Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua.
Entri ini sesuai untuk:
- Pelajar lepasan SPM yang masih samar-samar dengan hala tuju selepas sekolah, dan:
- Sesiapa sahaja yang ingin tahu perbezaan antara diploma, pra-diploma, sijil, asasi, matrikulasi & STPM
Pertama sekali, tahniah sekiranya anda mendapat tawaran untuk sambung belajar di peringkat pengajian tinggi. Sekiranya anda tak berjaya, tak apa. Cuba lagi. Peluang sentiasa ada. Jangan berputus asa. Boleh baca juga sharing saya di SINI mengenai UPU yang saya tulis pada tahun 2015. Mungkin boleh naikkan semangat? InsyaAllah..
Okay sekarang ni, adakah anda dapat tawaran lebih dari satu? Adakah anda dapat tawaran untuk sambung diploma dan pada masa yang sama, anda dapat tawaran ke matrikulasi / asasi / STPM? Jika ya, anda berada di blog yang tepat.
Jika anda masih samar-samar dengan diploma, pra-diploma, sijil, asasi, matrikulasi dan STPM, tak apa. Saya akan terangkan secara ringkas dan padat, satu per satu.
Saya pun pernah berada dalam situasi yang sama suatu ketika dahulu. Hihihi.
Perhatian: Setiap info yang saya kongsikan mungkin ada yang outdated. Mohon maaf jika ada. Apapun, maklumat-maklumat ini juga cukup untuk anda sekiranya nak dapatkan gambaran bagi setiap program.
----------
Tingkatan 6 (STPM)
- Dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), sebuah badan berkanun yang beroperasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
- Tiada elaun khas untuk pelajar STPM.
- Pakai baju sekolah ke? Haish, tu kisah lama. Sekarang dah pakai baju smart casual, formal macam universiti.
- Ada yuran. Bayar yuran sekolah sahaja seingat saya. Yuran sekolah tak mahal pun.
- Kebiasaannya ditawarkan secara automatik kepada pelajar lepasan SPM.
- Ditawarkan kepada pelajar sekiranya lulus SPM, kredit Bahasa Melayu dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MPM / KPM.
- Sekiranya tak dapat tawaran dan ingin masuk STPM, anda boleh buat rayuan kepada MPM / KPM.
- Tempoh pembelajaran adalah selama 1 tahun setengah bersamaan 3 semester.
- Memandangkan jangka masanya ialah 3 semester, maka proses pengajaran & pembelajaran (P&P) juga agak laju.
- Terdapat dua aliran iaitu aliran sains dan aliran kemanusiaan / seni / sastera.
- Tingkatan 6 juga dikenali sebagai Pra-Universiti. Sebab itulah ramai orang kata, "Kalau masuk STPM maksudnya sebelah kaki dah masuk Universiti. Sebelah lagi belum". Sekarang juga dikenali sebagai Kolej Tingkatan Enam.
- STPM menggunakan kaedah CGPA, sama seperti universiti.
- Pointer yang dikira memuaskan untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda ialah 3.00 dan ke atas.
- Dalam silibus STPM, anda juga akan belajar MUET sebagai syarat untuk memasuki ijazah sarjana muda.
- Sijil STPM juga diiktiraf oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebagai salah satu sijil yang boleh digunakan untuk memohon pekerjaan. Anda boleh memohon jawatan gred 29 iaitu setaraf dengan sijil diploma.
- Anda kena mohon UPU kalau nak sambung peringkat ijazah sarjana muda.
- Jika anda mohon UPU, bermaksud anda juga kena bersaing dengan pelajar lepasan matriks, diploma, asasi dll. Sebab tu pentingnya keputusan yang baik.
- Jika keputusan anda memang betul-betul cemerlang dan power, anda boleh lanjutkan pengajian di luar negara. Sebab apa? Sebab STPM dapat pengiktirafan di luar negara juga. Yang saya tahu, STPM diiktiraf di Cambridge Assessment, England. Basically, STPM ni setaraf Cambridge A-Level.
Gambar semasa menjadi pelajar pra-universiti SMK Seksyen 16 Shah Alam, STPM. Sebulan di sekolah ini. Tahun 2013. Saya antara batch-batch terakhir yang sempat merasa baju sekolah sebelum pemakaian diubah. Kemudian saya masuk politeknik.
Matrikulasi
- Matrikulasi ini di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
- Elaun diberikan setiap semester. Elaun diberikan setiap bulan yer, bukan segedebuk. Hahahah.
- Asrama juga diberikan.
- Kos penginapan & pengajian ditanggung kerajaan. Perlu bayar yuran pendaftaran sahaja. Info yuran di SINI.
- Pembelajaran dilakukan di pusat - pusat matrikulasi yang terpilih. Serata Malaysia ada.
- Proses P&P yang agak laju dan subjek - subjek yang diperkenalkan mengikut modul adalah mencabar. TAPI, perkara ni bergantung pada individu juga. Kalau boleh cope, anda tak ada la rasa susah sangat.
- Tips daripada kawan yang pernah masuk matrikulasi: focus dalam kelas, rajin buat latihan, buat study group. Dengan rezeki Tuhan, anda boleh skor markah bagus.
- Terdapat empat jenis jurusan iaitu sains, perakaunan, kejuruteraan dan perakaunan profesional.
- Anda kena secure pointer sekurang-kurangnya 3.00 dan ke atas untuk melayakkan diri bagi merebut tempat di universiti untuk peringkat ijazah sarjana muda. Nak lebih selamat, cuba secure CGPA 3.50 dan ke atas.
- Tempoh pembelajaran terbahagi kepada 2 jenis iaitu Program Satu Tahun (PST) dan Program Dua Tahun (PDT).
- Perbezaannya ialah, PST ditawarkan kepada pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang sewaktu SPM. PDT ditawarkan kepada pelajar yang memperolehi keputusan SPM yang baik dan memuaskan.
- Pada tahun 2017, KPM telah mengiktiraf sijil matrikulasi sebagai salah satu sijil yang boleh digunakan untuk memohon pekerjaan. Jika anda nak mohon kerja di sektor kerajaan, anda boleh mohon kerjaya untuk gred 29. Gred 29 adalah jawatan penolong pegawai. Gred 29 juga setaraf dengan sijil diploma. Makna kata, sijil matrikulasi setaraf dengan sijil diploma.
- Sekiranya anda dah habis matrikulasi, anda boleh mohon UPU untuk mengikuti program ijazah.
- Jika anda mohon UPU, bermaksud anda juga kena bersaing dengan pelajar lepasan asasi, diploma, STPM dll. Sebab tu pentingnya keputusan yang baik.
- Sekiranya result anda bagus, anda ada peluang untuk dapat jurusan atau program yang anda inginkan.
- Sekiranya result anda memang betul2 power, anda boleh sambung belajar di luar negara. Matrikulasi memang diiktiraf oleh negara-negara luar seperti Australia, United Kingdom, Korea Selatan, New Zealand, Kanada, Amerika dll.
- Sekiranya result anda suam-suam kuku sahaja, ada kemungkinan anda akan dapat program yang anda tidak minat. Sbb yelaaaa.. Sebagai contoh, anda nak sambung ijazah sarjana muda perakaunan, tapi kalau dapat pointer CGPA 2.50, macam mana nak layak? Betul tak? Takut nanti kecundang tengah jalan je.
- So, moral of the story, pastikan pointer tinggi, barulah anda boleh dapat apa yang anda inginkan.
- Oh ya, berdasarkan kawan saya yang belajar di matrikulasi: kehidupan di matrikulasi ni, dia macam ala-ala asrama sekolah. Boleh balik 2 minggu sekali.
- Setahu saya, zaman matrikulasi takde konvokesyen ya. Kalau nak merasa berkonvo, ambil ijazah. Habis ijazah, bolehlah konvo. Yahooo!
Asasi
- Dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
- Elaun diberikan kepada pelajar.
- Terbahagi kepada beberapa jurusan yang khusus seperti undang-undang, TESL dan kejuruteraan.
- Tempoh masa kebiasaannya antara 1 ke 2 tahun.
- Sukatan pelajaran program asasi lebih bersifat khusus kepada program pengajian peringkat ijazah yang dikhususkan untuk program asasi tersebut.
- Sebagai contoh, sekiranya anda mengambil Asasi Undang-Undang, maka ini adalah persediaan untuk anda mengambil Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang nanti.
- Program asasi ditawarkan oleh universiti tertentu. Sebagai contoh, UiTM, UIA dan UM.
- Ada dua jenis asasi yang saya tahu (sekurang-kurangnya di peringkat UiTM), iaitu program asasi universiti (contoh: UiTM) dan program asasi KPTM.
- Apa bezanya? Program asasi universiti ni, anda hanya boleh sambung ijazah dalam universiti yang sama. Untuk program asasi KPTM pula, anda boleh sambung ijazah di universiti yang sama dan universiti lain.
- Sekiranya anda lulus program asasi KPTM, anda boleh memohon UPU untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah, ataupun mohon asasi penerapan universiti tersebut.
- Sukacita diingatkan jika anda mohon UPU, bermaksud anda juga kena bersaing dengan pelajar lepasan matriks, diploma, STPM dll. Sebab tu pentingnya keputusan yang baik.
- TAPI, sekiranya anda mengambil program asasi khas untuk universiti tertentu, maka anda boleh sambung dalam universiti yang sama sahaja. Anda kena mohon asasi penerapan.
- Sekiranya anda memohon jurusan ijazah yang selari dengan program asasi (sebagai contoh, Asasi Undang-Undang UiTM memohon Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang UiTM), kebiasaannya anda akan diberi keutamaan untuk menyambung dalam universiti yang sama.
- Sekiranya anda nak mohon jurusan ijazah selain daripada apa yang anda belajar waktu asasi, boleh je. Mohon jurusan yang masih dalam bidang disiplin yang sama la. Sebagai contoh, Asasi Undang-Undang UiTM masuk Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran UiTM. Kenapa boleh? Sebab dua-dua dalam disiplin yang sama, bidang sains sosial.
- Ada konvokesyen ke asasi ni? Jawapannya, tak ada. Nak konvo? Ambil dan habiskan ijazah, barulah anda dapat berkonvo. Yeahh!
Diploma
- Dikendalikan sendiri oleh pihak universiti, kolej, politeknik, kolej komuniti dll.
- Program peringkat diploma ini biasanya akan mengambil masa selama 2 tahun setengah (2.5) atau 3 tahun.
- Kursus di peringkat diploma ini memang telah dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu sejak dari awal lagi. Tengok nama program pun anda dah tahu. Sebagai contoh, Diploma Pengurusan Sumber Manusia (HR). Daripada tajuk program tu sendiri anda dah tahu bahawa diploma ni pasal HR. Hala tujunya ialah HR.
- Dengan program diploma yang dah khusus ni, maka anda bolehlah merancang masa depan kerjaya dengan lebih tepat. Misalnya, nak jadi Pegawai HR? Maka ambillah Diploma HR dan Ijazah HR, haa gitu.
- Hampir semua IPTA ada menawarkan program pengajian peringkat diploma dan seterusnya program peringkat ijazah yang berkaitan.
- Bab berkaitan yuran bergantung pada universiti, kolej, politeknik yang anda mohon. Anda kena check dengan IPT tersebut.
- Anda boleh memohon biasiswa atau membuat pinjaman PTPTN untuk menanggung kos yuran, pembelajaran dan kehidupan.
- Anda boleh menggunakan sijil diploma untuk memohon kerja. Kebiasaannya, jawatan tertinggi untuk diploma ialah seorang penolong pegawai. Dalam sektor kerajaan, anda boleh mohon jawatan gred 29.
- Sekiranya anda nak sambung ijazah sarjana muda, anda kena mohon UPU untuk sambung.
- Jika anda mohon UPU, bermaksud anda juga kena bersaing dengan pelajar lepasan matriks, asasi, STPM dll. Sebab tu pentingnya keputusan yang baik.
- Sungguhpun begitu, ada juga universiti yang menawarkan program penerapan, di mana anda boleh mohon secara terus tanpa melalui UPU.
- Sebagai contoh, UiTM menawarkan program penerapan ijazah sarjana muda. Anda boleh mohon ijazah sarjana muda pada semester akhir diploma. Sekiranya layak dan result okay, maka anda dapatlah sambung ijazah sarjana muda di UiTM.
- Asrama diberikan sekiranya ada kekosongan (jika ada kekosongan, nanti waktu bayar yuran, anda akan bayar yuran kolej sekali). Jika tiada kekosongan maka anda kenalah cari rumah atau bilik sewa.
- Tips untuk dapat kolej: Jadi pelajar yang aktif semasa di universiti. Aktif bermaksud, selalu join program universiti, fakulti, kolej. Selain itu, anda boleh dapat kolej jika memegang jawatan dalam persatuan / organisasi khususnya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK). Anda juga boleh dapat kolej sekiranya anda seorang atlet universiti.
- Diploma ni ada konvokesyen ke? Sememangnya ada. Nanti boleh la ambil scroll, pakai jubah konvo apa semua. Hihihi.
Satu semester sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), sebelum memasuki UiTM. Tahun 2013. Dari kiri: Azeem, Aimi & Nan. |
Pra-Diploma
- Program pra-diploma ditawarkan kepada pelajar yang mendapat keputusan kurang daripada 5 kepujian yang menyebabkan pelajar tersebut tidak layak untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma.
- Pra-diploma diperkenalkan sebagai salah satu medium untuk ketengahkan para pelajar yang kurang berjaya, agar mereka juga berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi.
- Tempoh pengajian bagi program pra-diploma ialah antara 6 bulan ke 12 bulan.
- Calon yang berjaya atau lulus dalam program pra-diploma boleh meneruskan perjuangan pembelajaran ke peringkat diploma.
- Pra-diploma memang tak ada konvokesyen sebab program ni adalah persediaan untuk masuk diploma dalam universiti yang sama.
- Salah satu universiti yang ada program pra-diploma ialah UiTM. Lebih dikenali sebagai Program Pra Pendidikan Tinggi PPT (terdahulu dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB)).
- Di UiTM, ada dua jurusan iaitu pra-diploma perdagangan & pra-diploma sains.
- Dua2 jurusan ni ada kelayakan tersendiri yang perlu diambil kira. Boleh refer poster di bawah:
Sijil Kolej Komuniti (KK)
- Kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
- Sijil ni program pendek berbanding diploma.
- Sijil juga dikenali sebagai kursus pendek.
- Elaun disediakan.
- Yuran murah-murah sahaja. Serendah RM200 per semester pun boleh dapat.
- Biasanya sijil ni tempoh masanya 1 tahun - 2 tahun (2 - 4 semester).
- Laku ke sijil ni? Laku ler... Ada akreditasi MQA kot! Jangan pandang sebelah mata~
- Pengambilan sijil ini adalah untuk mendalami ilmu pengetahuan secara spesifik mengenai subjek tertentu.
- Sebagai contoh: Sijil Animasi 2D/3D, Perkhidmatan Logistik, Pastri, Kulinari, Teknologi Maklumat, Teknologi Senibina dll
- Lepas anda complete sijil, anda boleh sambung diploma dekat KK juga. Tapi anda ada kelebihan sikit la sebab dah ada sijil. Knowledge dah ada. Exposure dah ada.
- Peluang kerja? Semestinya ada! Boleh baca di SINI.
- Ada konvo untuk diploma KK. Untuk sijil saya kurang pasti.
- Ni contoh poster KK beserta maklumat:
Poster Tawaran Sijil Kolej Komuniti |
Tanggapan Yang Perlu Diperbetulkan Oleh Semua Orang
- STPM bukanlah untuk pelajar kurang cemerlang dalam SPM. Malahan, STPM diiktiraf oleh negara luar. Setaraf dengan A-Level.
- Diploma di universiti vs diploma di politeknik? Sama sahaja. Jangan dibanding-bandingkan. Dua-dua ada mutunya yang tersendiri.
- Sijil Kolej Komuniti laku ke tak? Jawapannya, laku. Sijil KK ada akreditasi MQA. Jangan pandang rendah dekat pelajar kolej komuniti kerana mereka ada skills yang mungkin anda pun tak pernah ada.
Sekilas Pandang
Berikut saya telah membuat ringkasan mengenai perbezaan antara program:
Perbezaan ringkas antara tingkatan 6, matrikulasi, asasi, sijil, pra-diploma dan diploma |
Pilihan Terletak Di Tangan Anda
- Semua program ini ada pros & cons dia.
- Jika anda nak pilih, pilih betul-betul.
- Ukur baju di badan sendiri. Lihat kemampuan diri juga. Jangan lihat pada tempoh masa yang singkat sahaja.
- Kalau ikut, semua orang nak habis cepat. Tapi, mampukah anda untuk hadapi struggle tersebut?
Asasi dan matrikulasi adalah jalan terpantas untuk menyambung ijazah sarjana muda. Begitu juga dengan STPM. Ini adalah kelebihan buat pelajar program ini. Kelebihan terbesar ialah dari segi masa.
Sungguhpun begitu, bila tempoh masanya pendek, maka P&P-nya padat dan laju. So, anda kena struggle lebih daripada orang lain untuk memastikan anda dapat cope dengan sorroundings dan budaya belajar yang intense di peringkat asasi, matrikulasi atau STPM. Pendek kata, anda tak ada life sangat la. Tak boleh nak relax-relax sangat.
Namun sekiranya anda berjaya, anda dapat la sambung ijazah awal. Haa gitu.
Program asasi pula sesuai untuk mereka yang sudah kenal pasti apakah kursus yang ingin diikuti di peringkat ijazah dan universiti yang ingin dipilih kerana sukatan pelajaran asasi telah disusun mengikut garis panduan kursus yang tertentu.
Macam mana dengan diploma pula?
Diploma memang panjang sikit masanya. 2.5 tahun ke 3 tahun. Tapi, kelebihan diploma ialah, anda tak rushing. Subjek-subjek memang dah susun untuk 2.5 tahun / 3 tahun. Diploma ada 5 ke 6 semester manakala matrikulasi pula ialah 2 ke 4 semester. Kan beza tu.
Tapi kelebihan terbesar diploma (pada pandangan saya) ialah apabila nak masuk ijazah dalam fakulti yang sama, anda boleh mohon pengecualian kredit. Pengecualian kredit ini ada di UiTM. Di universiti lain, setahu saya ada. Untuk kepastian, anda kena check dekat website, tanya senior-senior ataupun baca blog orang lain. Mesti ada punya info. Google jer.
Sebagai contoh, anda adalah pelajar Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM dan anda mengambil Diploma Pentadbiran Awam (DPA). Untuk ijazah, anda boleh mohon Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (BAS). Once anda mohon dan anda dapat program ni, anda boleh mohon pengecualian kredit sebab anda dah belajar banyak benda yang sama di peringkat diploma.
Saya adalah bekas pelajar DPA dan BAS. Waktu saya dapat BAS dulu, saya boleh mohon pengecualian kredit selama 2 semester (bersamaan 1 tahun) sebab saya dah belajar subjek yang sama di DPA. Maksudnya saya dapat fast track setahun. Program BAS asalnya 3 tahun. Bila dah potong 1 tahun, maka tinggal 2 tahun je untuk saya habiskan ijazah. Saya terus mula dengan semester 3. Pelajar matrikulasi, asasi, STPM akan mula dari semester 1 sebab mereka tak boleh mohon pengecualian kredit. DPA mengambil masa 2.5 tahun. BAS mengambil masa 2 tahun. So saya complete diploma dan ijazah dalam masa 4.5 tahun sahaja.
Jika anda nak masuk pra-diploma pun boleh. Boleh tengok kelayakan yang ada di bahagian pra-diploma. Jangan rasa down bila masuk pra-diploma. Mungkin perjalanannya panjang sedikit, tapi jalan cerita orang lain-lain. Ada kawan rapat saya yang mula perjalanannya dengan pra-diploma, hari ini dia sedang sambung PhD. Sedang buat research. InsyaAllah beberapa tahun lagi, dapat la title Dr. tu.
Bagaimana pula dengan sijil? Sijil pun okay dan ada masa depan. Lepas habis sijil, boleh sambung diploma juga dekat KK untuk program yang sama. Jangan malu kalau sambung sijil. Ilmu tu sangat mahal. Jangan pandang rendah dekat pelajar yang ambil sijil kolej komuniti ya. Boleh jadi mereka lebih berjaya daripada anda, sebab mereka diajar lebih ke arah industri.
Jalan cerita setiap orang berbeza-beza. Ingat tu.
Sebab tu setiap program, ada pros and cons dia. Ada kelebihan dan kekurangan.
----------
Semoga maklumat ini sedikit sebanyak membantu anda untuk membuat keputusan. Semoga bermanfaat. Apapun pilihan anda, belajar bersungguh-sungguh sebab usaha tangga kejayaan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Man jada wajada. Siapa berusaha, dia akan berjaya.
Berikut adalah sedikit pesanan buat mahasiswa atau bakal mahasiswa. Boleh tekan di SINI.
Boleh share dekat kawan-kawan, kenalan atau keluarga ya.
Sekali lagi, selamat maju jaya! Terima kasih semua.
#SPM #Diploma #Asasi #Matrikulasi #STPM #DilemaSPM
Rujukan:
Siapa Kata Sambung STPM Hanya Untuk Kurang Cemerlang SPM?
https://iluminasi.com/bm/siapa-kata-sambung-stpm-hanya-untuk-kurag-cemerlang-spm.html
https://www.studymalaysia.com/education/top-stories/memilih-program-pra-universiti-yang-tepat-untuk-anda-stpm
Senarai Keseluruhan Universiti Luar Negara (Oversea) yang Menerima Lepasan Matrikulasi!
https://afterschool.my/bm/berita/senarai-keseluruhan-universiti-luar-negara-oversea-yang-menerima-lepasan-matrikulasi-
https://www.moe.gov.my/muat-turun/lain-lain/matrikulasi-2/4389-16062021-soalan-lazim-sesi-2021-2022/file
https://madeinuitm.com/perbezaan-antara-tingkatan-6-asasi-diploma-dan-matrikulasi-penjelasan/
http://ezadizzuddin.blogspot.com/2020/06/perbezaan-matrikulasi-asasi-tingkatan-6.html
https://madeinuitm.com/apakah-perbezaan-di-antara-pra-diploma-dan-diploma/
http://www.mypolycc.edu.my/index.php/program/sepenuh-masa/sijil
https://www.xpresi.org/apa-itu-kolej-komuniti-2021/
https://www.upuonline.com/beza-tingkatan-6-asasi-diploma.jsp