Assalammualaikum wbt, salam sejahtera sidang pembaca sekalian. Semoga semua sihat sejahtera, bahagia, aman sentosa. Semoga sidang pembaca sekalian sentiasa dirahmati Tuhan insya-Allah. Pada kali ini, penulis membawakan kepada anda semua entri yang bertajuk 'Sahabat Katalis Kehidupan : Ke Arah Realiti & Kematangan'.
Sahabat merupakan katalis kehidupan yang membawa kita ke arah realiti dan kematangan. Kenapa? Dengan adanya sahabat, pelbagai ragam, budaya kita boleh lihat, pelbagai masalah yang kita boleh cuba tolong dan selesaikan dan seumpamanya.
Sahabat adalah insan yang selalu disamping kita selepas keluarga, jiran dan masyarakat. Semua orang pasti mempunyai rakan. Paling kurang pun seorang rakan.
Dalam hidup ini, kita tidak akan boleh hidup berseorangan. Hidup tanpa kawan? Mustahil pada era ini. Dengan ledakan globalisasinya, dengan muatan reformasinya, dengan kegawatan ekonominya, ianya amatlah payah. Orang yang hebat semuanya pasti ada manusia di belakangnya. Pasti akan ada keluarga, kawan disampingnya, yang sentiasa memberi nasihat, memberi khidmat.
Kawan yang baik akan sentiasa berada disamping kita tika susah mahupun senang. Namun, itulah mutiara yang payah untuk ditemui pada zaman ini.
Kawan yang suka berfoya-foya dan sering mengajak kita ke arah kemaksiatan? Kawan yang meninggalkan kita tika kita susah? Kawan ibarat parasit? Tikam belakang? Kawan yang asyik duk caci maki hentam sana sini itu ini begitu begini dengan sambalewa sambarono sesuka hati? Hmm... Lambakan. Mana-mana tempat semuanya ada.
Itulah yang mematangkan kita, dan membawa kita untuk lebih mengenali dunia realiti, bahawa tidak semua kawan itu baik, tidak semua kawan itu jahat. Tidak semua kawan itu boleh dipercayai. Tidak semua kawan itu alpa. Mungkin ada yang separa sedar, mungkin ada yang celik. Celik hati, celik minda. Mungkin ada yang berpemikiran jumud dan sebagainya.
Perkara inilah yang menguji kita. Allah menguji kita dari pelbagai aspek. Dan Allah uji ketahanan iman dan kesabaran kita. Boleh tak kita melepasi ujian ini? Boleh ke tidak kita menolong kawan-kawan yang memerlukan bantuan? Boleh ke tidak kita memasuki budaya mereka? Boleh ke tidak kita mencegah kemungkaran yang mereka lakukan dan mengajak mereka ke arah kebaikan?
Ini semua kehidupan. Inilah yang mematangkan kita. Inilah yang membuatkan kita berfikir, berhati-hati sentiasa. Kita tidak boleh terus menerus hidup dalam dunia kita sahaja. Kita tidak boleh terus menerus berada dalam zon selesa dan selamat sahaja. Kadang-kadang kita perlu keluar dari zon tersebut demi menyahut seruan Ilahi, seruan dakwah, dan seruan kehidupan demi masa depan yang lebih baik.
Sebagai contoh, kita main bolasepak. Tapi kita main bolasepak dekat sebelah pihak kita ja... Kita tak cuba pun untuk melepasi benteng perlawanan, apatah lagi menjaringkan gol... Majukah kita? Rasanya tenggelam lagi ada la.
Namun apapun yang terjadi, ingatlah sidang pembaca semua. Husnuzon. Bersangka baiklah kita kepada semua kawan-kawan kita, termasuklah seteru kita sendiri. Walaupun mungkin kawan-kawan kita tu perangai macam hantu, macam abu jahal, tak semestinya mereka tidak boleh berubah. Mungkin mereka ada masalah. Mungkin mereka perlukan perhatian. Mungkin mereka perlukan bimbingan daripada kita yang nampak kesilapan mereka.
Paling penting, setiap kawan-kawan kita, pasti pernah membuat kebaikan kepada kita, walau sebesar zarah sekalipun. Tak semestinya kawan yang perangai teruk tu, tak pernah tolong kita. Tak semestinya kawan kita yang baik tu... Tak pernah tinggalkan kita.
KITA PUN TAKKAN TAHU SIAPA YANG AKAN TOLONG KITA BILA KITA SUSAH NANTI KAN?
Oleh sebab itu, berbaiklah dengan semua orang. Bergaullah dengan semua golongan. Tidak kiralah dia mat rempit ke, kaki lepak ke, orang surau ke... berkawanlah dengan semua lapisan. Jangan pilih kawan, jangan pilih bulu. Elakkan diskrimasi, amalkan sikap rendah diri. Jangan jadi kacang lupakan kulit. Dah ada di atas, jangan lupa di bawah. Rasulullah SAW pemimpin terhebat dunia pun bergaul dengan fuqara' dan masakin, takkan kita tidak boleh mencontohi baginda kan?
Dalam adab berkawan. Kalau boleh, orang buat jahat kat kita, kita buat baik ja. Melainkan kalau dah melampau sangat, ambillah tindakan bagi mengelakkan kita terus dipijak dan dipermainkan. Kita husnuzon. Doakan yang terbaik buat mereka. Balasan? Takpa. Itu kerja Tuhan. Biar Allah yang membalas.
Positifkan pemikiran. Imbau kembali apa yang mereka pernah lakukan pada kita. Jadikan iktibar dan pengajaran. Buang yang keruh ambil yang jernih.
Kesimpulannya, benarlah, sahabat memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita. Sahabat katalis kehidupan yang menggerakkan kita ke dunia realiti dan kematangan. Bergaullah dengan semua orang. Kawan yang baik kita kekalkan, kita ikut. Kawan yang tidak baik kita menyelinap dalam kehidupan mereka, dan tarik mereka daripada kancah kegelapan dan terangi mereka dengan cahaya kebaikan dan keimanan. Apa yang penulis katakan ini, penulis pernah alami. Penulis sekadar berkongsi. Dan penulis pasti sidang pembaca juga turut alami sebelum ini. Ianya sebahagian daripada kehidupan.
Sekian sahaja coretan penulis, insya-Allah kita bertemu lagi di lain entri. Assalammualaikum wbt, salam sejahtera :)