Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua sidang pembaca sekalian. Semoga semua pembaca dikurniakan rezeki melimpah-ruah, dipermudahkan segala urusan dan diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman menjadi sukarelawan banjir di pusat pemindahan sementara (PPS). PPS mana saya bertugas? Saya bertugas di PPS SK Alam Megah 3 dan turut membantu di PPS SMK Alam Megah 2.
Sungguhpun begitu, PPS SK Alam Megah 3 (SKAM 3) adalah PPS yang saya jaga secara full time. PPS SMK Alam Megah 2 ni saya datang sekali dua sahaja.
Saya menjadi ahli sukarelawan banjir di bawah Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
PPS SKAM 3 beroperasi selama 11 hari dan saya terlibat secara langsung selama 7 hari. 4 hari lagi tu saya bantu dari jarak jauh kerana kekangan kerjaya.
Bagi memudahkan penceritaan pengalaman, saya akan menceritakan mengikut tarikh bermulanya PPS beroperasi. Saya akan highlight juga pengalaman yang bermakna / berguna. Kemudian, saya akan ceritakan pengalaman melalui Q&A (soalan dan jawapan) yang dilakukan di Instagram Story saya. Jawapannya saya akan kongsi di sini.
Artikel banjir ada banyak, antaranya:
- LIVE Banjir 18 Disember 2021: https://www.youtube.com/watch?v=S0_zeAQMvIU
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/905583/bah-besar-penutup-2021
- https://www.sinarharian.com.my/article/178674/VIDEO/Berita-Semasa/Ini-banjir-kilat-terburuk-sejak-20-tahun-lalu
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/905603/apa-sebenarnya-berlaku-pada-18-disember
-----
18 DISEMBER 2021 (SABTU)
Kita semua sedia maklum bahawa tragedi banjir Shah Alam berlaku pada 18 Disember 2021. Bukan setakat Shah Alam, banyak lagi tempat kena. Hulu Langat kena, Kajang kena, Semenyih pun ada tempat yang kena. Semasa banjir berlaku, saya berada di Semenyih. Saya menyewa rumah dan bekerja di Semenyih.
Saya mengikuti perkembangan banjir dari semasa ke semasa khususnya melalui hashtag #DaruratBanjir. Di sinilah kita boleh dapatkan maklumat secara LIVE. Group WhatsApp BSMM Daerah Petaling juga telah meminta ahli-ahli bersedia untuk operasi banjir.
Semasa di office, team office Chef Kecik Kitchen tanya, "Azeem, keadaan banjir macam mana kat sana (Shah Alam)? PBSM tak ada panggil standby ke?". Team saya semua dah tahu tentang keaktifan saya dengan PBSM.
"Dieorg dah minta volunteer standby. Sekarang tengah tunggu arahan selanjutnya", ujar saya kepada team.
Sampailah tengah malam, saya tak boleh nak tidur nyenyak sebab memikirkan keadaan mangsa banjir.
Kita ni nak bantu pun tak boleh sebab banyak jalan tutup dan banyak kawasan juga telah dinaiki air. Selain daripada itu, keesokan harinya saya bekerja.
*Penceritaan 19 Disember - 23 Disember agak panjang kerana waktu ini ialah waktu-waktu kritikal.
19 DISEMBER 2021 (AHAD)
Group WhatsApp memang kecoh waktu tengah malam. Banyak maklumat pasal banjir dikongsikan dari semasa ke semasa. Media sosial apatah lagi.
Team BSMM Daerah Petaling, Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) 44 Shah Alam telah berkongsi dalam group WhatsApp berkenaan pembukaan PPS SKAM 3. Team PBS 44 Shah Alam merupakan team yang terawal respon di sana. Waktu ni saya belum turun lagi.
Pada jam 3.00 pagi, PPS SKAM 3 telah dibuka untuk mangsa banjir. Mangsa daripada Bukit Lanchong tiba di lokasi dengan lori ayam, lori roro, lori tanah dan bermacam lagi. Ada yang datang sehelai sepinggang. Ada yang tiba berkaki ayam dan macam-macam lagi. Waktu ini, kita masih belum terima apa-apa bantuan lagi. Bantal, selimut, makanan apa semua, belum ada lagi.
Waktu ni fikiran saya dah dekat PPS dah. Jasad je tertinggal kat Semenyih. Hati saya meronta-ronta nak pergi, namun saya ni bekerja. Kita ada kerja dan tugasan hakiki. Tak boleh tinggal kerja suka-suka.
Pukul 8.00 pagi, saya tiba di office Chef Kecik Kitchen seperti biasa. Team tanya lagi keadaan banjir macam mana apa semua. Saya pun maklumkan pasal PPS SKAM 3. Saya sentiasa ikut rapat update dari semasa ke semasa. Saya juga ada cakap dekat HR bahawa kalau boleh memang saya nak pergi sana (bantu mangsa banjir).
Pendek cerita, HR kata, "kalau nak pergi, pergilah. Harini kira half day. Nanti waktu kerja selebihnya ni, ganti kemudian. WFH atau kerja lebih masa di hari lain".
Alhamdulillah. Dapat team yang supportive. Saya terus settlekan kerja, lunch dulu di office, kemudian balik rumah ambil apa yang patut, terus bergerak ke Shah Alam.
Sekitar jam 1.50 petang, PPS SKAM 3 menerima lebih kurang 1725 mangsa banjir. Angka ini lebih kurang bersamaan 321 keluarga. Ramai tu.
Dalam group BSMM pun ada kata, "we need more volunteers that can help". "we need all help that we can".
Dalam hati saya kata, "tunggu, insyaAllah saya sampai. Semoga jalan yang dilalui tak banjir. PadaMu ku berserah".
Disebabkan khuatir jalan KL banjir, maka saya ikut jalan jauh untuk ke Alam Megah, Shah Alam iaitu:
Semenyih -> Highway LEKAS -> Highway Kajang SILK -> Exit Putrajaya / IOI Putrajaya -> Cyberjaya -> Highway ELITE -> Exit USJ -> Alam Megah, Shah Alam.
Saya lapor diri jam 4.05 petang, 19 Disember 2021.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiba jam 4.00 petang di PPS SKAM 3 dan recce bantuan yang diperlukan. Bantuan sangatlah diperlukan waktu ni sebab bantal, selimut, toto semua memang tak cukup.
Waktu ini KKM belum tiba lagi di PPS SKAM 3, maka saya cuba menghubungi NGO / organisasi kesihatan yang lain iaitu Neno Healthcare untuk memberi bantuan health screening and medical supplies. Neno Healthcare dengan tangkasnya tiba di lokasi jam 7.50 petang. Neno Healthcare hadir bersama Malaysian Relief Agency (MRA) Selangor.
Setakat ini, sudah ada 4 pasukan kesihatan berganding bahu untuk membantu mangsa banjir iaitu BSMM, Neno, MRA dan PKSM (Persatuan Kecemasan Sukarelawan Malaysia).
Health screening perlu dilakukan sebab dalam kalangan 1725 mangsa, kita pun tak tahu keadaan kesihatan mereka bagaimana. Mungkin ada yang sakit perut, muntah, demam dan sebagainya. Maka kami set up health screening base dekat kantin sekolah pada jam 9.00 malam.
Neno dan MRA menjalankan health screening berskala kecil di kantin untuk mangsa-mangsa banjir manakala BSMM dan PKSM membuat rondaan dan menjaga bilik kecemasan.
ASMA DAN SAWAN
Ambulans KKM tiba di PPS |
"Tolong nurse, doktor! Ada orang sakit dekat bilik darjah!". Suara ni datang dari pintu utama bilik operasi. Ada orang datang maklumkan. Jam menunjukkan pukul 10.25pm.
Kami geng-geng sukarelawan yang sedang standby di bilik operasi semua tersentak dengan maklumat tu. Saya, nurse PKSM dan seorang lagi sukarelawan bergegas ke bilik darjah, bawak sekali trauma bag dan semua jenis inhaler yang kita ada; warna biru, coklat (sebab kita tak tahu keadaan dia macam mana). Melihat kepada situasi, ada seorang kena asma dan sawan. Mangsa ialah kanak-kanak.
Sebagai seorang ahli sukarelawan yang telah dilatih dengan ilmu pertolongan cemas, maka kita buat apa yang patut.
Untuk mangsa yang kena sawan, kita biarkan sawan itu berlalu terlebih dahulu. Untuk pengetahuan semua, bila orang kena sawan, jangan sesekali kita letak sudu atau apa2 batang di lidah atau bawah lidah mangsa, sebab benda-benda ni la yang membuatkan lidah tu boleh terputus. Rasionalnya ialah, otot tengah kejang. Jika disuruh gigit dalam keadaan kejang, lagi teruk la keadaannya.
Pendek cerita, sawan ni dah hilang. Tiada sawan berulang. Kita buat recovery position.
Sekarang kita nak rawat asma pula. Mangsa ni juga ada asma kronik. Inhaler pun tak lut dah. At this point of time, the only way is neb (nebulizer).
"Kena call ambulans, stat!", ujar nurse. Maka kita hubungi 999 untuk datang ke PPS SKAM 3.
Sungguhpun begitu, ambulans Hospital Shah Alam tak available sebab jalan keliling semua banjir, maka 999 dispatch ambulans Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk datang. Agak lama juga ambulans ambil masa untuk ke PPS sebab nak elak jalan yang banjir tetapi akhirnya sampai jua. Ambulans tiba jam 11.25 malam.
Alhamdulillah, lega rasanya, bila kanak-kanak tu okay telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
20 DISEMBER 2021 (ISNIN)
Update sitrep |
Saya dan team lain sedang berehat di bilik operasi, kemudian dapat info bahawa pegawai-pegawai BSMM Daerah Petaling nak datang untuk meninjau kawasan serta untuk mendapatkan sitrep (situation report). Petugas BSMM pun berilah laporan, perkembangan terkini di PPS.
Selesai beri laporan, kita pun tangkaplah gambar dan pegawai pun pulang. Petugas PPS masih kekal di PPS la. Banyak lagi benda yang perlu dibuat.
Sejujurnya, pancit. Masing-masing pun tak rehat lagi. Tengah-tengah pagi buta pun petugas still ada meeting untuk preparation hari esok. Petugas pun perlu mengemas bilik operasi, ruang agihan makanan, ruang kuarantin di kantin dan ruangan sumbangan NGO.
Selesai mengemas semua lebih kurang jam 5.00 pagi. Waktu ni masing-masing macam zombie dah. Lantai pun dah nampak macam katil. Yang penting boleh landing. Saya pun tertidur atas bangku bilik operasi / bilik kesihatan.
Tidur tak lama. Berapa lama agaknya? Sejam ja tidur. Pukul 6.00 pagi bangun dah. Tidur-tidur ayam je. Masing-masing bangun sakit kepala. Saya bangun untuk basuh muka dan solat subuh. Kemudian bila sarapan sampai, kami makan dulu, lapik perut sebelum nak memulakan tugasan yang penuh cabaran.
Sedang kami setup macam-macam benda termasuklah membantu guru-guru sekolah untuk menyediakan sarapan, kami dapat tetamu dari KKM. KKM datang bilik operasi. KKM nak tahu info semasa pasal kecemasan dan kesihatan di PPS. Kami pun supply la maklumat.
Tak lama lepas tu, JPAM pun tiba di lokasi PPS untuk membantu operasi PPS. Nampak juga pihak RELA tiba.
Waktu ni dah macam-macam agensi ada. BSMM, PKSM, NENO, MRA, KKM, JPAM / APM, RELA, guru-guru sekolah, sukarelawan bebas dan JKM. Alhamdulillah, the cavalry has arrived.
Memandangkan KKM dah ada, maka saya mewakili BSMM memberi taklimat ringkas berkenaan peranan KKM, BSMM, Neno dan MRA dalam inisiatif health screening / health check. Hal ini demikian untuk memastikan setiap pasukan kesihatan tahu apa yang perlu dibuat. Maklumlah, semua pasukan ni pasukan kesihatan. Mestilah kena ada delegation of task.
Dengan adanya manpower, supply dan KKM, maka kita boleh jalankan swab test kepada high risk patient dan mangsa yang menunjukkan sign and symptoms.
Malang tak berbau, apa yang dijangka telah jadi. Dalam 1725 mangsa, kebarangkalian yang positif COVID-19 itu mungkin ada.
Taklimat ringkas health screening |
BUDAK KECIL POSITIF COVID-19
Jam menunjukkan pukul 10.00 pagi lebih kurang. Sedang saya bertugas di kantin, tiba-tiba seorang doktor / MO daripada KKM datang ke saya.
"Encik, kita ada seorang budak positif. Minta sediakan ruang isolasi segera. Budak ni berumur 9-10 tahun. Based on observation, boleh jadi mild positive sahaja. Apapun, tetap kena kuarantin".
Jujurnya waktu ni saya blur kejap. Sebab apa? Sebab jumlah mangsa di PPS ialah 1725 mangsa bersamaan 321 keluarga. Bilik darjah semua dah penuh. Dewan terbuka dah penuh. Memang dah tak ada tempat dah.
Nak tak nak, tindakan mesti dilakukan sebab dah ada kes positif. Ambil nafas jap, fikir jangan penyelesaian, maka kami pun buat ruang isolasi sementara di sebelah kantin.
Kemudian saya terus minta team-team saya uruskan bilik kuarantin segera. Sebab kita kena kekang virus ni.
Waktu saya uruskan ni, memang pakai full PPE la. Start pakai full PPE once dapat maklumat dari doktor.
Memandangkan budak ni masih kecil maka ibunya teman di ruang isolasi. Ruang isolasi ni kita dah tape guna tape kuning hitam polis "do not cross the line" tu.
Memandangkan saya pakai PPE, maka saya akan serahkan makanan, air dan sebagainya di ruang isolasi.
Di kala saya uruskan mangsa positif COVID-19, ada mata-mata liar yang memandang pesakit COVID-19 dengan pandangan yang sangat tidak menyenangkan.
TEMPAT NI BAWA PENYAKIT!
Ibu kepada yang positif panggil saya, beritahu bahawa anaknya nak ke tandas. Sebab tadi dah makan tengah hari dan minum air semua.
Saya pun maklumkan bahawa bilik kuarantin masih belum ready lagi. Kita akan cuba secepat yang mungkin.
Sejujurnya kesian sangat tengok budak ni. Yelah, budak kot. Saya terpaksa kata,
"sabar ya adik. Abang tengah uruskan. Tahan sikit lagi ya?"
Kemudian saya pun bergegas ke bilik operasi dan minta percepatkan proses bilik kuarantin. Saya jumpa juga wakil pihak sekolah untuk bantu.
Kemudian saya datang balik ke ruang isolasi. Sugul, sedih, kecewa muka ibunya. Saya pun tanya kepada ibunya kenapa. Ibu si cilik pun beritahu (ni ayat yang saya ingat la. Mungkin ayat tak sama tapi maksudnya macam ni juga la):
"Doktor (dia panggil saya doktor), kalau boleh nak minta cepatkan ke bilik kuarantin. Saya dan anak tak selesa dah dekat sini sebab masing-masing dok tenung. Macam kami ni buat salah besar."
"Geram doktor, tadi ada orang tua dok tenung, lepas tu cakap kuat-kuat, "jom la kita tinggalkan tempat ni. Tempat ni bawak banyak penyakit!". Kami tak minta pun COVID ni datang, doktor."
Waktu saya dengar ni, saya rasa menyirap sangat. Mengucap memanjang. Sebab apa? Inilah bukti menunjukkan bahawa, tak semestinya bila dah tua tu matang ataupun beradab. Kerana mulut badan binasa.
Saya tenangkan keluarga mangsa. Saya cuba sedaya upaya untuk uruskan bilik kuarantin.
Logiknya, PPS tu memanglah ada penyakit. Kita kumpul mangsa-mangsa banjir. Pastilah ada kemungkinan untuk orang sakit tu tinggi.
TRANSFER MANGSA KE BILIK KUARANTIN
Jam 4.00pm, bilik dah ready. Waktu ni saya uruskan pemindahan keluarga mangsa COVID ke bilik kuarantin.
Saya minta tolong team petugas / sukarelawan PPS untuk kosongkan laluan. Nak bagi laluan untuk mangsa COVID.
Waktu ni tetap ada mata-mata yang memandang dari jauh.
Saya pun siap dengar lagi suara-suara orang lain, seperti:
"Ohhhhhh, ni ke yang positif tu?"
"Bang, ada kes positif ke bang? Okay ke tak tu?"
"Ni sakit apa ni?"
Ni semua bukan bertanya dalam nada biasa. Ni semua jerit dari jauh.
Saya kata kat keluarga mangsa. Hiraukan. Saya percepatkan proses untuk ke bilik kuarantin.
Sampai bilik kuarantin, keluarga mangsa pun meluahkan perasaan pasal persepsi orang sekeliling yang ada.
Saya turut bersimpati dan tenangkan mereka. Saya tak nafikan apa mereka cakap sebab benda tu betul. Kalau saya kat tempat mereka pun saya geram, sedih dan marah juga.
Waktu jaga PPS ni la kita boleh tengok bermacam ragam manusia.
SAMBUNGAN 20 DISEMBER 2021 (ISNIN)
Setelah selesai semua, saya buang PPE dalam disposable bag and bin, kemudian bersihkan badan / mandi.
Memang berkicap sungguh. Berjam-jam pakai PPE.
Disebabkan terlalu penat, saya pergi berehat sementara waktu di bilik operasi.
Ada mesyuarat jam 5.00 petang bersama semua agensi yang ada, tapi saya tak join. Pada masa yang sama, saya buat COVID self kit test, dan alhamdulillah negatif.
Selepas mesyuarat tamat, ada petugas yang balik atau rehat. Saya juga balik ke Semenyih kerana keesokan harinya saya bekerja.
Saya tamat tugasan jam 6.05 petang.
Syif seterusnya diambil alih oleh petugas lain.
Selain daripada standby medical untuk sakit fizikal, kita juga provide mental health and psychosocial support (MHPSS) untuk mangsa banjir.
21 DISEMBER 2021 (SELASA)
Waktu ni saya tiada di PPS, maka penceritaan ini berdasarkan laporan dan petugas.
Pada jam 12.30 malam, pasukan petugas PPS menerima lawatan dari NADMA bersama wakil tertinggi JPAM yang bertanyakan tentang keadaan mangsa banjir beserta keadaan terkini. Pihak Neno mewakili semua NGO, memaklumkan tentang bantuan yang diperlukan.
Sepanjang tengah malam dan pagi, petugas sentiasa standby sekiranya berlaku apa-apa kecemasan. Petugas juga membuat rondaan blok ke blok. Selain itu, petugas juga take turn untuk rehat.
Pada jam 6.30 pagi, kerja-kerja pembersihan dilakukan untuk sesi agihan makanan.
PPS menerima khemah bencana daripada JKM dan NADMA pada jam 1.30 tengah hari. Setelah dapat, petugas-petugas melakukan pemasangan khemah diteruskan sehingga selesai.
BSMM masih lagi meneruskan khidmat psikososial kepada mangsa banjir.
22 DISEMBER 2021 (RABU) - SIANG
Waktu ni juga saya tiada di PPS, maka penceritaan ini berdasarkan laporan dan petugas. Saya datang sebelah malam.
Tugasan-tugasan khidmat kesihatan, logistik masih dijalankan seperti biasa oleh BSMM dan NGO kesihatan yang lain.
10.30am: Gotong-royong telah dijalankan oleh 9 orang dari persatuan IKRAM.
1.00pm: Dua orang kanak – kanak perempuan hadir mendapatkan rawatan akibat terjatuh dari tangga.
2.15pm: Wakil PKD Petaling hadir bersama team St. John Ambulance untuk set up medical base di kantin. Dimaklumkan team PKD akan mula beroperasi dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja. BSMM turut membantu dari persediaan logistik menyediakan khemah rawatan.
4.45pm: Team PKD maklumkan 1 orang wanita positif COVID-19. Ujian RTK diteruskan kepada satu dari tiga buah keluarga yang tinggal bersama – sama dalam bilik darjah mangsa banjir wanita yang disahkan positif COVID-19 tersebut.
5.20pm: Hasil daripada ujian RTK mendapati satu dari tiga buah keluarga tersebut disahkan negatif Covid-19. Baki ujian RTK untuk dua buah keluarga lagi akan disambung keesokan harinya.
6.30pm: Empat orang wanita dewasa hadir mendapatkan bantuan ubatan paracetamol dan minyak angin mengadu sakit kepala.
22 DISEMBER 2021 (RABU) - MALAM
BSMM bersama Neno dan MRA, bertugas medical standby |
Selesai sahaja urusan kerja, saya hadirkan diri ke PPS daripada Semenyih. Saya bergerak dengan rakan sepasukan saya yang tinggal di Kajang.
Kami gerak dari Kajang lepas isyak.
Saya dan petugas lain tiba di PPS jam 10 malam. Petugas bersedia untuk medical standby sekiranya ada kes kesihatan atau kecemasan sepanjang malam. Tiada kes kesihatan atau kecemasan dilaporkan. Kami standby sehingga jam 3.00 pagi. Esoknya bekerja.
Saya sampai rumah Semenyih lebih kurang jam 5.00 pagi. Masuk office jam 8.00 pagi. Fuhh.
Memandangkan KKM sudah ada di PPS pada siang hari maka BSMM hanya fokuskan tugasan standby medical sebelah malam sampai pagi.
Walaupun tiada kes kecemasan dan kesihatan, tapi ada kes lain.
Jam 3.00 pagi, tukar syif dengan petugas lain |
ELECTRIC SHOT SATU BLOK
Depan bilik operasi ni, team petugas memang dah setup tempat buat air panas. Pendek cerita, plug shot. Habis trip satu blok.
Waktu ni, bilik operasi ada high risk patient. Nasib baik la tak ada patient yang beroperasi menggunakan mesin dan sebagainya. Kalau tak, Allahuakbar.. Tak terfikir dek akal la apa akan terjadi.
Maka kami pergilah jumpa guard sekolah untuk troubleshoot perkara ni. Pendek cerita, electric power restored. Plug cerek air tu kita off dan pangkah X dulu until further action.
23 DISEMBER 2021 (KHAMIS) - HARI MENTERI DATANG
Waktu ni juga saya tiada di PPS, maka penceritaan ini berdasarkan laporan dan petugas.
Team BSMM yang lain sampai di PPS untuk bertukar syif. Saya pun baliklah ke Semenyih dalam keadaan jam 8.00 pagi hari yang sama kena masuk office.
Tugasan khidmat sokongan psikososial kepada mangsa banjir dijalankan seperti biasa.
Hari ini, menteri nak datang buat lawatan ke PPS, maka:
- Mesyuarat antara BSMM, KKM, JKM, Guru SKAM3 dan MPSJ dijalankan. Mesyuarat turut membincangkan perihal kedatangan Menteri KPDNHEP pada hari tersebut.
- Semua pihak menyambut mesra kehadiran Menteri KPDNHEP, Dato' Sri Alexander Nanta Linggi. BSMM turut menerangkan peranan BSMM sejak pembukaan PPS.
BSMM membantu Neno Healthcare di SMK Alam Megah 2 untuk crowd control bagi menjalani swab test kepada mangsa banjir. Team BSMM daripada MSU datang bantu untuk cover syif standby medical sebelah malam.
24 DISEMBER 2021 (JUMAAT) - 29 DISEMBER 2021 (RABU)
Discussion untuk health report, round patient dan medical standby |
Saya turun bertugas pada:
- 24 - 25 Disember 2021 (Jumaat - Sabtu)
- 25 - 26 Disember 2021 (Sabtu - Ahad)
- 26 - 27 Disember 2021 (Ahad - Isnin)
Hari-hari lain, maklumat berdasarkan cerita dan report.
Tugasan medical standby seperti biasa.
Mangsa banjir yang boleh rawat, kita akan rawat. Mangsa yang memerlukan rawatan lanjut, kami call 999 untuk dapatkan ambulans (demam panas, suhu 39 static, etc).
BSMM MSU Medical Team. Terbaik! |
30 DISEMBER 2021 (KHAMIS) - 31 DISEMBER 2021 (JUMAAT)
Gambar selepas selesai kemas. Gambar untuk kenangan |
Kami mendapat makluman daripada JKM bahawa PPS di SK Alam Megah 3 akan ditutup pada 30 Disember 2021. Disebabkan itu, saya dan beberapa lagi ahli BSMM yang lain turun ke PPS untuk proses pengemasan dan stand down.
Waktu ni saya turun ke PPS dari Semenyih.
Saya dan petugas lain tiba di PPS pada jam 10.00 malam. Petugas telah memulakan operasi mengemas dan menyusun atur bilik kawalan utama PPS.
Akhirnya, selesai juga semua. Panjang betul ceritanya nak sampai sini. Apa ceritanya? Saya tak ada duit.
TUHAN AKAN TOLONG HAMBANYA
Sejujurnya, saya dah kehabisan duit nak ulang-alik Semenyih - Shah Alam.
Untuk hari terakhir ni, saya memang ada RM30 sahaja dalam tangan. Dalam bank habis dah. Duit banyak pakai bulan tu. Gaji masuk 1 atau 2 haribulan. Waktu ni baru 30 Disember.
Pening memikirkannya. Mana nak cari duit ni? Duit memang tak ada. Saya nak pergi sebab saya perlu angkat barang-barang masuk kereta. Kereta petugas lain tak cukup besar nak bawa barang banyak-banyak tu.
Dengan kekuatan yang entah tak tahu dari mana datang, saya dengan selambanya start kunci kereta dan jalan sahaja kereta dalam keadaan duit ada RM30 sahaja. Duit ni la nak survive sampai 1 atau 2 haribulan.
RM30 ni lepas isi minyak dan tol.
Nak bergerak dari Semenyih ke Alam Megah ni bukannya dekat.
Semenyih ke Alam Megah, Shah Alam (sama juga jalan balik):
- 55-60km.
- 1 jam lebih perjalanan,
- Tol dalam RM10 sehala.
Haih.. Tapi Allah dah susun jalan cerita kita.
Nak dijadikan cerita, dalam keadaan saya bermonolog, "Ya Allah bantulah aku untuk balik ke Semenyih. Aku dah tak ada duit", tiba-tiba ada yang datang menghulurkan duit RM50. Tak tahu samada dia terdengar isi hati, atau saya memang ada tercakap kuat pasal ni atau macam mana.
Tapi...
Dihulurnya RM50 katanya sebab kecekalan, komitmen terhadap membantu mangsa banjir.
Saya rasa bersyukur sangat, sebab dapat balik ke Semenyih. Esok tu saya kerja macam biasa.
Allah adalah sebaik-baik perancang. Jangan kita berputus asa, jangan kita malu untuk minta pertolongan Allah.
Percayalah, kalau kita bantu orang lain, Allah akan bantu kita. Allah juga akan menggerakkan hati seseorang untuk bantu kita.
-----
SOALAN & JAWAPAN (DARI INSTAGRAM DAN LAIN-LAIN)
01. APA MOTIVASI UNTUK TURUN BERTUGAS?
Sejujurnya kerana tanggungjawab kolektif (kita jaga kita) dan kerja kemanusiaan. Selagi kita boleh membantu, kita bantulah dalam apa cara sekalipun. Saya tak ada banyak duit maka saya bantulah dari segi kudrat yang ada.
Perenggan ke-3 lirik lagu Bulan Sabit Merah Malaysia:
02. ADA KENA KECAM, MARAH-MARAH KE?
Ada. Ni memang kena kuat mental dan fizikal la. Manusia ni macam-macam ragam. Ada yang boleh bertolak ansur. Ada yang pentingkan diri sendiri. Ada yang sombong, bongkak dan suka perlekehkan kerja orang lain. Ramai juga yang suka buat kerja Tuhan, hukum orang sana sini. Setiap orang ujiannya berbeza.
Ada juga yang rare breed. Kita buat la apa pun, pasti dia takkan berpuas hati. Kena caci kena marah lagi ada la. Memanjang asyik nak complaint. Pendek kata, jenis yang tak reti bersyukur.
Bila kita kata selimut tak cukup (pada ketika itu), dikatanya kita ni pilih kasih, zalim dan sebagainya. Masalahnya kalau bendanya ada 600 je, macam mana kita nak bagi kepada 1725 mangsa yang lain? Kita dahulukan orang tua, warga emas, ibu mengandung, OKU dan yang sakit.
Bila kita kata nak buat swab test, dikatanya macam-macam. "Berapa kali nak buat ni?", "Memang wajib ke buat?", "Eh penat la buat swab test ni". Kita pun cuba la cakap elok-elok. Mana yang okay tu okay la. Dapat yang tak okay tu, mulalah meradang sana-sini.
Jenis-jenis yang suka potong queue pun boleh tahan juga. Potong queue waktu health screening. Potong queue waktu ambil makanan dan barang bantuan. Memang ramai la pandang slack. Kita memang tegur. Bila kita tegur, kita pula kena marah. Macam mana tu? Aigoo...
Belum cerita mangsa yang pukul rata semua petugas kat situ. Bagi golongan rare breed ni, NGO kesihatan dengan KKM tu sama. So memang kena bantai la kaw-kaw kat situ.
Sebagai contoh, "korang semua ni tak cekap, lembab, tak reti buat kerja. Bantuan pun lambat, lembab". Wow, menyirap woo dengar ayat-ayat macam ni. Kita sebagai petugas memang tahan je. Dalam hati memang dah membara sangat dah.
Kita ni sukarelawan je. Datang pakai duit sendiri, untuk bantu mangsa banjir. Apa yang kita dapat? Tohmahan, kecaman, makian. Sebab tu la kena kuat fizikal dan mental.
Sabar itu sebahagian daripada iman. Sabar...
03. BSMM ADA BAGI ELAUN KE?
Tak ada. Sejujurnya memang masing-masing datang dengan prinsip dan mindset bahawa tiada elaun akan diberikan.
Makanan disediakan. Tempat tidur apa semua, tidur macam kat pusat bencana la. Tidur kat bangku je.
04. TAK PENAT KE BERTUGAS? DAH LA KENA ULANG-ALIK JAUH. TAK ADA ELAUN PULA TU.
Siang kerja hakiki, malam buat kerja sukarela. Tipulah kalau tak penat. Mata pun kuyu. Muka pun sugul. Badan pun tak selesa.
Masing-masing datang dari jauh. Masing-masing juga kerja keesokan harinya. Kami datang kerana kerja kemanusiaan. Tiada sebarang elaun dan bayaran. Mangsa banjir memerlukan segala sokongan yang ada. Sokongan dari segi makanan, kesihatan, pakaian, fizikal, mental dan sebagainya. Mereka semua baru lepas melalui fasa getir iaitu rumah tenggelam, rumah hanyut, rumah rosak teruk, kerugian besar puluhan ratusan ribu dan sebagainya. Emosi terganggu. Resah, gelisah, tertekan dan sebagainya. Jika kita di tempat mereka pun, pasti kita akan lalui situasi sama.
Apakah motivasi kami? Semuanya demi rakyat dan ibu pertiwi. Kami seronok apabila usaha kami sedikit sebanyak dapat melegakan hati atau memudahkan urusan mangsa banjir.
05. BAGAIMANA CARA PENGURUSAN, SOP COVID WAKTU BANJIR?
Sejujurnya payah nak uruskan dalam keadaan bencana pada awalnya namun dari hari ke hari keadaan semakin baik.
Kita pasang tape polis kuning hitam untuk kawal SOP macam-macam perkara. Sebagai contoh, queue untuk ambil makanan dan ambil barang logistik.
Kita juga set up health screening base dekat kantin dengan membuat penjarakan, SOP yang sepatutnya.
Bila khemah NADMA dah sampai pada 21 Disember 2021, senang untuk kita uruskan penjarakan. Tak ada la tidur bertempiaran atau berselerak.
Selain itu, bila ada kes positif, kita akan buat swab test kepada mangsa banjir. Kita akan panggil satu wakil ahli keluarga dahulu untuk check. Jika negatif, maka selebihnya tak perlu buat test. Jika positif, maka satu family kena buat test.
Kita juga jalankan test dekat high risk patient dan mangsa banjir yang menunjukkan sign and symptoms.
Oh ya, dalam PPS tetap kena pakai face mask.
06. APA KEKANGAN YANG DIHADAPI UNTUK TURUN BERTUGAS?
Kekangan paling besar ialah duit. Kalau dah ulang-alik Semenyih - Shah Alam, kita pun boleh pokai. Sungguhpun begitu, percayalah Allah akan bantu. Perkara ni saya juga ada cerita di bahagian atas, "TUHAN AKAN TOLONG HAMBANYA".
Muka penat baru nak checkout habis syif |
-----
PENUTUP
Sekian sahaja perkongsian saya sepanjang menjadi sukarelawan banjir di PPS. Mohon maaf atas salah silap. Banyak lagi pengalaman yang ada. Mohon maaf sekiranya terkasar bahasa. Semoga ada nilai dan pengajaran di sebalik perkongsian ini. InsyaAllah.
Semoga dipermudahkan semua urusan mangsa banjir. Semoga Allah kurniakan rezeki berlipat ganda kepada mangsa banjir, petugas-petugas, sukarelawan dan orang ramai yang terlibat dalam segala urusan operasi, bantuan bencana banjir. Amin YRA.
Semoga Allah kurniakan rezeki berlipat ganda kepada sidang pembaca sekalian juga. Amin YRA.
Liputan New Straits Time (NST) PPS SKAM 3
2 women use contacts to organise flood relief efforts
By Farah Solhi - January 9, 2022 @ 9:30am#DaruratBanjir #VAD44 #BSMMDP