Aku Ni Hidup Pun Tak Berguna. Baik Mati Je!







AKU NI HIDUP PUN TAK BERGUNA. BAIK MATI JE!

Pernah dengar ayat macam ni? Atau pernah dengar ayat-ayat di bawah?

• “Kalau boleh, aku nak je tidur tapi tak nak bangun-bangun dah”
• “Aku ni hidup pun menyusahkan orang. Macam biawak hidup”
• “Aku hidup ke, mati ke, sama je. Orang bukan kisah pun”
• “Alaa.. Hidup korang / keluarga aku lagi senang kalau aku dah tak ada”
• “Aku fed up betul la dengan hidup ni”
• “Aku dah bosan dengan hidup ni”

Ni antara contoh-contoh ayat yang menunjukkan seseorang ini ada niat atau tanda awal untuk menamatkan riwayat hidupnya sekiranya tidak ditangani dengan cara yang betul. Ayat di atas adalah isyarat atau semboyan untuk memohon bantuan. Ayat-ayat di atas tidak wajar dianggap sebagai suatu gurauan.

Ada macam-macam faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu terlintas untuk berbuat demikian. Antaranya ialah:

• Kesedihan melampau
• Krisis kehidupan

Sekiranya tanda-tanda ini muncul, kita sebagai seorang manusia perlu bijak menangani situasi. Perkara yang perlu dielakkan sama sekali ialah perbuatan mengecam, banding-membanding, menghukum, menghina dan memarahi mereka. Jangan kita pergi serang mereka dan berkata, “bunuh diri ni haram”, “kau ni tak takut neraka ke?”, “jangan jadi bodoh la”, "lembik la ko ni!", "ala.. baru uji sikit dah down. Ko tengok Si Fulan tu, okay je dia. Mengada la ko ni", dan lain-lain.

Percaya la bahawa orang-orang yang ada rasa nak bunuh diri ni, mereka bukannya buat keputusan dalam masa yang singkat. Mereka buat keputusan dalam jangka masa yang lama. Mereka juga tahu bunuh diri itu haram dan sebagainya. Mereka tahu.

Lazimnya, orang yang ada rasa nak bunuh diri ni, bukannya sebab mereka nak bunuh diri. Ianya sebab mereka dah tak tahan dengan keperitan yang dialaminya pada saat itu. Bunuh diri dapat menamatkan keperitan yang dilalui.

Sebab itulah penting kepada semua orang untuk memberi sokongan psikososial, sokongan moral dan kesihatan mental kepada mereka yang memerlukan.

Apa yang boleh dibuat jika dah ada tanda-tanda awal?

Sekurang-kurangnya, hulurkan telinga anda, biarkan mereka bercerita kepada anda mengenai keperitan yang dialami. Jangan cepat sangat judge orang. Kita patut cuba memahami situasi mereka, berada dalam kasut mereka. Cuba wujudkan rasa empati. Jangan sesekali hentam mereka dan jangan cepat sangat nak bagi cadangan untuk atasi masalah. Biarkan mereka bercerita.

Lagi satu, jika mereka ada kes yang anda rasa lebih kurang macam kes anda, anda jangan la pula pergi cerita kes anda dekat mereka. Jangan samakan kes anda dan mereka. Kita nak dengar cerita mereka, bukan cerita kita.

Konsepnya mudah. Kalau orang tu tengah ada mood nak bercerita, biarkan. Kalau kita tiba-tiba potong cerita dia dan kita bagi cadangan dan sebagainya, kita sebenarnya dah ganggu flow penceritaan seseorang itu. Nanti orang tu pun akan hilang mood untuk bercerita.

Sekiranya seseorang itu sudah menyatakan hasrat untuk membunuh diri, ini antara perkara yang kita boleh buat:

• Jangan tinggalkan individu tersebut berseorangan. Dapatkan bantuan daripada rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain
• Jauhkan sebarang senjata atau alat tajam daripada individu tersebut. Jika individu tersebut memegang senjata atau alat tajam, pujuk individu tersebut untuk serahkan alatan pada anda. Asingkan jauh-jauh
• Tenangkan individu tersebut. Beri sokongan moral
• Hubungi ambulans atau bawa terus ke unit kecemasan

Semua ilmu ini kami juga pelajari dalam Latihan Ilmu Pertolongan Cemas Psikologikal (PFA).

Nak mudah, ada dua jenis kategori niat nak bunuh diri iaitu passive suicide dan active suicide.

Bagi mengenal pasti perkara ini, Suicide Risk Assessment perlu dilakukan. Framework yang kita gunakan ialah SAD PERSONS.

Sekiranya anda sedang tertekan, burnout, rasa overwhelming, rasa putus asa, rasa lonely, rasa teramat sedih, rasa nak tamatkan hidup dan sebagainya, anda boleh sahaja call pasukan Mental Health & Psychosocial Support (MHPSS) BSMM. Kami sedia membantu. Kami sedia menjadi telinga anda. Kami sedia menjadi kawan anda.

Hotline kami beroperasi seperti berikut:

Isnin-Sabtu
BSMM Kebangsaan: 9.00 pagi - 6.00 petang
BSMM Sabah: 8.00 pagi -5.00 petang

Nombor telefon ada tertera di poster.

Sekali lagi, kepada semua orang yang membaca, bila orang nak bunuh diri, jangan terus hentam. Sebaliknya, fahami individu tersebut kenapa terlintasnya perkara tersebut.

Episod yang mereka lalui, belum tentu anda survive jika anda lalui.

Jangan perkecilkan orang lain, sebab bola itu bulat. Ada masa kita di atas ada masa kita di bawah. Bayangkan kalau anda dalam keadaan sangat tertekan, lepas tu ada orang kata, “ko ni lembik, lemah, menyusahkan orang lain je!”, agak-agak apa perasaan kita?

Ingat, kata-kata lebih tajam dari mata pedang. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.





Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript