda meletakkan diri anda pada risiko keradangan, gastrik dan ulser perut.
- Ramai orang ingat bila kita skip sarapan, kita akan dapat turun berat badan sedangkan sebenarnya kita perlu makan dengan cara yang betul untuk mengurangkan berat badan.
- Skip sarapan akan menyebabkan sugar spike, gastrik, perut masuk angin dan sebagainya.
"Kajian yang diterbitkan Jurnal Penyelidikan Obesiti mendapati 78 peratus responden berjaya mengurang dan mengekalkan berat badan dengan pengambilan sarapan secara berterusan." (Berita Harian, 2015)
Baca di sini: https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/07/68630/kepentingan-sarapan-pagi
Sarapan ni la yang membuatkan otak kita jadi segar dan badan jadi cergas. Macam mana kita nak fully utilize badan dan otak kita sekiranya kita kena gastrik dan sebagainya kan... Sebab tu kita kena sarapan.
Dietitian juga turut mengatakan bahawa sarapan adalah komponen pemakanan yang paling penting untuk kesihatan anda. Okay, dah tahu kan? Jangan skip sarapan okay?
Antara menu sarapan paling mudah sekali ialah makan Nestum. Ni saya biasa buat. Boleh la cuba. Kenyang la juga. Oat pun okay juga.
06. JADUAL HARIAN
Kita kena ada jadual harian. Jadual harian ni macam mana?
Maksudnya, anda dah buat perancangan apa yang nak dibuat pada hari tersebut.
Sebagai contoh:
Isnin (Jadual Biasa)
- 6.00am: Subuh, mandi dan persiapan kendiri
- 7.00am: Sarapan
- 8.00am - 1.00pm: Kelas
- 1.00pm - 2.00pm: Rehat, makan & solat zohor
- 2.00pm - 3.00pm: (Isi ruang kosong)
- 3.00pm - 5.00pm: Kelas
- 5.00pm - 7.00pm: Solat asar, bersukan
- 7.00pm - 8.00pm: Balik kolej, mandi, solat maghrib
- 8.00pm - 8.30pm: (Isi ruang kosong)
- 8.30pm - 8.45pm: Solat isyak
- 9.00pm - 9.45pm: Makan malam
- 9.45pm - 10.45pm: Belajar / siapkan assignment
- 11.00pm: Tidur
Ni sebagai contoh, perancangan harian. Mungkin ada waktu tu boleh kurangkan masanya dan digantikan dengan perkara lain. Yang penting ada perancangan macam ni.
Kalau anda aktif berpersatuan, perancangan anda pasti lebih kompleks daripada ini.
Sebagai contoh:
Isnin (Jadual Pelajar Aktif Berpersatuan)
- 5.30am - 6.30am: Subuh, mandi dan persiapan kendiri
- 6.30am - 7.00am: Recap jadual harian, dll
- 7.00am: Sarapan
- 8.00am - 1.00pm: Kelas
- 1.00pm - 2.00pm: Rehat, makan & solat zohor
- 2.00pm - 3.00pm: Siapkan assignment / kerja persatuan / jumpa pensyarah / jumpa penasihat kelab
- 3.00pm - 5.00pm: Kelas
- 5.00pm - 7.00pm: Solat asar, bersukan
- 7.00pm - 8.00pm: Balik kolej, mandi, solat maghrib
- 8.00pm - 10.00pm: Mesyuarat persatuan
- 10.00pm - 10.15pm: Solat isyak
- 10.15pm - 10.45pm: Makan malam
- 11.00pm: Tidur
*Jadual ni fleksibel. Anda boleh ubah ikut kesesuaian anda. Mungkin anda jenis tak bersukan atau jenis bersukan sekali sekala. Oleh itu, anda boleh sahaja makan malam awal. Makan malam yang disarankan ialah pada jam 6.00 petang sehingga sebelum jam 9.00 malam.
*Jika tak ada apa-apa mesyuarat persatuan atau apa-apa aktiviti, anda boleh sahaja buat assignment. Kalau assignment dah siap, anda boleh la pergi main futsal ke, badminton ke, tengok wayang ke. Yang penting benda-benda penting semua dah siap dulu. Perkara ni selari dengan perkara 02 iaitu tetapkan keutamaan sesuatu perkara.
*Bila dah aktif berpersatuan, pasti kita akan ada rasa nak menangguh kerja sebab penat dan sebagainya. Sebab itulah perancangan harian ni penting untuk anda pastikan setiap urusan anda semuanya disusun atur dengan sistematik. Masa itu emas. Maka uruslah keutamaan kita dengan baik. Penat tu biasalah. Hidup ni perlu berkorban.
Macam mana kalau jadual hari minggu?
Ni contohnya:
Ahad (Jadual)
- 5.30am - 6.30am: Subuh, mandi dan persiapan kendiri
- 6.30am - 7.00am: Recap jadual harian, dll
- 7.00am - 8.00am: Sarapan
- 8.00am - 9.00am:
- 9.00am - 10.00am: Basuh baju, jemur baju
- 10.00am - 11.00am:
- 11.00am - 12.00pm:
- 12.00pm - 1.00pm:
- 1.00pm - 2.00pm: Rehat, makan & solat zohor
- 2.00pm - 3.00pm:
- 3.00pm - 4.00pm:
- 4.00pm - 5.00pm:
- 5.00pm - 7.00pm: Solat asar, bersukan
- 7.00pm - 8.00pm: Balik kolej, mandi, solat maghrib
- 8.00pm - 10.00pm: Siapkan assignment
- 10.00pm - 10.15pm: Solat isyak
- 10.15pm - 10.45pm: Makan malam
- 11.00pm: Tidur
*Anda perasan kan ada banyak masa sebenarnya? Anda boleh isi ruang kosong tu dengan urusan-urusan lain. So, tak ada la anda tidur sahaja sepanjang hari. Penuhkan aktiviti anda dengan perkara yang berfaedah.
*Sebagai contoh: turut serta aktiviti berpersatuan, buat kerja sukarela, misi kemanusiaan, mesyuarat persatuan, siapkan assignment, balik rumah keluarga, pergi klinik, lawatan akademik, dll
Macam mana kita nak pastikan jadual harian ni diikuti? Ni semua atas diri sendiri. Maksudnya, kita kena disiplinkan diri sendiri. Patah balik dekat perkara 03 tadi iaitu tetapkan niat dan matlamat.
Anda boleh beli buku diari, buku perancangan (planner), atau kalendar untuk kemas kini jadual harian anda. Tak perlu beli yang fancy-fancy pun. Asal boleh baca, boleh conteng, boleh tulis pun dah okay.
Planner yang saya biasa gunakan, boleh check SINI.
Kalau tak ada bajet, macam mana? Online planner kan ada. Google calendar pun ada. Aplikasi planner di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery pun ada macam-macam. Gunalah aplikasi yang ada dengan sebaiknya. Kebanyakannya percuma dan semestinya mesra alam. Tak guna kertas.
Planning ni secara mudah boleh pecahkan kepada empat perkara:
- Perancangan harian (rancangan hari ini dan keesokan harinya)
- Perancangan mingguan
- Perancangan bulanan
- Perancangan tahunan
Perancangan harian ialah seperti yang saya gariskan di atas. Perancangan mingguan ni, anda dah boleh rancang dari awal. Sama juga dengan perancangan bulanan dan tahunan.
Seperti yang diberitahu, perancangan ni bersifat fleksibel. Ada yang mungkin jadi, ada yang mungkin tak jadi. Ada yang mungkin batal atau ditunda ke hari lain. Apapun sekurang-kurangnya perancangan dah ada.
Satu perkara yang anda kena bersedia ialah, jadual anda takkan selalu kena dengan jadual kawan-kawan anda. Ada waktu kalau anda kena lunch seorang, maka lunch-lah seorang. Kalau dinner seorang, maka dinner la seorang. Jangan rasa tersisih, rasa malu dan sebagainya. Sebaliknya bersyukurlah sebab anda sudah ke arah makin matang dan makin bijak menguruskan keutamaan dan masa.
Buatlah jadual harian supaya kita ada rujukan apa nak buat setiap hari dan setiap masa.
-----
PENUTUP
Memetik semula petikan yang ada di bahagian pengenalan tadi, setiap orang diberikan masa 24 jam dalam sehari. Tidak ada orang yang masanya terkurang dan tidak ada orang masanya terlebih. Tuhan bagi semua sama rata.
Berikut adalah sedikit pesanan buat mahasiswa atau bakal mahasiswa. Boleh tekan di SINI.
Sekian, terima kasih. Mohon maaf atas salah silap ya. Semoga bermanfaat untuk semua!
#azaraslan #azarnakcerita #azarkata